Resepi Mini Pizza Sardin
Assalamualaikum..
Resepi yang berasaskan roti yang akan saya kongsikan dalam entri ini saya olah seakan-akan pizza dengan taburan parutan keju Mozzarella dipadankan dengan isian sardin yang telah dimasak terlebih dahulu.
Sebelum saya kongsikan resepinya di channel Youtube saya, sudah dua kali saya ulang buat mini pizza sardin ini memandangkan Mr Hubby sangat menggemari roti savory sebegini.
Lagipun stok ikan sardin jenama Heritage yang saya beli 1 kotak beberapa bulan yang lepas pun masih ada beberapa peket lagi, menunggu masa untuk dihabiskan sebelum kami restok yang baru. Hihi..
Doh pizza ini tidak menggunakan telur dan saya menggunakan dua jenis lemak iaitu minyak sayuran dan mentega.
Anda boleh menggunakan minyak sahaja ataupun mentega sahaja, ikut citarasa masing-masing.
Jika anda dah biasa mengadun doh roti, anda boleh olah dan pelbagaikan resepi dohnya asalkan doh cukup diuli dan direhatkan.
Saya menggunakan kertas cawan untuk roti bagi membuat mini pizza sardin untuk menghabiskan kertas cawan roti yang masih banyak di rumah.
Jika anda tiada kertas cawan untuk roti ni, selepas leperkan doh, susun di atas loyang pembakar yang telah dilenser mentega atau dialas dengan kertas pembakar, silpat atau teflon mat supaya mudah untuk mengeluarkan mini pizza dari loyang setelah ianya selesai dibakar.
Tonton video tutorial langkah demi langkah tentang cara - cara membuat mini pizza sardin menerusi pautan video di bawah ini:
Mini pizza sardin ini boleh disimpan di dalam peti sejuk setelah dimasukkan ke dalam bekas yang bertutup supaya tahan lebih lama.
Untuk cara memanaskannya, setelah dikeluarkan dari peti sejuk, anda boleh biarkan sebentar di suhu bilik sebelum dibakar semula pada suhu 150℃ selama beberapa minit dengan bahagian atas roti ditutup menggunakan aluminum foil.
Selain itu, anda boleh memanaskan menggunakan microwave jika ada.
Selamat mencuba!
MINI PIZZA SARDIN
Kategori : Roti & Pizza
Jumlah Hidangan : 12
Masa Penyediaan : 2 jam 15 minit
Masa Membakar : 20 minit
BAHAN-BAHAN
DOH PIZZA :
1/2 cawan & 2 sudu besar air suam | 155 ml
1 sudu besar gula pasir | 12 gram
1 & 1/2 sudu teh yis kering segera | 4 gram
1 cawan tepung gandum | 125 gram
1 cawan tepung roti | 125 gram
1/4 sudu teh garam
1 sudu besar minyak sayuran | 15 ml
1 sudu besar mentega bergaram/marjerin | 15 gram
* Gunakan air sejuk dari peti sejuk/air ais jika uli menggunakan bread maker/ stand mixer
* Anda boleh pakai tepung gandum sepenuhnya atau tepung roti sepenuhnya
*Anda boleh menggunakan minyak sayuran sepenuhnya atau mentega sepenuhnya
ISIAN SARDIN :
2 sudu besar minyak sayuran/minyak masak
1/2 biji bawang Holland/bawang besar (didadu)
2 ulas bawang putih (cincang halus)
1 cm halia (cincang halus)
3 sudu besar pes cili kering
1 peket/ tin besar ikan sardin (buang kuahnya)
1/4 cawan air
2 sudu teh jus lemon/air asam jawa
1/3 cawan mixed vegetables
Garam secukupnya
Gula secukupnya
HIASAN:
Mayonis secukupnya
Parutan keju Mozzarella/ Cheddar secukupnya
Parsley flakes secukupnya
CARA MEMBUAT
DOH PIZZA :
- Di dalam mangkuk pengadun, masukkan air suam, gula pasir dan yis kering segera. Kacau sebentar menggunakan spatula/senduk kayu.
- Masukkan tepung gandum, tepung roti dan garam. Adun menggunakan spatula/senduk kayu sehingga doh kasar terbentuk.
- Pindahkan doh ke atas papan pencanai/permukaan kerja yang ditabur sedikit tepung gandum dan uli selama lebih kurang 2 ke 3 minit untuk membentuk gluten.
- Lebarkan doh dan tuang minyak sayuran dan letak mentega di bahagian tengah doh. Adun sehingga mentega dan minyak sebati dengan doh.
- Setelah sebati, uli doh selama 10 ke 15 minit dengan menggunakan kaedah "stretch and fold" dan "slap and fold" sehingga doh menjadi elastik dan permukaannya licin.
- Bulatkan doh dan masukkan ke dalam mangkuk pengadun bersih yang telah dioles sedikit minyak supaya do htidak melekat pada mangkuk. Oles minyak pada permukaan doh supaya doh tidak kering.
- Tutup mangkuk dengan menggunakan cling wrap atau tuala lembap dan rehatkan selama 1 ke 1. 5 jam di tempat suam, sehingga doh mengembang sebanyak dua kali ganda.
- Sementara itu bolehlah sediakan dahulu isian sardin.
ISIAN SARDIN :
- Panaskan anggaran 2 sudu besar minyak masak di dalam kuali.
- Setelah minyak panas, masukkan bawang besar yang telah didadu, bawang putih dan halia yang dicincang halus dan tumis sehingga naik bau.
- Setelah itu, masukkan pes cili kering dan tumis sehingga rempah garing.
- Masukkan sardin yang telah dibuang kuahnya, hancurkan sardin menggunakan senduk.
- Masukkan air, jus lemon dan sayur campuran. Masak sehingga kuahnya kering.
- Perasakan dengan gula dan garam secukupnya.
- Biarkan isian sardin sejuk sebelum digunakan.
CARA MEMBENTUK MINI PIZZA SARDIN :
- Setelah doh mengembang, kempiskan doh dan uli sebentar supaya angin di dalam doh keluar.
- Bahagikan doh menjadi 12 bahagian, dengan berat sebanyak 35/36 gram setiap bahagian.
- Bulatkan menjadi bebola doh dan susun di atas papan pencanai/ permukaan kerja yang ditabur tepung supaya tidak melekat.
- Tutup bebola doh dengan cling wrap/tuala bersih dan rehatkan selama 15 minit supaya mudah untuk dicanai.
- Selepas 15 minit, ambil satu doh dan canai leper menjadi bentuk bulat. Masukkan ke dalam kertas cawan untuk roti. Ulang sehingga selesai.
- Cucuk-cucuk bahagian tengah setiap doh pizza dengan garfu.
- Tutup doh pizza dengan plastik/kain dan rehatkan selama 30 - 45 minit.
- Selepas direhatkan, panaskan ketuhar pada suhu 200℃ selama 10 minit.
- Sudukan isian sardin di bahagian tengah setiap doh pizza dan ratakan dengan perlahan supaya doh tidak mengecut.
- Tabur sedikit parutan keju di atas setiap pizza.
- Paipkan mayonis mengikut kreativiti.
- Akhir sekali, tabur dengan parsley flakes.
- Bakar selama 20 minit, atau sehingga pizza sedikit kecoklatan pada rak kedua dari bawah, dengan menggunakan api atas bawah.
- Setelah masak, keluarkan dari ketuhar. Mini Pizza sedia untuk dihidang!
0 comments :
Post a Comment