Resepi Biskut Nestum Rangup

Friday, February 28, 2020

Resepi Biskut Nestum Rangup






Posting pertama untuk koleksi biskut ialah biskut Nestum.
Siapa yang tak kenal dengan biskut yang satu ni, selain rasanya yang enak, teksturnya juga rangup dan cair di mulut.
Nestum memang merupakan antara bahan baking yang mesti ada di rumah saya kerana kegunaannya yang banyak.
Saya juga gemar memasukkan Nestum dalam kek batik, nanti bila saya buat kek batik Insyallah akan saya kongsikan.

Untuk biskut Nestum, saya lebih suka menerapnya menggunakan acuan penerap kegemaran.
Hiasan paling mudah ialah dengan mengglis kuning telur, kemudian tabur saja sedikit Nestum kasar di bahagian atasnya.
Diam tak diam tinggal lagi lebih kurang tiga bulan saja nak raya kan?
Kepada yang minat nak baking sendiri biskut raya tahun ni, mesti dah sibuk mencari resepi biskut.
Saya memang sangat gemar membaking, baik biskut, roti mahupun kek.
Saya suka mencuba resepi-resepi baru, mendesign sendiri biskut-biskut dan kek saya sesuai citarasa.

Saya dan Hubby kurang gemar biskut atau kek yang terlalu manis.
Jadi, kebanyakan resepi yang akan saya kongsikan manisnya sederhana saja.
Jadi, kalau inginkan biskut atau kek yang lebih manis, boleh tambah lagi kuantiti gula atau pemanis yang digunakan.
Biasanya untuk basic membuat biskut, saya menggunakan nisbah
 1(untuk gula):2 (untuk mentega) :3 (untuk tepung).
Contohnya, kalau menggunakan 50 gram gula, menteganya ialah 100 gram dan tepung 150 gram.
Tapi bergantung juga pada jenis biskut yang dibuat, dan penggunaan bahan pemanis lain atau bahan baking yang mengurangkan rasa manis biskut seperti serbuk koko dan baking soda.
Kalau guna serbuk koko atau baking soda, kuantiti gula perlu ditambah.

Dulu masa saya kecil, saya selalu bantu ibu saya membuat biskut.
Bila musim cuti sekolah, kadang-kadang kalau rajin, ada juga ambil tempahan biskut raya dari 
kawan -kawan pejabat ibu.
Dulu, kami pakai sukatan ounces.
Jadi, kalau pakai 4 oz mentega, gulanya ialah 3 oz dan tepung lebih kurang 6 ke 7 oz.
Sekarang tak pakai lagi dah penimbang dengan unit ounces tu.

Resepi biskut yang akan saya kongsikan dalam blog ni kebanyakannya akan menggunakan ukuran gram.
Jika anda minat baking, saya sarankan untuk invest sedikit duit untuk membeli penimbang untuk mendapatkan ukuran yang lebih tepat.

Baiklah, jom kita semak resepi biskut Nestum yang saya buat untuk Tahun Baru Cina yang lepas ni.






RESEPI BISKUT NESTUM RANGUP

Kategori : Biskut Berterap
Menghasilkan : Anggaran 70 keping


Bahan-bahan:

200 gram mentega
70 gram gula castor
30 gram susu pekat manis
1 biji kuning telur
1 sudu teh esen vanila
1 sudu besar serbuk badam - optional
60 gram Nestum
1 sudu teh baking powder
100 gram tepung jagung
180 gram tepung gandum


Bahan hiasan:

Nestum secukupnya
1 biji kuning telur - tambah sedikit pewarna kuning



Langkah Penyediaan:
  1. Kisar halus Nestum menggunakan blender kering (miller).
  2. Ayak baking powder bersama tepung jagung dan tepung gandum.  Ketepikan.
  3. Di dalam mangkuk pengadun, pukul mentega, gula castor dan susu pekat manis menggunakan electric mixer sehingga kembang dan berkrim.
  4. Masukkan kuning telur, esen vanila dan nestum kisar.  Pukul sebati.
  5. Masukkan campuran tepung, dan kacau menggunakan kelajuan rendah atau menggunakan spatula.
  6. Uli sehingga adunan tak melekat di tangan.
  7. Bungkus doh menggunakan cling wrap dan rehatkan sebentar dalam peti sejuk selama 30 minit, supaya biskut mempunyai bentuk yang kemas dan cantik selepas dibakar.
  8. Keluarkan doh dari peti sejuk, kalau doh biskut terlalu keras, biarkan sebentar di suhu bilik.  Taburkan sedikit tepung di atas papan pencanai, atau boleh juga lapikkan dengan plastik supaya bahagian doh tak melekat dengan papan pencanai, bahagikan doh kepada 2 ke 3 bahagian, uli satu bahagian dulu, bungkus semula bahagian doh yang lain dengan cling wrap supaya tak terdedah di udara, atau boleh juga simpan semula dalam peti sejuk sehingga sedia untuk diuli.
  9. Canai doh menggunakan kayu pencanai (rolling pin) dengan ketebalan 1cm da terap dengan acuan kegemaran.
  10. Susun biskut di atas dulang pembakar yang telah diglis mentega atau dialas baking atau parchment paper.  Jarakkan 1 cm antara biskut untuk memberi ruang biskut mengembang sewaktu sedang dibakar.
  11. Glis permukaan atas biskut dengan sapuan kuning telur dan tabur sedikit Nestum kasar di atasnya.
  12. Bakar dalam ketuhar yang telah dipanaskan pada suhu 180℃, api atas bawah menggunakan rak tengah selama 15 minit, atau sehingga biskut betul-betul masak.
  13. Sejukkan biskut di atas redai dan simpan di dalam bekas kedap udara bila biskut dah benar-benar sejuk.

NOTA

Sekiranya anda tak mempunyai gula castor, boleh menggunakan gula pasir biasa, tapi perlu kisar halus dulu sebelum guna menggunakan miller untuk mengelakkan gula yang masih berbutir-butir lagi, tak cukup hancur di dalam biskut.

0 comments :

Post a Comment