Resepi Mini Apam Balik Sukatan Cawan (Tanpa Yis, Mixer & Blender)

Wednesday, March 11, 2020

Resepi Mini Apam Balik Sukatan Cawan (Tanpa Yis, Mixer & Blender)





Apam balik merupakan snek jalanan atau street food yang sangat popular di sini.
Dulu, sewaktu zaman saya dan hubby rajin merayau ke pasar malam, saya selalu membeli apam balik di gerai-gerai menjual apam balik yang ada di sana.
Ada bermacam jenis perisa apam balik ni.
Daripada yang original toppingnya iaitu kacang tanah tumbuk, gula pasir, jagung berkrim dalam tin dan mentega atau marjerin hinggalah yang berperisa coklat, Nutella, pulut hitam dan cheese.

Saya pernah beberapa kali cuba membuat sendiri apam balik ni, tapi begitu susah nak dapatkan tekstur apam balik yang berongga dan gebu.
Saya pernah mencampurkan yis ke dalam apam balik saya sebelum ni, tapi malangnya tetap tak memenuhi citarasa.
Terfikir juga, kalau apam balik yang dijual di gerai-gerai, adakah penjualnya menggunakan yis sebagai ajen penaik apam balik ni?
Sebab, adunan yang beryis tidak boleh ditinggal lama kan? Kalau tak nanti jadi over-proofed pula adunannya.



Adunan apam balik asas ialah tepung gandum, gula, garam, bahan penaik seperti baking soda, baking powder atau sesetengah resepi menggunakan yis, telur, air atau susu.
Kemudian, anda boleh menambah esen vanilla dan pewarna kuning sebagai penyedap dan mencantikkan warna apam balik anda.
Dalam beberapa kali bereksperimen untuk mendapatkan resepi yang bagi saya "ok" ialah apabila saya gandingkan penggunaan susu segar yang berada di suhu bilik dan air suam.
Anda boleh juga gunakan susu segar suam sepenuhnya untuk membuat apam balik, yang penting cecair mesti suam.
Kemudian, saya rehatkan dahulu adunan apam balik sekurang-kurangnya 30 minit.
Baking soda ni bersifat alkali, jadi bila dicampur dengan air  atau susu yang bersifat asid akan mengeluakan gas-gas carbon dioksida, berbentuk buih-buih seperti yang kita lihat bila kita mengadun adunan apam balik.
Penggunaan air atau susu suam, dan merehatkan adunan merangsang pembentukan buih-buih carbon dioksida yang akan menjadikan apam balik kita gebu dan berongga bila dimasak.

Saya membuat apam balik bersaiz mini, dengan menggunakan non-stick pan berdiameter 15.5cm.
Saya lebih suka apam balik yang bersaiz kecil, kerana tak perlu nak potong banyak, potong dua dah cukup untuk menghidang.



RESEPI MINI APAM APAM BALIK

Categori : Kuih Melayu
Menghasilkan : 7 mini apam balik


Bahan-bahan:

2 cawan tepung gandum
4 sudu besar gula pasir
1 1/2 sudu teh baking powder
1 sudu teh baking soda
1/2 sudu teh garam halus
1 biji telur
1 cawan susu segar (suhu bilik/ suam)
1 cawan air suam
1 sudu besar minyak masak
1/2 sudu teh esen vanila
1/4 sudu teh pewarna kuning

Topping:


Kacang tanah tumbuk
Gula pasir
Mentega/Marjerin
Jagung manis berkrim
Coklat rice



Cara Penyediaan

Sediakan kacang tumbuk:

Untuk menyediakan kacang tanah tumbuk, sangai atau bakar sedikit kacang tanah (anggaran 1/3 cawan kacang tanah), sehingga kulitnya mudah tertanggal dari isi kacang tanah.  Asingkan kulit kacang tanah yang tertanggal dari isinya dan tumbuk atau kisar kasar.


Mengadun adunan apam balik:

Campurkan kesemua bahan kering (tepung gandum, gula pasir, garam halus, baking powder dan baking soda di dalam mangkuk.  Gunakan whisk dan kacau rata.

Kemudian, masukkan telur dan susu, diikuti dengan secawan air suam dan kacau sebati.

Akhir sekali, masukkan minyak masak, esen vanila dan pewarna kuning.  Kacau sehingga adunan licin dan tak bergentel.  Kalau rajin, boleh juga ditapis adunan sebelum direhatkan.

Tutup mangkuk pengadun dengan penutup periuk atau cling wrap dan rehatkan adunan selama 30 minit.


Untuk memasak apam balik:

Panaskan non-stick pan menggunakan api kecil (terpulang nak pakai pan saiz apa) dan lenser pan dengan sedikit minyak.

Tuang sedikit adunan, agak-agak jangan terlalu tebal atau nipis, dan pusingkan pan untuk membuat kerak di bahagian tepi apam balik.  Tutup pan dan masak sehingga timbul buih-buih besar di permukaan apam balik dan permukaan atasnya sudah hampir masak.

Taburkan gula pasir dan masak sehingga permukaan apam balik kering.

Angkat dan sapukan permukaan apam balik dengan mentega atau marjerin, sudukan beberapa sudu kecil jagung manis berkrim dan tabur dengan kacang tanak tumbuk dan coklat rice jika suka.  Lipat apam balik kepada dua dan sapu bahagian luarnya dengan mentega atau marjerin.

Ulangi langkah di atas hingga adunan habis.

Untuk menghidang, potong kecil apam balik dan hidang serta-merta.





Untuk tutorial membuat apam balik, sila tonton cara membuat apam balik di channel Youtube saya di bawah ini 👇





#TIPS UNTUK MENGEKALKAN KELEMBUTAN APAM BALIK#


Apam balik yang telah sejuk hendaklah disimpan di dalam bekas yang kedap udara.

Untuk mengekalkan kesegarannya, apam balik boleh disimpan di dalam peti sejuk dan boleh bertahan selama 3 hari.

Untuk memanaskan apam balik, anda boleh memanaskannya menggunakan ketuhar, microwave atau menggunakan pan di atas dapur saja.  Caranya, jika menggunakan ketuhar, balut apam balik dengan aluminium foil dan bakar pada suhu 150℃ sehingga apam balik hangat bila disentuh.  Untuk memanaskannya menggunakan microwave, letak cawan kecil berisi air di atas dulang microwave dan panaskan apam balik selama 2 minit atau sehingga apam balik hangat.  Untuk memanaskannya menggunakan api, lenser sedikit minyak di atas non-stick pan, masukkan apam balik dan masak sebentar menggunakan api paling kecil.  Balikkan apam balik untuk memanaskan bahagian yang satu lagi.

0 comments :

Post a Comment