Resepi Kuih Bakar Jagung Kemboja Sukatan Cawan

Tuesday, March 17, 2020

Resepi Kuih Bakar Jagung Kemboja Sukatan Cawan





Semalam saya jalankan lagi projek membuat kuih.
Kali ni ialah kuih Melayu tradisional iaitu kuih bakar jagung menggunakan acuan berbentuk kemboja.
Baki creamy sweet corn dalam tin lebihan membuat apam balik baru-baru ni, (klik sini untuk resepi apam balik) masih ada dalam secawan lagi.
Nak buat apam balik jemu rasanya, kalau nak dibuat putri ayu jagung malas pula nak menyumbat kelapa parut satu per satu ke dalam acuan.
Yang paling senang ialah dengan membuat kuih bakar jagung.

Resepi kuih bakar jagung ni saya main campak-campak je, tapi Alhamdulillah menjadi pula.
Teksturnya lembut, dengan rasa lemak santan, mentega dan rasa jagung itu sendiri membuatkan kuih bakar jagung ni menjadi kegemaran kami.
Kalau takde creamy corn yang dalam tin, boleh juga gunakan kernel jagung tapi kena yang dikisar sedikit (ambil dalam 3/4 cawan dari 2 cawan santan untuk resepi ni dan blendkan kasar jagung) supaya rasa kuih bakar jagung lebih sedap.

Selain menggunakan mentega atau marjerin (saya syorkan kalau nak pakai majerin, gunalah Planta atau Adela), anda boleh juga menggunakan ghee dalam adunan kuih bakar jagung ni dan diglis pada loyang kemboja yang digunakan.
Dahulu, saya pernah membuat kuih bakar labu (klik sini untuk resepi kuih bakar labu) menggunakan ghee.
Memang sedap terutamanya kalau menggunakan Ghee berjenama QBB.
Cuma harganya agak mahal berbanding ghee berjenama Windmill.
Tapi, untuk resepi kuih bakar jagung yang akan saya kongsikan kali ni, saya menggunakan Buttercup.

Saya suka mencampurkan tepung jagung di dalam kuih bakar saya supaya kuih bakar lebih lembut dan tidak terlalu mampat.
Selain itu, penggunaan mentega, marjerin atau ghee yang dicampur ke dalam adunan kuih bakar membuatkan kuih bakar moist.



Untuk menonton video cara penyediaan kuih bakar jagung yang mudah dan sedap ni, boleh tonton videonya di bawah ni ya 👇





RESEPI KUIH BAKAR JAGUNG KEMBOJA 


Kategori : Kuih Melayu
Menghasilkan : 3 biji kuih bakar



Bahan-bahan:

1 1/3 cawan tepung gandum
3 sudu besar tepung jagung
2/3 cawan gula pasir
1/2 sudu teh garam halus
1 cawan jagung manis berkrim
2 biji telur Gred A
2 cawan santan (saya guna 1 cawan santan berkrim (KARA) + 1 cawan air)
2 sudu besar mentega/marjerin/ghee - dicairkan dan biarkan sejuk
2 sudu teh esen perisa jagung
1/4 sudu teh pewarna kuning
Bijan secukupnya - untuk hiasan



Cara Membuat:

Oles loyang kemboja dengan mentega, marjerin atau ghee dan panaskan 10 minit dalam ketuhar bersuhu 180℃.

Sementara itu, campurkan bahan-bahan kering (tepung gandum, tepung jagung, gula pasir dan garam halus).  Kacau sebati menggunakan whisk.

Masukkan telur dan 1 cawan santan.  Kacau rata sehingga adunan tak bergentel dan gula larut.

Kemudian, masukkan baki santan, jagung manis berkrim, mentega, marjerin atau ghee yang telah dicairkan dan disejukkan, esen perisa jagung dan pewarna kuning.

Tuang adunan kuih bakar dalam loyang kemboja yang telah dipanaskan.  Tinggalkan dalam 0.5cm supaya adunan tidak tumpah.

Tabur dengan bijan dan bakar kuih selama 40 minit ke 1 jam dengan ketuhar bersuhu 200℃, menggunakan rak kedua dari bawah.  Untuk menggelapkan bahagian atas kuih bakar, pindahkan kuih ke rak kedua dari atas selepas 30 minit.  Anda boleh tahu jika kuih bakar telah masak bila kuih tak melekat pada bahagian sisi loyang dan warna kuih pada bahagian tepi dan atas bertukar kepada kecoklatan.

Telangkupkan kuih bakar yang baru diangkat ke atas pinggan dan balikkan ke atas redai.  Hati-hati jangan sampai melecur tangan.  Biarkan kuih bakar betul-betul sejuk baru dipotong supaya potongan kemas.



#TIPS#

Kuih bakar jagung ni boleh juga dibakar menggunakan loyang segiempat jika takda loyang kemboja.  Saya syorkan gunakan loyang bersaiz 8X8 inch.  Kalau menggunakan loyang pembakar biasa, cukup sekadar mengoles loyang dengan mentega, mentega atau ghee atau mengalas bahagian bawahnya dengan baking paper, tak perlu dipanaskan terlebih dahulu.

Kuih bakar jagung ni boleh difrozenkan.  Masukkan di dalam plastik atau bekas kedap udara dan simpan di dalam freezer.  Untuk memanaskannya, keluarkan dahulu dari freezer dan biarkan selama 30 minit, kemudian letak dalam loyang pembakar dan bakar semula pada suhu 150℃ selama 15 minit atau sehingga kuih bakar lembut.

0 comments :

Post a Comment