Info Biskut Berterap (Rolled Cookies)

Friday, February 28, 2020

Info Biskut Berterap (Rolled Cookies)



Pengenalan

Biskut berterap ialah biskut yang dihasilkan dengan menerap doh biskut yang telah dicanai menggunakan pelbagai bentuk acuan penerap sesuai dengan bentuk biskut yang diinginkan.
Acuan penerap, disamping mempunyai pelbagai bentuk, ianya juga mempunyai dua jenis - acuan penerap yang diperbuat dari tembaga dan yang diperbuat dari plastik.  Acuan tembaga harganya lebih mahal, tetapi jangka hayatnya lebih lama dan lebih tahan lasak.


Asas Membuat Biskut Berterap

Asas untuk membuat biskut berterap atau rolled cookies memerlukan doh biskut yang lebih keras, atau padat berbanding doh untuk membuat drop cookies seperti biskut coklat chips.  Saya lebih suka rehatkan doh biskut yang hendak saya terap dahulu di dalam peti sejuk, paling kurang pun satu jam untuk memudahkan proses menerap dan supaya biskut bila dibakar tidaklah begitu mengembang sehingga bentuknya menjadi bentuk yang tidak diingini.

Doh biskut yang telah direhatkan dicanai menggunakan kayu pencanai.  Ketebalan doh biskut kalau mengikut ukuran standard ialah 1 cm, tapi boleh dinipiskan lagi terutama kalau membuat biskut berterap yang mempunyai dua lapis.

Biskut yang telah diterap biasanya akan dihias dengan bahan hiasan seperti badam cincang, coklat rice, bijirin, kekacang dan sebagainya dan diglis dengan kuning telur sebelum dibakar.



Sedikit Tips Untuk Membuat Biskut Berterap


Sebelum Mencanai Doh:

Sebaiknya gunakan silicone mat yang anti-lekat, atau alaskan dengan parchment paper.  Kalau tidak, tabur sedikit tepung di atas permukaan tempat kerja.  Pastikan permukaan kerja bersih dan jangan tabur tepung terlalu banyak kerana ianya boleh membuatkan doh biskut bertambah keras.  Sebaiknya lapik bahagian permukaan doh dengan plastik atau cling wrap untuk mengelakkan doh terlekat pada kayu pencanai.

Jika doh yang telah direhatkan di dalam peti sejuk terlalu keras, biarkan dahulu sebentar doh berada di suhu bilik untuk melembutkannya sedikit.  Tips saya sewaktu mengadun doh biskut ialah dengan mengurangkan sedikit jumlah tepung, tak mengapa jika adunan masih sedikit lembik sebelum dimasukkan ke dalam peti sejuk, sebab bila direhatkan, baking powder dan baking soda akan membuatkan doh biskut mengembang, begitu juga dengan beberapa komponen lain dalam doh biskut seperti nestum, tepung jagung, tepung beras dan bijirin akan turut membuatkan doh keras.  Kemudian, jika doh biskut masih sedikit lembik tambahkan lagi tepung gandum sedikit demi sedikit sambil diuli supaya rata.

Doh yang terlalu keras akan mudah pecah dan berderai.  Kalau doh biskut terkeras, pukulkan sedikit mentega dan gula dalam nisbah 1:0.5, mulakan dengan nisbah yang paling kecil iaitu 20 gram mentega dan 10 gram gula.  Atau pun, boleh juga tambahkan lagi sebiji kuning telur pada doh untuk melembutkannya.


Sewaktu Mencanai dan Menerap Doh:

Sekiranya anda mengadun doh dalam kuantiti yang banyak, bahagikan doh kepada beberapa bahagian untuk memudahkan kerja mencanai doh.  Baki doh bungkus dalam cling wrap supaya tidak terdedah di udara atau simpan semula dalam peti sejuk.

Mulakan mencanai doh dari bahagian tengah ke tepi dalam bentuk membulat atau segi empat.  Agak-agak supaya doh yang dicanai mempunyai ketebalan yang sama. Celupkan acuan penerap dalam tepung untuk memudahkan doh tertanggal dari acuan penerap.  Hentak acuan penerap yang telah dicelup dengan tepung untuk membuang tepung yang berlebihan.  Kita tak nak biskut yang mempunya tepung yang bertompok di permukaannya.  Jika biskut terlekat pada papan pencanai atau permukaan tempat kerja, angkat biskut menggunakan spatula atau pisau dengan hati-hati supaya bentuk biskut tidak rosak. 

Mencanai Semula Baki Doh:

Kumpulkan baki doh yang telah diterap, bulatkan dan canai semula sehingga doh habis.



Tips Membakar Biskut Berterap


Susun biskut yang telah diterap di atas loyang pembakar yang telah diglis dengan mentega atau dialas dengan parchment paper, baking paper atau silicone mat.  Jarakkan biskut antara satu sama lain untuk memberi ruang biskut mengembang sewaktu sedang dibakar. 

Hias biskut dengan topping kegemaran atau boleh juga diglis dengan kuning telur sahaja.

Bakar biskut menggunakan api atas bawah di rak tengah dengan suhu 170℃ atau 180℃ selama 12 hingga 25 minit. (bergantung kepada jenis oven, jenis dulang pembakar yang digunakan dan jenis biskut).  Biskut telah masak sekiranya bahagian bawahnya telah bertukar warna kecoklatan.  Saya lebih gemar biskut yang sedikit overbaked, kerana rasanya lebih wangi dengan tekstur yang lebih rangup.

Sejukkan biskut di atas redai dan simpan di dalam bekas kedap udara.


Resepi-resepi Biskut Berterap Popular:


Biskut Nestum Rangup

0 comments :

Post a Comment