Resepi Roti Pita Wholewheat Yang Lembut

Friday, October 29, 2021

Resepi Roti Pita Wholewheat Yang Lembut


 




Assalamualaikum...


Resepi yang akan saya kongsikan kali ini berasaskan roti dengan menggunakan tepung gandum penuh yang dicampur dengan tepung roti.

Roti pita atau nama lainnya roti poket merupakan antara pilihan roti yang popular untuk dijadikan roti kebab.

Cara membuat roti pita sebenarnya hampir sama dengan cara membuat roti naan dan juga roti Lubnan atau roti Arab yang biasanya orang gunakan untuk membuat Chicken/ Beef Shawarma.

Sebenarnya rancangan asalnya saya nak buat Chicken Shawarma dan dipadankan dengan sos Thatziki yang berasaskan yogurt dan timun, bawang putih, serbuk lada hitam, jus lemon, garam dan minyak zaitun.

Tetapi malangnya saya ketiadaan stok serbuk jintan dan daun parsley, jadi terpaksa tukar rancangan dan hasilnya ialah roti pita wholewheat yang berintikan daging cincang yang cukup rasa dan sedapnya.  Hihi..



Roti pita wholewheat ini saya hanya uli sebentar menggunakan tangan, tidak menggunakan stand mixer atau bread maker sebab dohnya tidak perlu diuli lama sehingga elastik seperti doh roti yang biasa, hanya perlu uli beberapa minit untuk membentuk gluten supaya tekstur roti tidak mampat dan anjal.

Di dalam video roti pita yang pernah saya kongsikan sebelum ini, saya menggunakan bahan asas untuk membuat roti pita sahaja iaitu tepung roti/gandum, yis, garam, sedikit minyak sayuran, air suam dan sedikit gula.

Hasilnya memuaskan tetapi bagi saya teksturnya sedikit liat.

Setelah beberapa kali membuat eksperimen dan perbandingan, saya lebih suka doh roti pita yang ditambah yogurt untuk tekstur yang lebih lembut dan gebu.






Apa yang membuatkan roti pita wholewheat ini istimewa dan rasanya lain dari roti pita segera yang dijual dipasaran ialah rasanya yang lebih enak, tidak terlebih manis, tidak kering dan rotinya tidak mudah koyak.

Dan yang paling penting tiada tambahan bahan pengawet.

Jadi, peminat roti pita memang berbaloi sangat buat roti pita sendiri di rumah untuk dinikmati seisi keluarga.


Tekstur roti pita yang baik ialah roti mempunyai poket atau ruang udara di bahagian dalamnya.

Bagaimana cara untuk dapatkan poket pada roti pita ni?


Antara faktor yang anda perlu ambil kira ialah:


  • SUHU SEWAKTU MEMANGGANG ROTI PITA  - Gunakan api/suhu sederhana ke sederhana tinggi untuk memanggang roti pita di atas dapur atau induction cooker dan pastikan kuali telah betul-betul panas sebelum memanggang roti pita. Manakala, untuk versi oven, suhu memanggang ialah antara 240℃ ke 250℃ dan oven perlu dipanaskan terlebih dahulu.  Stim atau wap panas yang terhasil di dalam roti disebabkan suhu yang panas akan membuatkan roti pita menggelembung.
  • PASTIKAN TIADA LUBANG ATAU BAHAGIAN DOH YANG KOYAK -  Sewaktu mencanai atau memindahkan doh, kadangkala ada kemungkinan ada bahagian yang berlubang atau terkoyak yang membuatkan roti pita sukar untuk menggelembung sewaktu dipanggang kerana wap panas akan terkeluar dari lubang atau bahagian doh yang koyak.





Jadi, andai kata roti pita anda tidak menggelembung sewaktu dipanggang, tidaklah bermakna roti anda tidak menjadi dan tidak boleh digunakan ya.
Kadangkala, roti pita saya pun meragam juga tak mahu menggelembung 😅.
Kalau roti tak menggelembung, anda hanya perlu buat sendiri poketnya menggunakan pisau yang tajam.


Roti pita ini boleh dibekukan dan tahan selama 2 bulan di dalam freezer.
Setelah roti pita sejuk, susun roti pita secara bertingkat dan letakkan sekeping kertas pembakar atau plastik untuk memisahkan antara lapisan.
Dengan ini, roti pita tidak akan melekat antara satu sama lain setelah ianya beku.




Tonton video tutorial tentang cara membuat roti pita wholewheat berserta dengan inti dagingnya menerusi pautan video di bawah ini :







Tanpa membuang masa, jom kita semak cara-cara membuat roti pita wholewheat yang mudah ni.


Selamat mencuba!






ROTI PITA WHOLEWHEAT DENGAN INTI DAGING


 






Jenis Hidangan : Roti & Pizza

Masa Penyediaan : 1 jam 20 minit

Masa Memasak : 25 minit

Jumlah Hidangan : 12 keping





Roti Pita Wholewheat




Bahan-bahan:



250 gram tepung wholewheat/tepung gandum penuh  (2 cawan)

250 gram tepung roti/tepung berprotein tinggi  (2 cawan)

12 gram gula halus  (1 sudu besar)

7 gram yis kering segera  (2 & 1/2 sudu teh)

8 gram garam (1 & 1/2 sudu teh)

130 gram yogurt tanpa perisa  (1/2 cawan & 1/2 sudu besar)

45 ml minyak jagung/minyak sayuran tanpa bau  (3 sudu besar)

Anggaran 188 ml air suam  (3/4 cawan & 1/2 sudu besar)




Cara Membuat:



Di dalam mangkuk pengadun, masukkan tepung wholewheat dan tepung roti.  Tuang gula halus, yis kering dan garam di tiga tempat yang berasingan di atas campuran tepung.  Satukan ketiga-tiga bahan ini dengan campuran tepung secara berasingan menggunakan senduk/spatula dahulu.  (Tujuannya ialah supaya garam tidak bersentuh secara langsung dengan yis).  Setelah itu, gaul rata kesemua bahan kering.













Buatkan lubang pada tengah adunan dan masukkan yogurt, minyak sayuran dan sedikit air suam.  Gaul rata kemudian satukan dengan bahan kering.  Tambah air suam sedikit demi sedikit sambil menggaul menggunakan spatula/tangan sehingga terbentuk doh yang tidak melekat pada mangkuk pengadun.













Setelah terbentuk doh, uli doh selama lebih kurang 5 minit sehingga permukaannya agak licin.  Tidak perlu uli sehingga elastik. Bulatkan doh dan oles dengan sedikit minyak.  Tutup mangkuk pengadun dengan cling wrap/tuala lembap dan rehatkan 60 ke 90 minit sehingga doh mengembang dua kali ganda.














Selepas 60 minit, pindahkan doh ke atas permukaan kerja/papan pencanai yang ditabur sedikit tepung.  Tekan-tekan doh untuk keluarkan angin.  














Bahagikan doh kepada 12 bahagian.  Bulat-bulatkan dan susun bebola doh di atas permukaan yang ditabur tepung.  Tutup bebola doh dan rehatkan 15 minit supaya doh mudah untuk dicanai.














Selepas 15 minit, ambil satu bebola doh dan canai berbentuk bulat setebal anggaran 1/4 inci.  Anda boleh terus memanggang doh roti sebaik sahaja doh siap dicanai atau susun dahulu doh roti secara bertingkat di atas permukaan yang telah ditabur tepung.  Letakkan sekeping kertas pembakar pada setiap lapisan doh roti dan tabur dengan sedikit tepung di atas permukaan doh roti dan juga kertas pembakar supaya doh tidak melekat pada kertas pembakar.  Ulang sehingga kesemua bebola doh siap dicanai.














Panaskan kuali leper anti lekat dengan suhu/api sederhana tinggi.  Ambil satu doh roti yang telah dicanai dan canai lagi sekali dengan perlahan supaya doh tidak terkoyak dan menjadi leper semula.













Panggang doh roti dengan api/suhu sederhana ke sederhana tinggi setelah kuali telah betul-betul panas. Balik-balikkan roti supaya masak dengan sekata.  Roti akan menggelembung setelah dibalikkan.  Masak sehingga kedua-dua belah sedikit kecoklatan.












Setelah roti menggelembung, angkat dan pindahkan ke atas pinggan yang dialas kain bersih.  Bungkus roti pita yang masih panas dengan kain bersih supaya tidak kering.  Ulang langkah sama sehingga kesemua doh roti selesai dipanggang.














Inti Daging




Bahan-bahan:



2 sudu besar minyak masak

2 ulas bawang putih (parut/tumbuk halus)

3/4 ke 1 biji bawang Holland  (didadu)

400 gram daging cincang

1/2 batang lobak merah (didadu)

Sedikit air

2 sudu besar sos tomato

3 sudu besar sos cili

1 sudu besar sos tiram

1/2 sudu besar sos Worchestershire

1 sudu besar serbuk ketumbar

2 sudu teh serbuk lada hitam

2 sudu teh serbuk paprika

1/4 biji capsicum (didadu)

1/4 biji lada benggala merah (didadu)

1/4 biji lada benggala kuning (didadu)

Garam secukupnya





Cara Membuat:



Panaskan 2 sudu besar minyak masak di dalam kuali (sebaiknya pakai kuali anti-lekat).  Tumis bawang putih bersama bawang besar yang didadu sehingga harum dan bawang besar sedikit layu.













Masukkan daging cincang, pecah-pecahkan daging menggunakan senduk dan tumis sehingga daging berubah warna. 













Masukkan lobak merah dan tumis sebentar sehingga lobak separa lembut.













Masukkan sedikit air, diikuti dengan sos tomato, sos cili, sos tiram, sos Worchestershire, serbuk ketumbar, serbuk lada hitam dan serbuk paprika.  Kacau sebati dan tumis sehingga air kering.













Masukkan lada benggala hijau, merah dan hijau dan perasakan dengan garam.  Tumis sebentar sahaja kemudian padamkan api.  














CARA MENGHIDANG




Belah dua roti pita.  Panaskan sebentar di atas kuali jika suka.












Isi dengan salad dan hirisan timun.  Sudukan inti daging  secukupnya.












Paipkan sos cili dan mayonis di atas inti daging.  Hias dengan tomato ceri yang dibelah dua dan hirisan daun bawang jika suka.















0 comments :

Post a Comment