Sunday, April 14, 2024

Resepi Ondeh-ondeh Labu Lembut dan Kenyal


 



Assalamualaikum readers...


Ondeh-ondeh atau buah Melaka, sejenis kuih tradisional yang menggunakan tepung pulut, diisi dengan inti gula Melaka yang dipotong kecil dan disalut dengan kelapa parut yang digaul bersama sedikit garam.  Tekstur kuih ondeh-ondeh ini lembut, kenyal, dengan inti gula Melaka yang harum dan manis memang menjadi kegemaran ramai, terutamanya ketika bulan Ramadhan.  Rasa kuih ini tidak muak, apatah lagi dengan rasa salutan kelapa parut yang lemak masin.

Biasanya kuih ondeh-ondeh ini kita jumpa yang versi pandan, tapi kali ini kita buat yang versi labu pula.  Buah labu kuning dikupas kulitnya kemudian direbus atau dikukus sehingga empuk.  Biasanya saya suka kukus saja supaya tidak terlalu lembik.  Selepas itu, kita lecek buah labu tadi menjadi seperti pes, biarkan sejuk sebelum kita campurkan bersama tepung dan garam.  Untuk resepi ini, saya tambahkan sedikit tepung gandum supaya rasanya tidaklah terlalu liat.

Kuih ondeh-ondeh labu ini jujurnya lebih lembut dari versi pandan kerana kita gunakan kelembapan dari labu itu sendiri sewaktu mengadun tepungnya.  Jadi, kita tak tambahkan air untuk membuat dohnya.  Sukatan tepung pulut tu agak-agaklah ya, sebab bergantung juga pada kandungan air pada labu yang dikukus atau direbus tu.  Jadi, kita tambahkan tepung secara bertahap sambil kita uli dohnya.


Tonton Video di Sini :




Inti gula Melaka itu nanti setelah kuih ondeh-ondeh labunya masak akan menjadi cair, walaupun kita simpan kuih dalam peti sejuk.  Kuih ondeh-ondeh ini boleh bertahan pada suhu bilik selama sehari sahaja, manakala baki kuih yang tidak habis kita boleh masukkan dalam peti sejuk sehingga empat hari.  Untuk menikmati kuih ondeh-ondeh yang sejuk, kita boleh keluarkan 30 minit sebelum dihidangkan supaya kuih berada pada suhu bilik, atau kita boleh kukus sekejap, dalam 10 minit sehingga kuih menjadi lembut dan fresh semula.  Pastikan semasa mengukus, lenser dahulu loyang dengan sedikit minyak, atau alas dengan daun pisang dan balut penutup pengukus dengan kain supaya wap air tak jatuh pada permukaan kuih, kalau tidak nanti jadi bonyok dan lembik kuih ondeh-ondehnya.  Tapi kalau agak-agak malas nak panaskan kuih, boleh terus makan je sejuk-sejuk, intinya tetap cair cuma tepungnya akan keras sedikitlah ya.

Memandangkan harga kuih-muih di bazar Ramadhan pun agak mahal sekarang, kita buat sajalah sendiri di rumah.  Lebih jimat dan lebih puas makan.

Selamat mencuba!




Ondeh-ondeh Labu




Kategori : Kuih Melayu

Masa Penyediaan : 15 minit

Masa Memasak : 10 minit

Jumlah Hidangan : Anggaran 35 biji kuih



BAHAN-BAHAN


Salutan Kuih :


120 gm kelapa parut | 1 & 1/2 cawan

4 ke 5 gram garam | 1 ke 1 & 1/4 sudu teh

1 helai daun pandan 



Doh :


270 gm labu | anggaran 1/4 biji saiz sederhana (kukus/ rebus dan lecek halus)

Anggaran 200 gm tepung pulut | 1 & 3/4 cawan dan 1 sudu besar

12 gm tepung gandum | 1 & 1/2 sudu besar

2 gm garam | 1/2 sudu teh


Inti : 

Gula Melaka/ gula nisan secukupnya



CARA MEMBUAT


  1. Potong gula Melaka/ gula nisan kecil-kecil. Yang hancur tu kepal-kepal supaya menjadi bebola kecil.  Susun dalam pinggan atau bekas dan simpan dalam peti sejuk sementara sedia untuk digunakan.
  2. Untuk salutan, gaul kelapa parut bersama garam di dalam mangkuk leper.  Letak daun pandan yang dipotong.  Kukus selama 5 ke 10 minit.
  3. Panaskan air dalam periuk yang bersesuaian dengan api sederhana rendah.  Letakkan sehelai daun pandan yang disimpul.
  4. Untuk doh, satukan labu yang telah dilecek bersama tepung gandum, tepung pulut dan garam.  Satukan sehingga menjadi doh yang lembut tapi tidak melekat di tangan.  Tambah sedikit tepung pulut jika agak lembik atau tambah sedikit air jika doh agak keras.
  5. Cubit sedikit doh dan masukkan inti di tengah.  Tutup doh dengan rapat.  Susun atas loyang atau pinggan yang ditabur sedikit tepung gandum.  Buat sehingga selesai.
  6. Setelah air agak mendidih (simmering), masukkan bebola doh satu per satu, jangan masukkan banyak sekaligus supaya doh mudah masak.  Kacau perlahan untuk elak doh melekat pada dasar periuk.  Rebus sehingga doh timbul pada permukaan air.
  7. Setelah doh timbul, angkat menggunakan penapis atau senduk yang berlubang, toskan air rebusan kemudian golekkan dengan kelapa parut yang telah dikukus.
  8. Siap untuk dihidangkan.



Friday, December 1, 2023

Resepi Donat Pandan Susu Gebu dan Lembut


 



Assalamualaikum readers..

Selepas hampir tiga minggu diuji dengan kesihatan yang sedikit terganggu, akhirnya barulah saya dapat meneruskan projek baking, walaupun badan masih agak lemah.  Dah lama mengidam nak makan donat pandan ni, lebih-lebih lagi donat pandan yang bersalut gula dan susu tu. Disebabkan stok daun pandan tiada, saya pakai pes pandan atau pandan emulco saja untuk membuat dohnya.

Donat pandan ini selain teksturnya lembut dan gebu, rasanya lebih harum kerana kita tambahkan pes pandan yang pekat dalam dohnya.  Saya menggunakan susu penuh krim dan susu tepung untuk mendapatkan kombinasi rasa donat yang berperisa pandan dan susu.  Kalau nak guna santan pun boleh, tetapi saya lebih suka menggunakan susu.




Sebelum ini, saya biasa membuat donat yang menggunakan telur sepenuhnya (putih dan kuningnya) atau tanpa telur, dan juga donat kentang tanpa telur.  Kebetulan saya ada menonton beberapa tutorial donat oleh Youtuber Indonesia yang kebanyakkannya lebih suka membuat donat yang hanya menggunakan kuning telur, kerana menurut mereka donat yang menggunakan kuning telur sahaja hasilnya lebih lembut dan donat akan mengembang lebih besar, jadi teksturnya akan lebih ringan.  Lemak pada kuning telur bukan saja membuatkan rasa donat lebih "rich", kandungan lemaknya juga mengurangkan pembentukan jaringan gluten, jadi doh akan dapat mengembang lebih dan menghasilkan donat yang lebih lembut.


Tonton Video di Sini :




Cara Menyimpan Donat Pandan :

  • Donat pandan yang telah diletak topping boleh disimpan pada suhu bilik sehingga 2 hari. Simpan di dalam bekas bertutup, atau boleh masukkan ke dalam plastik roti kecil.
  • Donat pandan yang telah diletak topping boleh juga disimpan dalam peti sejuk di dalam bekas bertutup, atau dalam plastik roti.  Donat boleh bertahan sehingga 1 minggu.
  • Untuk frozenkan donat pandan, goreng donat setengah masak dengan api agak kecil, setelah sejuk susun dalam bekas (jangan ditindih), susun secara menegak. Boleh juga susun di dalam plastik yang bersesuaian.  Frozenkan sehingga 2 bulan.


Cara Menggoreng Donat Frozen :
  • Donat frozen perlu didefrostkan dahulu sehingga lembut atau mencapai suhu bilik.
  • Goreng donat seperti biasa menggunakan suhu sederhana rendah sehingga sedikit kecoklatan.
  • Angkat, toskan minyaknya dan setelah sejuk, bolehlah disalut atau dihias dengan topping.

Donat pandan ini sesuai dijadikan sajian untuk minum petang bersama keluarga.  Kalau pandai deco donat pandan ini dengan topping yang cantik dan menarik, donat pandan ini juga boleh dijadikan buah tangan yang istimewa sebenarnya.  Lain dari yang lain kerana biasanya kita gunakan donat perasa original.  Warna donat pandan ini boleh disesuaikan, kalau anda minat warna hijaunya agak pekat, boleh tambah pewarna hijau.  Tapi saya suka donat pandan yang berwarna hijau lembut, jadi saya tidak menggunakan pewarna hijau, hanya bergantung kepada warna hijau dari pes pandannya sahaja.

Selamat mencuba!




Donat Pandan Susu







Kategori : Kuih Melayu
Masa Penyediaan : 15 minit
Masa Rehat : 1 jam 50 minit
Masa Memasak : 10 minit
Jumlah Hidangan : 12 biji




BAHAN-BAHAN




Donat Pandan :


145 ml susu segar/ susu penuh krim (suam kuku) | 1/2 cawan + 1 sudu besar + 1 sudu teh
36 gm gula pasir halus | 3 sudu besar
2 gm yis segera | 1 sudu teh
1 biji kuning telur gred A
1 sudu teh pes pandan/ pandan emulco
250 gm tepung gandum | 2 cawan
1/4 sudu teh baking powder
1/4 sudu teh garam
30 gm mentega lembut/ marjerin | 2 sudu besar


Salutan :


55 gm gula icing | 1/2 cawan
30 gm susu tepung | 1/4 cawan


Topping Coklat :


150 gm coklat masakan
1 sudu besar shortening
Coklat urai secukupnya




CARA MEMBUAT




Donat Pandan :


  1. Di dalam mangkuk pengadun, campur bersama susu suam, gula pasir, yis segera, kuning telur dan pes pandan/pandan emulco.  Kacau sebati.
  2. Masukkan tepung gandum, baking powder dan garam.  Adun sehingga terbentuk doh kasar.
  3. Masukkan mentega lembut/ marjerin.  Adun pakai tangan sehingga mentega/marjerin terserap ke dalam doh.  Doh tidak perlu diuli sehingga elastik ya. 
  4. Bulatkan doh, tutup mangkuk dengan cling wrap/ tuala lembap dan rehatkan selama 1 jam.
  5. Selepas 1 jam, tumbuk-tumbuk doh untuk keluarkan gas.
  6. Bahagikan menjadi 12 bahagian (anggaran 40-42 gram setiap bahagian).
  7. Bulatkan setiap bahagian menjadi bebola doh.  Pastikan permukaan bebola doh licin.
  8. Ambil bebola doh yang pertama, salut nipis dalam tepung gandum.  Kemudian, tekan dengan tangan untuk leperkan sedikit.
  9. Gunakan dough scraper untuk tekan doh menjadi leper, dalam 0.5 cm tebal.
  10. Letakkan doh yang telah dileperkan di atas kertas baking yang telah dipotong kecil dan ditabur sedikit tepung supaya tidak melekat.  Ulang hingga selesai.
  11. Tekan doh sekali lagi dengan dough scraper untuk keluarkan gas dan lubangkan bahagian tengahnya dengan menggunakan belakang nozel.  Celup dahulu bahagian belakang nozel dalam tepung supaya tidak melekat.
  12. Tutup dan rehatkan doh donat selama 40 ke 50 minit, sehingga mengembang dua kali ganda.
  13. 5 ke 10 minit sebelum selesai waktu proofing (rehat) doh donat, panaskan minyak masak yang banyak di dalam kuali dengan suhu sederhana rendah.
  14. Goreng donat dengan api sederhana rendah, 2 ke 3 minit setiap bahagian, sehingga sedikit kecoklatan.  Balikkan donat dan goreng lagi sebelah bahagian sehingga sedikit kecoklatan.  Pastikan donat dibalikkan sekali sahaja supaya tidak serap minyak. Kawal suhu sewaktu menggoreng supaya donat tidak hangus ataupun donat akan menyerap minyak jika digoreng dengan suhu terlalu rendah.
  15. Setelah masak, angkat dan toskan minyaknya di atas penapis/ redai. Biarkan donat sejuk.


Salutan :


  1. Campurkan gula icing bersama susu tepung.
  2. Salutkan donat yang telah sejuk dengan salutan.


Topping Coklat :


  1. Cairkan coklat dengan kaedah double boil, atau boleh juga gunakan microwave kalau ada.
  2. Campurkan shortening atau cocoa butter supaya coklatnya kilat dan tidak terlalu pekat.
  3. Celup satu bahagian donat dalam coklat dan salut dengan coklat urai.





Thursday, November 16, 2023

Resepi Mini Cinnamon Rolls Jalur Gemilang


 



Assalamualaikum readers...


Cinnamon rolls, pencuci mulut mewah yang diperbuat dari doh roti manis dengan isian yang terdiri daripada mentega, serbuk kayu manis dan gula perang.  Cinnamon rolls dipelbagaikan dengan topping dan rasa, untuk memberi variasi dan memenuhi citarasa si pencinta cinnamon roll.

Resepi cinnamon rolls kali ini ialah versi jalur gemilang, bersempena dengan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos yang disambut pada setiap tahun.  Saya membuat mini cinnamon rolls yang menggunakan empat warna  - merah, biru, kuning dan putih.  Saya lebih suka membuat topping krim keju untuk mini cinnamon rolls ini kerana rasanya tidak terlalu manis jika dibandingkan dengan sugar glaze.  Lagipun, padanan topping krim keju ini lebih sedap terutamanya jika dipadankan dengan Nutella atau sapuan coklat hazelnut.




Cinnamon rolls ini paling sedap jika dinikmati ketika suam, jadi toppingnya boleh diletakkan sewaktu cinnamon rolls ini hendak disajikan.  Teksturnya lembut dan seimbang rasa isian dan toppingnya, tidak terlalu manis.  Untuk membuat bentuk yang seakan-akan jalur gemilang, susunkan mini cinnamon rolls dalam loyang pembakar segiempat panjang atau segiempat sama supaya lebih mudah.  Kalau nak pakai loyang bulat juga boleh ya, anda boleh pakai imaginasi supaya bentuknya menjadi seperti jalur gemilang.


Tonton Video di Sini :



Saya menggunakan loyang aluminum bersaiz 8 x 8 inci yang menghasilkan 2 set mini cinnamon rolls jalur gemilang.  Gunakan suhu membakar yang lebih rendah supaya warna jalur gemilang tidak menjadi kecoklatan.

Jika sebelum ini anda biasa buat roti jala jalur gemilang, sekali-sekala bolehlah cuba membuat cinnamon rolls jalur gemilang ini pula, pasti suami dan anak-anak suka.

Selamat mencuba!



Mini Cinnamon Rolls Jalur Gemilang







Kategori : Roti

Masa Penyediaan : 1 jam

Masa Rehat : 1 jam 40 minit

Masa Membakar : 30 minit

Saiz Hidangan : 6 ke 7 orang



BAHAN-BAHAN



Cinnamon Rolls :


270 ml susu segar/ susu penuh krim (sejuk) | 3/4 cawan & 6 sudu besar

1 biji telur gred A

50 gm gula pasir halus/gula kastor | 1/4 cawan

8 gm yis segera | 3 sudu teh

1 sudu teh esen vanilla

250 gm tepung roti | 2 cawan

250 gm tepung gandum | 2 cawan

4 gm garam | 1 sudu teh

60 gm mentega (lembut) / marjerin | 4 sudu besar


Pewarna makanan merah, biru dan kuning



Inti :


75 gm mentega bergaram (lembut) | 5 sudu besar

120 gm gula perang | 1/2 & 1/8 cawan

6 gm serbuk kayu manis | 1 sudu besar



Glaze :


150 gm krim keju (lembut)

30 gm mentega bergaram (lembut) | 2 sudu besar

40 gm gula icing | 1/3 cawan

1/2 sudu besar jus lemon

1/2 sudu teh esen vanilla

30 ml susu segar/ penuh krim | 2 sudu besar




CARA MEMBUAT



CINNAMON ROLLS



Membuat Doh :


  1. Di dalam mangkuk bread maker, campur bersama susu, telur, yis dan gula.  Kacau sebentar.
  2. Masukkan tepung gandum, tepung roti dan garam.
  3. Pilih menu "Dough" dan biarkan mesin mengadun dan menguli selama 6 ke 7 minit, sehingga terbentuk doh kasar. (Perhatikan doh ketika diuli waktu ini, tambah sedikit susu jika adunan terlalu keras atau tambah sedikit tepung gandum/ tepung roti jika doh terlalu lembik).
  4. Selepas 7 minit, berhentikan mesin sebentar dan masukkan mentega lembut atau marjerin.  Sambung uli sehingga selesai.
  5. Oles sebuah mangkuk bersih dengan sedikit minyak.
  6. Keluarkan doh dari mangkuk bread maker, bulatkan dan masukkan ke dalam mangkuk tadi.
  7. Tutup mangkuk dengan cling wrap atau tuala lembap dan rehatkan selama 1 jam, atau sehingga mengembang sebanyak dua kali ganda.





INTI :


  1. Campur bersama gula perang dan serbuk kayu manis. Ketepikan.






Membentuk Cinnamon Rolls :



  1. Selepas 1 jam, tumbuk doh untuk keluarkan gas.
  2. Bahagikan menjadi 4 bahagian : 320 gram untuk merah, 320 gram untuk putih, 230 gram untuk biru dan 36 gram untuk kuning.  Atau boleh agak-agaklah ya kerana kita akan pakai warna merah dan putih paling banyak.  kemudian warna biru dan sedikit sahaja warna kuning untuk membuat bulan dan bintang.
  3. Warnakan doh 320 gram yang pertama dengan pewarna merah, 230 gram dengan perwarna biru dan 36 gram dengan pewarna kuning.  Ketepikan.
  4. Canai doh warna putih dahulu (320 gram).  Canai berbentuk segiempat panjang dengan ketebalan 0.5 cm.  Trim bahagian sisi doh dengan pemotong pizza supaya sekata.
  5. Oles mentega lembut ke seluruh permukaan doh dan tabur dengan campuran inti tadi.  Ratakan.
  6. Potong doh menjadi 1.25 ke 1.5 inci lebar menggunakan pemotong pizza.
  7. Gulungkan setiap potongan doh dengan kemas.  Ketepikan dahulu.
  8. Ulang langkah nombor 4 hingga nombor 7 untuk doh berwarna merah dan biru.
  9. Canai baki doh yang di trim tadi untuk membuat mini rolls.
  10. Oles 2 ke 3 buah loyang segiempat 8 x 8 inci dengan sedikit mentega/ marjerin.
  11. Susunkan mini rolls supaya menyerupai bentuk jalur gemilang.
  12. Untuk membuat bentuk bintang dan bulan, lukiskan dahulu bentuk bulan dan bintang di atas kertas. Canai nipis doh berwarna kuning kemudian tekapkan kertas tadi di atas doh.  Potong mengikut bentuk menggunakan pisau tajam.
  13. Letakkan bentuk bulan dan bintang tadi di atas mini rolls berwarna biru.  
  14. Tutup loyang dengan penutup loyang (jika menggunakan loyang aluminum), atau dengan tuala bersih dan rehatkan 30 ke 40 minit.
  15. 15 minit sebelum tamat tempoh proofing kedua, panaskan dahulu ketuhar pada suhu 160℃ selama 15 minit.
  16. Selepas 30 atau 40 minit, panggang cinnamon rolls pada suhu 160℃ selama 25 ke 30 minit, menggunakan api atas bawah di rah paling bawah ya untuk elak permukaan cinnamon rolls bertukar warna coklat.
  17. Setelah masak, keluarkan dari ketuhar.





GLAZE :



  1. Masukkan mentega dan krim keju di dalam mangkuk.  Lembutkan menggunakan spatula.
  2. Ayakkan gula icing ke dalam adunan, masukkan jus lemon dan esen vanilla.  Whisk sehingga berkrim.
  3. Masukkan susu dan whisk sehingga sebati.  Adunan tidak terlalu cair atau pekat.
  4. Boleh masukkan ke dalam beg plastik piping.





Cara Menghidang Mini Cinnamon Rolls Jalur Gemilang :



  1. Sapu atau paipkan glaze di seluruh permukaan cinnamon rolls dan boleh paipkan sapuan Hazelnut atau Nutella jika suka.
  2. Cinnamon rolls paling sedap dinikmati ketika suam.
  3. Sedia untuk dihidangkan.







Sunday, September 24, 2023

Resepi Roti Golok Lembut Sampai 3 Hari Menggunakan Bread Maker


 



Assalamualaikum readers...

Salah satu roti manis yang pernah viral suatu masa dulu ialah roti golok.  Tak pasti kenapa namanya roti golok, tapi roti golok ini memang ramai peminatnya sehingga masih banyak peniaga yang meniaga roti golok di tepi jalan.

Roti golok ini ialah roti manis dan berbentuk simpulan atau braided dengan topping mentega dan disalut dengan gula.  Ada juga yang memanggil roti ini sebagai roti mentega gula atau butter sugar bread.  Tesktur roti lembut dengan serat yang halus.  Saya menggunakan pes tepung atau tangzhong ya sebagai pelembut semula jadi untuk roti ini.  Tesktur roti bukan sahaja lembut, tetapi rasanya sedikit kenyal gitu.

Untuk toppingnya, roti golok akan menjadi lebih sedap jika anda menggunakan mentega bergaram yang tulen manakala untuk salutannya saya menggunakan campuran antara gula kastor dengan susu tepung penuh krim.  Rasa roti ini sungguh lemak, dan lebih sedap jika dinikmati pada hari yang sama roti dibuat.


Tonton Video di Sini :




Tangzhong boleh disediakan lebih awal dan boleh disimpan di dalam peti sejuk.  Tangzhong yang disimpan dalam peti sejuk perlu dikeluarkan 1 ke 2 jam dari peti sejuk sebelum digunakan sehingga Tangzhong berada pada suhu bilik.

Saya menggunakan bread maker untuk menguli doh kerana malas hendak menguli menguli menggunakan tangan.  Lagipun kerja menguli memang lebih mudah kalau menggunakan bread maker, hanya perlu masukkan sahaja semua bahan, kemudian tekan sahaja setting untuk doh dan biarkan mesin menguli sehingga selesai.  Walaupun saya menggunakan bread maker, saya tetap menggunakan cara yang sama seperti saya menguli doh menggunakan tangan atau pun mixer, yang mana mentega atau marjerinnya saya masukkan kemudian, selepas bahan lain sebati dan terbentuk doh yang kasar.  Tujuannya ialah untuk memastikan doh mempunyai jaringan gluten yang maksimum.  Jadi kita uli sebentar doh sebelum kita masukkan mentega atau marjerin.




Cara Menyimpan Roti Golok :

  • Roti golok yang telah sejuk dan belum diletakkan topping boleh disimpan pada suhu bilik sehingga 3 hari dan boleh disimpan dalam peti sejuk sehingga 2 minggu.
  • Roti golok yang belum diletak topping boleh dibakar sebentar pada suhu 150℃ selama 10-15 minit (tutup roti dengan aluminum foil ya supaya tidak kering), kemudian, biarkan sejuk pada suhu bilik, barulah letak topping.
  • Roti golok yang telah diletak topping boleh disimpan pada suhu bilik selama 1 hari dan boleh disimpan dalam peti sejuk sehingga 3 hari. 

Sebaiknya, topping untuk roti golok diletakkan ketika hendak dihidangkan kerana topping gulanya akan cair setelah dibiarkan selama beberapa jam, sama seperti roti mentega gula yang lainnya.  Roti golok ini sedap dinikmati sebagai snek pada bila-bila masa.  Rasanya tidak terlalu manis, kaya dengan rasa mentega dan susu, memang salah satu roti kegemaran saya dan Mr Hubby.

Selamat mencuba!



Roti Golok







Kategori : Roti
Masa Menguli : 20 - 25 minit
Masa Penyediaan : 15 minit
Masa Rehat : 1 jam 15 minit
Masa Membakar : 20 minit
Jumlah Hidangan : 12 keping





BAHAN-BAHAN




Tangzhong :


16 gm tepung roti | 2 sudu besar
80 ml air | 1/3 cawan


Doh Roti :


135 ml susu segar/susu penuh krim (sejuk/suhu bilik) | 1/3 cawan & 3.5 sudu besar
1 biji telur gred A
3 gm yis segera | 1.5 sudu teh (saya pakai Saf Instant Gold)
48 gm gula pasir | 4 sudu besar
Tangzhong yang telah sejuk
125 gm tepung gandum | 1 cawan
250 gm tepung roti | 2 cawan
20 gm susu tepung penuh krim | 2 sudu besar
1/4 sudu teh garam
45 gm mentega bergaram (lembut)/ marjerin | 3 sudu besar



Topping :


100 gm gula kastor/ gula pasir halus | 1/2 cawan
65 gm susu tepung penuh krim | 1/2 cawan
Anggaran 50-80 gm mentega bergaram lembut




CARA MEMBUAT




Tangzhong :


  1. Sebatikan tepung roti dengan air.
  2. Kacau sehingga sebati dan tidak berketul.
  3. Masak menggunakan api sederhana rendah sehingga pekat seperti pes.  Kacau selalu supaya bahagian bawah tidak hangus.
  4. Pindahkan ke dalam mangkuk tahan panas dan biarkan pada suhu bilik sehingga sejuk, atau boleh tutup mangkuk dengan cling wrap/penutup dan simpan dalam peti sejuk sehingga 3 hari.




Doh Roti :


  1. Di dalam mangkuk bread maker, masukkan susu, telur, gula dan yis.  Aduk sebentar menggunakan spatula.
  2. Masukkan tepung gandum, tepung roti, tangzhong yang telah sejuk dan garam.
  3. Pilih menu "Dough" dan biarkan mesin menguli selama 6 ke 7 minit, sehingga doh kasar terbentuk.  Perhatikan mesin sekali-sekala, tambah sedikit susu jika doh terlalu kering atau tambah sedikit tepung gandum/roti jika doh terlalu lembik.
  4. "Pause" mesin sebentar dan masukkan mentega lembut/marjerin. Sambung uli sehingga selesai.  Sekali-sekala tolak adunan ke tengah supaya mentega/marjerin mudah sebati dengan doh.
  5. Setelah siap, keluarkan doh dari mangkuk bread maker ke atas papan pencanai.



Membentuk Roti :


  1. Bahagikan doh kepada 36 bahagian sama rata (anggaran 20 gm setiap bahagian) kemudian bulat-bulatkan.
  2. Tutup bebola doh kecil dengan kain bersih atau plastik dan rehatkan 15 minit.
  3. Selepas 15 minit, ambil 3 biji bebola doh yang pertama kemudian panjangkan menjadi anggaran 18 cm.  Pastikan ketiga-tiga doh ini sama panjang.
  4. Susun ketiga-tiga doh secara menegak dan selari (jarakkan lebih kurang 1 cm antara doh).
  5. Satukan ketiga-tiga bahagian hujung doh sebelah atas.  Silangkan hujung satu doh dengan doh yang di tengah. Kemudian silangkan doh yang di tengah dengan doh bahagian hujung satu lagi.
  6. Teruskan menyilang doh seperti bentuk braid sehingga habis.  Picit bahagian hujung doh supaya tidak terbuka.
  7. Susun di atas loyang pembakar yang digris mentega/marjerin atau di alas dengan kertas baking.
  8. Ulang sehingga selesai.
  9. Tutup roti dengan plastik dan rehatkan 1 jam, sehingga roti mengembang 2 kali ganda.



Membakar Roti :


  1. Panaskan ketuhar pada suhu 190℃, 10 ke 15 minit sebelum tamat waktu proofing roti.
  2. Selepas 1 jam, oles permukaan roti dengan susu dan bakar pada suhu 190℃, 15 ke 20 minit, atau sehingga permukaan roti berwarna keemasan dengan menggunakan api atas bawah, rak tengah/kedua dari bawah.
  3. Setelah roti masak, oles tipis permukaan roti dengan mentega/marjerin sementara roti masih panas, kemudian tutup roti dengan cling wrap atau tuala bersih.  Tujuannya supaya roti lembut dan tidak kering.  Biarkan roti sejuk.



Menyiapkan Topping :


  1. Masukkan susu tepung dan gula kastor/gula pasir halus ke dalam bekas bertutup kemudian goncangkan beberapa kali.
  2. Siap untuk digunakan.



Meletak Topping pada Roti :


  1. Oles permukaan roti yang telah sejuk dengan mentega yang lembut.  Boleh letak tebal supaya lebih sedap.
  2. Tekapkan permukaan roti dengan topping, goncang-goncang sedikit supaya toppingnya tebal.
  3. Roti siap untuk dihidangkan.





Wednesday, September 6, 2023

Resepi Bahulu Pandan Tradisional


 



Assalamualaikum readers...


Resepi kali ini agak istimewa kerana setelah cubaan ketiga barulah saya mendapatkan formula yang tepat untuk mendapatkan tekstur bahulu pandan yang menepati citarasa.  Bahulu pandan merupakan salah satu snek tradisi yang sentiasa menjadi kegemaran ramai.  Walaupun terpaksa bersaing dengan pelbagai jenis pencuci mulut dan kek seperti kek swiss roll, kek lapis mahupun kek yang dihias dengan pelbagai jenis krim dan topping, namun bahulu tetap mempunyai ramai peminatnya.

Adunan bahulu asas terdiri daripada tiga jenis bahan sahaja - telur, gula dan tepung.  Adunannya ringan, tidak menggunakan banyak tepung dan bergantung sepenuhnya kepada telur sebagai pengembang, tidak menggunakan baking powder atau bahan penaik lain.

Cara membuat adunan bahulu sebenarnya lebih kurang sama dengan cara membuat adunan kek span.  Telur dan gula perlu dipukul sehingga betul-betul mengembang dan kental, sebelum dicampur dengan tepung.  Dalam resepi bahulu pandan ini, saya menggunakan ekstrak pandan homemade kerana rasa pandannya lebih kuat dan tidak memerlukan kuantiti yang banyak seperti jus pandan. 

Semak blog post saya sebelum ini untuk mendapatkan cara membuat 

ekstrak pandan homemade :  Ekstrak Pandan Homemade




Sebenarnya, sebelum saya upload tutorial bahulu pandan ini, saya telah cuba menggunakan acuan bahulu.  Walaupun acuan telah saya panaskan dan dioles minyak, tetap saja bahulu melekat pada acuan dan susah untuk dikeluarkan.  Dua kali cubaan tetap juga sama hasilnya.  


Tonton Video di Sini :




Saya ada google tips supaya bahulu tidak melekat pada acuan, antaranya ialah :

  • Acuan bahulu jangan dibasuh, hanya perlu dilap sahaja dengan kain tebal untuk membersihkannya.
  • Acuan bahulu perlu dijemur di bawah cahaya matahari supaya betul-betul kering, kemudian setelah dijemur, acuan disapu dengan minyak panas dan kemudian barulah disimpan.
  • Acuan perlu dipanaskan terlebih dahulu, kemudian dioles dengan minyak sebelum digunakan.
Tips yang pertama dan kedua tu saya tak buat, saya buat tips yang ketiga sahaja.  Tetapi saya tidak tahu di mana silapnya, bahulu tetap melekat pada acuan. Akhirnya, saya malas nak gunakan acuan bahulu tu, sudahnya saya pakai sahaja acuan muffin mini silikon ni, lagi mudah nak keluarkan.  Rasanya tetap sama dengan tekstur yang garing di luar dan lembut bak kapas di dalam.

Mungkin lain kali saya akan cuba lagi membuat bahulu menggunakan acuan bahulu.  Kalau menjadi, saya akan kongsikan resepinya nanti ya.  Resepi bahulu pandan yang menggunakan jus pandan segar ini sebenarnya telah direquest oleh seorang subscriber saya beberapa bulan lepas, saya tangguh dahulu kerana nak study resepinya dahulu.  Kalau menggunakan pes pandan memang mudah, tetapi kalau menggunakan jus pandan memang kena sesuaikan resepi untuk memastikan hasil bahulu pandan kita menepati citarasa dari segi rasa dan teskturnya.

Kalau anda tidak mempunya acuan bahulu atau acuan mini muffin seperti saya, boleh sahaja kalau nak bakar dalam kertas cawan ataupun loyang ya.  Cara untuk kita tahu sama ada adunan bahulu menjadi atau tidak ialah, adunan bahulu sepatutnya ringan dan tidak menjadi mampat seperti pes ya, jika telah menjadi mampat bermakna gelembung udara daripada telur yang dipukul sebelumnya telah pecah.  Kalau adunan sudah jadi seperti ini, tidak usah teruskan untuk membuat bahulu, sebaiknya adunan dijadikan seperti bingka sahaja ya.  Bakar atau kukus juga boleh.






Ada beberapa tips supaya adunan bahulu menjadi, antaranya ialah :

  • Gunakan telur pada suhu bilik.
  • Telur dan gula perlu dipukul dengan kelajuan agak tinggi sehingga mengembang dalam 3 kali ganda daripada isipadu asal.
  • Setelah itu, turunkan kelajuan mixer dan pukul adunan telur selama 1 ke 2 minit, tujuannya supaya adunan telur stabil dan tidak cepat jatuh setelah kita masukkan tepung.
  • Tepung digalakkan untuk disangai atau dibakar sebentar, selain supaya bahulu tahan lebih lama, tepung yang dibakar atau disangai ini akan menjadi lebih ringan.  Kemudian, tepung perlu diayak ya supaya menjadi lebih ringan.
  • Tepung jangan dimasukkan sekaligus, sebaliknya perlu dimasukkan secara bertahap dan kaup balik perlahan tapi cepat supaya gelembung udara yang terhasil dalam adunan tidak pecah.  Ingat, kita tidak menggunakan sebarang pengembang dalam resepi ini.

Jika anda suka makan bahulu tradisional ini, lepas ni bolehlah cuba membuatnya sendiri di rumah ya.  Rasa bahulu pandan ini sedap dan tidak kering, walaupun tidak menggunakan minyak atau pelembut seperti ovalet.  Bahulu pandan ini enak dinikmati sebagai sajian untuk minum petang.

Selamat mencuba!



Bahulu Pandan 








Kategori : Kuih Melayu
Masa Penyediaan : 20 minit
Masa Membakar : 20 minit
Jumlah Hidangan : Anggaran 50 keping




BAHAN-BAHAN :




5 biji telur gred A (suhu bilik)
1/4 sudu teh garam
180 gm gula pasir halus/ gula kastor | 3/4 cawan & 2.5 sudu besar
165 gm tepung gandum | 1 cawan & 5 sudu besar
7 gm tepung beras | 1 sudu besar
1-2 helai daun pandan (potong pendek)
30 gm krim santan KARA | 2 sudu besar
30 ml ekstrak pandan | 2 sudu besar
Coklat urai secukupnya





CARA MEMBUAT :


  1. Masukkan tepung gandum, tepung beras dan daun pandan yang dipotong pendek ke dalam kuali.  Sangai dengan api sederhana selama 5 minit.
  2. Tepung boleh dibakar menggunakan ketuhar pada suhu 160℃ selama 5 minit, kacau tepung sekali-sekala supaya sebati.
  3. Ayak tepung yang disangai/dibakar tadi dan ketepikan.
  4. Di dalam sebuah mangkuk, pukul telur dan garam dengan kelajuan sederhana sehingga berbuih.
  5. Masukkan gula dan pukul dengan kelajuan sederhana tinggi sehingga mengembang tiga kali ganda.
  6. Setelah itu, turunkan kelajuan dan pukul dengan kelajuan rendah selama 2 minit.
  7. Panaskan ketuhar pada suhu 180℃. 
  8. Jika menggunakan acuan bahulu, oles acuan dengan sedikit minyak dan panaskan di dalam ketuhar sehingga sedia untuk digunakan.
  9. Campurkan krim santan dengan ekstrak pandan.
  10. Masukkan 1/3 tepung yang diayak, diikuti dengan 1/2 campuran pandan. Kaup balik dengan perlahan menggunakan spatula atau balloon whisk sehingga sebati sahaja.  Campur sehingga habis mengikut turutan ini : tepung - campuran pandan - tepung - campuran pandan - tepung.
  11. Sembur acuan mini muffin silikon dengan cooking spray atay oles nipis dengan minyak supaya mudah untuk mengeluarkan bahulu.
  12. Sudukan adunan ke dalam lubang mini muffin sehingga hampir penuh. 
  13. Hias dengan coklat urai jika suka.
  14. Bakar selama 20 ke 22 minit menggunakan api atas bawah, pada rak kedua dari bawah sehingga permukaan bahulu kecoklatan.
  15. Setelah masak, tunggu sebentar kemudian bolehlah dikeluarkan dari acuan.
  16. Oles semula acuan bahulu atau mini muffin dengan sedikit minyak sebelum digunakan semula.
  17. Bahulu sedia untuk dihidangkan.






Resepi Cheesecake Brownies


 



Assalamualaikum readers...


Cheesecake brownies, sejenis brownies yang mempunyai dua lapisan - lapisan brownies di bahagian bawah manakala lapisan atasnya ialah krim keju.  Tekstur browniesnya boleh jadi fudgy, chewy ataupun cakey.  Dalam resepi cheesecake brownies ini, tesktur browniesnya agak fudgy ya, ditambah dengan lapisan krim keju yang lemak dan sedikit masam, jadi rasa coklat dan manis pada brownies diseimbangkan dengan rasa krim keju.




Cheesecake brownies ini sebenarnya boleh dikukus atau dibakar, tetapi rasanya sebenarnya lebih harum kalau dibakar kerana tekstur yang sedikit garing.  Anda boleh menggunakan loyang segiempat bersaiz 8 x 8 inci atau pun menggunakan loyang sekat yang khas untuk brownies supaya lebih mudah, tak perlu nak dipotong.  Saya menggunakan loyang brownies mini yang saya beli dua tahun lepas, tapi belum pernah lagi digunakan.  Jadi kita rasmikan dengan cheesecake brownies ni lah.


Tonton Video di Sini :



Cheesecake brownies ini sedap dinikmati ketika suam kerana teskturnya lebih lembut dan sedikit gooey. Cheesecake brownies boleh disimpan sehingga dua minggu di dalam peti sejuk.  Simpan di dalam bekas yang bertutup supaya permukaan brownies tidak menjadi kering.  Untuk memanaskan, boleh bakar sebentar di dalam ketuhar bersuhu 150℃ selama 10 ke 15 minit, atau sehingga browniesnya menjadi hangat.  Tutup permukaan brownies dengan aluminum foil supaya permukaan brownies tidak kering.

Kerana rupanya yang menarik ditambah dengan rasanya yang sedap, cheesecake brownies ini sangat sesuai dijadikan sebagai buah tangan untuk yang tersayang atau dijadikan sebagai snek sampingan untuk pelbagai jenis jamuan.

Selamat mencuba!




Cheesecake Brownies




Kategori : Brownies

Masa Penyediaan : 15 minit

Masa Membakar : 20 minit

Jumlah Hidangan : 12 keping



BAHAN-BAHAN


Lapisan Brownies :


160 gm coklat compound gelap | 1 cawan

70 gm mentega bergaram/marjerin | 1/3 cawan

60 ml minyak jagung/ minyak sayuran tanpa bau | 1/4 cawan


2 biji telur gred A (suhu bilik)

1/8 sudu teh garam

100 gm gula kastor/gula pasir halus | 1/2 cawan

62 gm gula perang lembut | 1/4 cawan & 1 sudu besar

1 sudu teh esen vanilla

125 gm tepung gandum | 1 cawan

35 gm serbuk koko | 1/3 cawan



Lapisan Keju :


170 gm krim keju lembut | 3/4 cawan

25 gm gula kastor/gula pasir halus | 2 sudu besar

1/2 sudu teh esen vanilla

1 biji telur gred A (suhu bilik)

8 gm tepung gandum | 1 sudu besar




CARA MEMBUAT :


  1. Panaskan ketuhar pada suhu 165℃.
  2. Di dalam mangkuk tahan panas, campurkan coklat compound gelap yang dipotong kecil, minyak jagung dan mentega.  Cairkan dengan kaedah bain marie.  Ketepikan.
  3. Di dalam mangkuk lain, whisk bersama telur, garam, gula pasir/kastor dan gula perang sehingga sebati dan gula hampir hancur.  Jangan terlebih whisk ya supaya tidak terlalu banyak udara yang masuk ke dalam adunan, kalau tidak brownies akan mengembang seperti kek.
  4. Masukkan adunan coklat yang dicairkan tadi, pastikan adunan coklat telah hampir sejuk supaya telur tidak masak.
  5. Masukkan esen vanilla. Whisk sebati.
  6. Ayakkan tepung gandum bersama serbuk koko ke dalam adunan, whisk sebati.
  7. Lenser loyang brownies mini dengan mentega atau semburkan cooking spray.
  8. Sisihkan dalam 1 sudu besar penuh adunan brownies untuk membuat hiasan.
  9. Sudukan adunan brownies ke dalam setiap lubang loyang sehingga separuh atau 2/3 penuh.  Ratakan sedikit permukaan brownies menggunakan offset spatula.
  10. Jika menggunakan loyang 8x8 inci, alas bahagian bawah dan sisi loyang dengan kertas baking supaya mudah untuk mengeluarkan brownies kemudian tuangkan adunan brownies dan ratakan.
  11. Di dalam mangkuk, lembutkan krim keju menggunakan spatula.
  12. Masukkan gula dan whisk sehingga berkrim.
  13. Masukkan telur dan esen vanilla, whisk sehingga sebati.
  14. Masukkan tepung gandum dan whisk sebati.
  15. Sudukan adunan krim keju di atas adunan brownies, atau tuang di atas adunan brownies jika menggunakan loyang.  Kemudian ratakan.
  16. Sudukan adunan brownies yang disisihkan tadi kemudian lorekkan untuk membuat corak.
  17. Bakar pada suhu 165℃ selama 20-25 minit, api atas bawah, rak kedua dari bawah.
  18. Setelah masak, sejukkan sebentar sebelum dikeluarkan dari loyang supaya brownies tidak pecah.
  19. Jika menggunakan loyang, potong setelah brownies agak sejuk.
  20. Sedia untuk dihidangkan.




Saturday, September 2, 2023

Resepi Roti Ham and Cheese



 Assalamualaikum readers...

Salah satu roti savory yang menjadi kegemaran ramai ialah roti ham and cheese.  Roti yang ala bakeri ini rasanya enak, ditambah pula dengan lapisan keju cheddar dan disalut pula dengan keju parmesan.  Tesktur roti ini lembut dan gebu, walaupun hanya diuli pakai tangan.



Doh roti ini menggunakan straight dough, iaitu doh yang disiapkan pada waktu yang sama dan terus digunakan.  Doh jenis ini tidak menggunakan doh lama, atau sponge dough, dan juga doh pemula (dough starter) seperti doh masam (sour dough).  Doh seperti ini lebih ringkas dan rasanya juga sedap asalkan menggunakan bahan-bahan yang berkualiti.


Tonton Video di Sini :



Roti ham and cheese ini menggunakan ham ayam yang telah dikukus terlebih dahulu supaya tahan lebih lama dan tidak cepat basi.  Saya menggunakan ham ayam dari jenama Ayamadu, hamnya agak tebal, jadi saya hanya menggunakan separuh bahagian sahaja untuk setiap roti.  Kalau ham ayam yang anda gunakan itu nipis, letak sekeping ham ayam yang telah dibelah dua untuk setiap roti ya.  Rasa roti ham and cheese ini lemak masin ya, tidak pedas kerana tidak menggunakan sos cili.  Jadi memang sesuai dibuat untuk anak-anak kerana tidak pedas.




Cara Menyimpan Roti Ham and Cheese :

  • Simpan roti yang telah sejuk di dalam bekas bertutup atau plastik yang diseal.  Roti boleh bertahan selama 2 hari pada suhu bilik.
  • Roti boleh disimpan dalam peti sejuk sehingga 1 minggu.
  • Untuk memanaskan semula roti, bakar sekejap roti pada suhu 150℃ selama lebih kurang 10 minit.  Tutup permukaan roti dengan aluminum foil supaya permukaannya tidak keras. 
  • Selain itu, boleh juga dipanaskan menggunakan microwave selama beberapa saat, atau sehingga roti menjadi hangat.
Sebelum ini saya pernah berkongsi resepi roti ham and cheese dengan olahan bentuk roti yang berlainan.  Roti ham and cheese kali ini lebih istimewa kerana disalut dengan serbuk keju parmesan.  Jika anda memang peminat roti ham and cheese, bolehlah cuba membuatnya sendiri di rumah lepas ni.

Selamat mencuba!




Roti Ham and Cheese








Kategori : Roti
Masa Penyediaan : 45 minit
Masa Rehat : 2 jam 10 minit
Masa Membakar : 20 minit
Jumlah Hidangan : 10 keping




BAHAN-BAHAN




Doh Roti :



160 ml susu segar/susu penuh krim (suam kuku) | 2/3 cawan
1 biji telur gred A
30 gm gula pasir | 2 & 1/2 sudu besar
4 gm yis kering segera | 2 sudu teh
65 gm tepung gandum | 1/2 cawan
250 gm tepung roti | 2 cawan
3 gm garam | 1/2 sudu teh
30 gm mentega (lembut) / marjerin | 2 sudu besar



Bahan Lain :



5 atau 10 keping ham ayam belah dua & kukus 10 minit)
10 keping keju cheddar (belah dua)
Mayonis
Parsley kering
Serbuk parmesan
1/2 biji telur + 1/2 sudu besar susu segar/penuh krim
Mentega/marjerin cair untuk olesan roti





CARA MEMBUAT




Doh Roti :



  1. Di dalam mangkuk pengadun, satukan susu, telur, gula pasir dan yis segera.  Kacau sebati.
  2. Masukkan tepung gandum, tepung roti dan garam, adun dengan spatula/senduk sehingga tepung menyerap cecair.
  3. Kemudian, adun pakai tangan sehingga doh kasar terbentuk.
  4. Tutup mangkuk dengan tuala bersih dan rehatkan selama 20 minit.
  5. Selepas 20 minit, uli doh sebentar untuk mengeluarkan gas. Doh sudah sedikit elastik ketika ini.
  6. Tambahkan mentega/marjerin dan adun sehingga mentega/marjerin menyerap ke dalam doh.
  7. Pindahkan doh ke atas papan pencanai yang ditabur sedikit tepung dan uli sehingga doh menjadi elastik dan permukaan doh licin. Untuk lebih mudah, uli dengan cara "slap and fold". 
  8. Setelah itu, bulatkan doh dan masukkan semula ke dalam mangkuk pengadun yang telah dioles dengan sedikit minyak supaya mudah untuk mengeluarkan doh nanti.
  9. Tutup mangkuk dengan cling wrap/tuala lembap dan rehatkan selama 1 jam atau sehingga doh mengembang dua kali ganda.




Membentuk Roti :



  1. Selepas 1 jam, terbalikkan doh di atas papan pencanai yang telah ditabur tepung.
  2. Tekan-tekan doh untuk keluarkan gas dan bahagikan kepada 10 bahagian (Anggaran 57 gm setiap bahagian).
  3. Tekan-tekan setiap doh kecil kemudian bulatkan.
  4. Susun di atas permukaan yang telah ditabur tepung.
  5. Tutup dan rehatkan selama 15 ke 20 minit supaya mudah untuk mencanai doh.
  6. Selepas 15 minit, ambil doh yang pertama dibulatkan kemudian letakkan di atas papan pencanai yang ditabur sedikit tepung.
  7. Canai menjadi bentuk segiempat panjang berukuran anggaran 10 x 18 cm.
  8. Jika menggunakan separuh ham untuk setiap doh kerana hamnya tebal, letakkan separuh bahagian keju cheddar di tengah doh, paipkan mayonis, kemudian letakkan separuh ham, paipkan mayonis di atasnya, kemudian letakkan sebahagian lagi keju cheddar.
  9. Jika menggunakan sekeping ham untuk setiap doh, letakkan separuh ham dahulu di tengah doh, kemudian paipkan mayonis, diikuti dengan separuh keju cheddar, paipkan mayonis, letakkan separuh ham lagi, paipkan mayonis dan diikuti dengan separuh lagi keju cheddar.
  10. Lipat doh ke dalam seperti melipat surat.  Picit bahagian hujung doh supaya lipatan tidak terbuka.
  11. Oles permukaan doh dengan campuran telur dan susu.
  12. Kemudian salut dengan serbuk parmesan.  Buang lebihan serbuk parmesan menggunakan berus baking.
  13. Susun di atas loyang pembakar yang dioles sedikit mentega/ dialas dengan kertas baking.  Letakkan jarak antara doh supaya roti tidak melekat antara satu sama lain.
  14. Tutup doh roti dan rehatkan selama 40 ke 50 minit, sehingga doh mengembang sebanyak dua kali ganda.




Membakar Roti :



  1. Panaskan ketuhar pada suhu 190℃ 15 minit sebelum habis masa rehat yang kedua.
  2. Kelar bahagian tengah roti menggunakan pisau nipis dan tajam.
  3. Paipkan mayonis di bahagian tengah roti.
  4. Bakar selama 15-20 minit, menggunakan api atas bawah pada rak tengah/kedua dari bawah.
  5. Setelah roti masak, oles permukaan roti dengan mentega/marjerin cair.
  6. Tabur parsley kering di atas mayonis.
  7. Roti siap untuk dihidang.






Friday, September 1, 2023

Cara Membuat Ekstrak Pandan dari Daun Pandan


 


Assalamualaikum readers...


Biasanya kalau kita nak guna jus pandan dalam apa jua resepi, seperti kuih talam, apam dan kek, kita akan gunakan jus pandan yang diambil dari daun pandan yang dikisar bersama air kemudian ditapis sebelum digunakan.  Jus pandan ini warnanya lebih kelam, dan lebih cair, bergantung juga kepada berapa banyak daun pandan yang digunakan.



Beberapa bulan lepas saya mendapat request untuk resepi bahulu tradisi yang menggunakan jus pandan.  Lama saya biarkan sebab nak ambil masa untuk berfikir dan mencipta resepi.  Saya kurang mahir membuat kuih tradisi macam bahulu ni, sebab tu kena ambil masa sedikit untuk membuat eksperimen. Hehe... Setahu saya, adunan bahulu ni lebih kurang sama dengan adunan kek span atau genoise, yang tak menggunakan minyak.  Kuantiti tepungnya juga sedikit supaya bahulu tidak mampat.  Kalau ikut resepi bahulu asli, baking powder atau ovalet tidak digunakan.  Memang bahan asasnya ada tiga sahaja - tepung, telur dan gula.  Dalam pada berfikir nak cipta resepi ni, saya terfikir hendak menggunakan ekstrak pandan sebab rasa pandannya lebih pekat dan tidak perlu letak banyak seperti kalau kita gunakan jus pandan.  Jadi, hasil carian beberapa resepi di google, saya adaptasi sedikit tentang cara-cara membuat ekstrak pandan yang mudah di rumah.


Tonton Video di Sini :




Perbezaan antara ekstrak pandan dengan jus pandan ialah, ekstrak pandan ialah mendapat yang terhasil apabila jus pandan direhatkan dalam peti sejuk selama sekurang-kurangnya 24 jam.  Selepas jus pandan direhatkan, anda akan dapati akan ada dua lapisan, lapisan bawah yang berwarna hijau gelap manakala lapisan atas berwarna hijau muda atau kekuningan.  Semakin lama jus pandan direhatkan, ekstrak pandan akan menjadi lebih pekat.  Sementara jus pandan tadi ialah jus yang terhasil apabila daun pandan dikisar bersama air.  Jus pandan tidak perlu direhatkan dan boleh terus digunakan.  Jadi, kepekatan jus pandan lebih cair berbanding ekstrak pandan dan perlu letak dalam kuantiti yang lebih banyak untuk mendapatkan rasa pandan yang lebih menyerlah.

Ekstrak pandan ni banyak kegunaannya.  Antaranya ialah untuk membuat kek mentega, pandan buttercream, kek chiffon, muffin, roti, bahulu pandan atau kuih muih seperti apam puteri ayu.

Ekstrak pandan ini boleh bertahan dalam 5 hari dalam peti sejuk.  Semakin lama ekstrak pandan ini disimpan, maka ekstraknya akan menjadi semakin pekat ya.

Selamat mencuba!



Ekstrak Pandan





Kategori : Lain-lain

Masa Penyediaan : 10 minit

Masa Rehat : 24-48 jam

Jumlah Hidangan : Anggaran 85 ml ekstrak pandan



BAHAN-BAHAN :


100 gm daun pandan (anggaran 25-30 helai daun pandan)

500 ml air (2 cawan)



CARA MEMBUAT :


  1. Basuh bersih daun pandan. Buang bahagian hujung yang berwarna coklat dan bahagian pangkal yang berwarna putih kerana rasanya agak pahit.
  2. Potong daun pandan pendek-pendek.
  3. Masukkan ke dalam pengisar dan tambahkan air.
  4. Kisar sehingga daun pandan halus.
  5. Tapis jus pandan dengan menggunakan penapis berjaring halus.
  6. Tuang jus pandan ke dalam botol dan simpan dalam peti sejuk sekurang-kurangnya 24 jam.
  7. Selepas 24 ke 48 jam, buang lapisan atas yang berwarna hijau muda atau kekuningan.
  8. Ekstrak pandan ialah mendapan berwarna hijau tua yang terdapat di bahagian bawah.
  9. Ekstrak pandan boleh terus digunakan atau disimpan dalam peti sejuk.