Resepi Biskut Coklat Blueberry Tanpa Telur
Assalamualaikum readers...
Masih belum terlambat untuk saya ucapkan Salam Aidilfitri kepada umat Islam di seluruh pelosok dunia. Walaupun hari ni merupakan hari lebaran yang ke-5, kemeriahannya masih terasa, masih ramai lagi penduduk di area kediaman saya yang masih belum pulang sebab masih meraikan hari raya bersama keluarga di kampung halaman masing-masing. Tetapi bagi kami yang masih ada tanggungjawab di sini, cukuplah cuti selama 3 hari sahaja. Hehe..
Resepi biskut coklat blueberry ni telahpun saya upload di channel Youtube saya beberapa minggu lepas, tapi baru sekarang berkesempatan untuk update resepinya di blog, Sejak kebelakangan ni badan terlalu cepat letih, mungkin kerana telah berhempas pulas menyiapkan tempahan biskut dan kek untuk customers sampaikan nak duduk menaip pun takde masa.
Biskut coklat blueberry ni merupakan salah satu biskut jualan saya beberapa tahun lepas. Dah lama tak buat biskut ni, memandangkan inti blueberry yang saya guna untuk buat cheese tart tempoh hari pun masih banyak, nak buat cheese tart rasa malas, jadi saya buatlah biskut ni. Dulu saya buat biskut ni tanpa menggunakan loyang sekat, saya tekan doh ke dalam loyang pembakar biasa kemudian potong menggunakan pisau semasa biskut masih panas. Dengan adanya loyang penyekat ni, kerja menjadi lebih mudah. Tak perlu bimbang biskut pecah sewaktu dipotong atau saiz potongan biskut yang tak sekata..
Saya olah resepinya tanpa menggunakan telur memandangkan harga telur sekarang pun mahal, jadi bolehlah kurangkan kos sikit kan. Tekstur biskut ni tidak rangup, teksturnya lembut dengan gabungan rasa coklat yang mewah dan inti blueberry yang masam manis. Biskut ni sedap dimakan ketika sejuk.
Tonton Video di Sini 👇
Bagi peminat biskut jenis bar yang lembut dan sedikit chewy macam ni bolehlah mencubanya di rumah, mudah saja cara untuk membuatnya, hanya perlu tekankan doh pada permukaan loyang sekat, kemudian sapukan inti blueberry dan akhir sekali parutkan baki doh di atasnya. Kalau suka boleh taburkan coklat rice sikit untuk menambah rasa coklat pada biskut.
Waktu membakar untuk biskut sebegini haruslah lebih panjang dengan suhu yang lebih rendah supaya bahagian tengah biskut masak sepenuhnya, sama seperti membuat base untuk biskut marble shortbread.
Selamat mencuba!
Biskut Coklat Blueberry
Kategori : Biskut Raya
Masa Penyediaan : 20 minit
Masa Membakar : 80 minit
Jumlah Hidangan : 100 keping biskut
BAHAN-BAHAN :
250 gm mentega bergaram (lembut) | 1 cawan
175 gm gula kastor/ gula pasir yang dikisar halus | 3/4 cawan & 2 sudu besar
1 sudu teh esen vanilla
15 gm serbuk badam | 2 sudu besar (optional, nak skip pun boleh)
75 gm tepung jagung | 2/3 cawan
30 gm serbuk koko | 6 sudu besar
3 gm emplex | 1 sudu teh
220 gm tepung gandum | 1 & 3/4 cawan
180 gm inti blueberry | 2/3 cawan
Coklat urai secukupnya
CARA MEMBUAT :
- Panaskan ketuhar pada suhu 160℃ (tanpa kipas).
- Alas loyang sekat 10x10 inci dengan kertas pembakar, lebihkan bahagian tepi supaya mudah nak keluarkan biskut nanti.
- Semburkan penyekat loyang yang telah dipasang dengan cooking/baking spray, atau oles dengan mentega/marjerin supaya tidak melekat.
- Di dalam mangkuk pengadun, putar bersama mentega dan gula kastor/gula kisar halus sehingga pucat dan berkrim dengan kelajuan sederhana.
- Masukkan esen vanilla dan serbuk badam dan putar sehingga sebati.
- Ayak bersama tepung jagung, serbuk koko, emplex dan tepung gandum ke dalam adunan dan adun sehingga menjadi doh.
- Bahagikan adunan menjadi dua bahagian, dengan satu bahagian lebih besar (untuk base biskut), anggaran 460 gm dan 300 gm.
- Tekan doh yang lebih banyak ke dasar loyang sekat yang telah dialas, alas dengan plastik kemudian ratakan menggunakan perata kek lapis/scraper/rolling pin kecil sampai ketinggiannya sekata.
- Cucuk-cucuk permukaan doh dengan garfu supaya biskut masak dengan sekata dan tidak menggelembung sewaktu dibakar.
- Sapu permukaan doh biskut dengan inti blueberry. Boleh juga masukkan inti blueberry ke dalam beg piping plastik, kemudian picitkan pada permukaan doh dan ratakan menggunakan spatula.
- Parut baki doh sampai menutupi inti blueberry.
- Taburkan coklat urai.
- Bakar 60 ke 80 minit menggunakan api atas bawah, bergantung kepada ketuhar masing-masing. Letak loyang di rak bawah atau rak kedua bawah.
- Setelah biskut masak, biarkan biskut sejuk sebentar dalam loyang, dalam 30 minit sebelum keluarkan penyekat.
- Alihkan biskut ke atas loyang lain yang lebih besar dan keluarkan penyekat satu per satu.
- Tunggu biskut sejuk sepenuhnya sebelum disimpan dalam bekas kedap udara.
0 comments :
Post a Comment