Resepi Biskut Butterscotch Chips
Minggu ini dah mula episod membaking biskut untuk mendesign biskut disamping menyiapkan sample biskut baru untuk diagihkan kepada pelanggan untuk tempahan Aidilfitri yang tak lama lagi.
Tempoh hari sewaktu menyiapkan tempahan biskut florentine butter cookies masih ada lagi krim yang berbaki tidak digunakan.
Kebetulan, stok butterscotch chips yang saya beli beberapa bulan lepas pun masih ada dalam peti sejuk.
Beberapa tahun lepas saya ada menjual biskut butterscotch chips ni, tapi disebabkan sudah agak lama, jadi resepinya pun saya dah lupa.
Buku resepi yang saya catat pun tercicir entah ke mana sewaktu sibuk mengemas untuk pindah rumah dua tahun lepas.
Jadi terpaksa mula dari awal untuk membuat biskut butterscotch chips ni.
Bezanya, sebelum ni biskut butterscotch chips saya mewah dengan bahan sampingan seperti rice bubbles dan badam cincang selain bahan utamanya iaitu gabungan antara butterscotch chips dan coklat chips.
Kalau tak silap, sekarang esen butterscotch pun dah available di pasaran kan?
Boleh juga kalau nak pakai esen butterscotch saja, tapi untuk rasa yang lebih enak dan asli, sebaiknya gunakanlah sos butterscotch yang home made.
Tersangat mudah untuk menyediakan sos butterscotch yang versatile kegunaannya, tak hanya untuk membuat biskut butterscotch chips saja.
Anda juga boleh menjadikan sos butterscotch sebagai dipping untuk churros, roti, wafel atau dijadikan glaze pada donat dan roti sarang lebah.
Cukup hanya menggunakan butterscotch chips dan coklat chips, biskut butterscotch chips ni memang tidak menghampakan.
Anda harus cuba menyediakan sendiri biskut ni terutama bagi peminat drop cookies di luar sana.
Penyediaan sos butterscotch, yang memerlukan browning of the butter, yang mana mentega harus dipanaskan sehingga kecoklatan dengan suhu sederhana , kemudian baru dicampur gula perang, krim, vanilla dan sedikit garam menjadikan biskut butterscotch chips ini unik dan istimewa.
Satu adunan biskut ini menghasilkan dalam 50 biji biskut, cukup untuk memenuhkan balang biskut bersaiz sedang tu.
Jom semak resepi.
BISKUT BUTTERSCOTCH CHIPS
Kategori : drop cookies
Menghasilkan : Lebih kurang 40-50 biji biskut
Bahan-bahan Untuk Sos Butterscotch:
20 gram mentega
40 gram gula perang
40 gram krim
1/2 sudu teh esen vanila
secubit garam
Langkah Penyediaan Sos Butterscotch:
Panaskan mentega di dalam sauce pan mengunakan suhu rendah. Biarkan mentega sehingga keperangan, kacau sekali sekala untuk mengelakkan hangus.
Kemudian masukkan gula perang dan krim dan biarkan sos mendidih dan sedikit pekat. Matikan api dan masukkan esen vanila dan secubit garam.
Sejukkan sos butterscotch sebelum digunakan. Untuk adunan sebegini dapat menghasilkan kira-kira 80 gram sos butterscotch, cukup untuk satu resepi biskut butterscotch chips ni.
Bahan-bahan Untuk Biskut Butterscotch Chips:
60 gram mentega
50 gram gula perang
10 gram gula castor
80 gram sos butterscotch
1 biji kuning telur
20 gram tepung jagung
1/2 sudu teh baking soda
140 gram tepung gandum
40 gram butterscotch chips
40 gram coklat chips
Langkah Penyediaan Biskut Butterscotch Chips:
Ayak tepung jagung, baking soda dan tepung gandum. Ketepikan.
Pukul mentega, gula castor dan gula perang sehingga sebati. Boleh menggunakan hand whisk atau electric mixer. Gunakan kelajuan rendah saja.
Masukkan sos butterscotch yang telah sejuk dan kuning telur. Pukul sebati.
Masukkan campuran tepung, diikuti dengan butterscotch dan coklat chips dan gaul menggunakan spatula. Adunan tidak lembik dan tidak terlalu keras jadi tak perlu direhatkan dahulu pun tak mengapa.
Sediakan dulang pembakar yang telah dialas dengan baking atau parchment paper, atau diglis nipis dengan mentega. Ceduk adunan menggunakan sudu kecil, atau gunakan sudu besar untuk saiz biskut yang lebih besar. Anda boleh cuba bakar dulu satu biskut, kemudian sesuaikan saiz doh mengikut citarasa. Saya suka biskut yang bite sized saja sebab itu saya menggunakan sudu kecil.
Susun biskut di atas dulang pembakar, jarakkan 1 inci antara satu sama lain untuk memberi ruang biskut mengembang ketika dibakar.
Panaskan dahulu ketuhar pada 180℃. Setelah itu, bakar biskut, menggunakan rak tengah, api atas bawah selama 12 to 18 minit, atau sehingga biskut masak.
Sejukkan biskut di atas redai dan simpan biskut di dalam balang atau bekas kedap udara bila telah betul-betul sejuk.
NOTA
Untuk penyediaan sos butterscotch kali ni, saya menggunakan cooking cream. Anda boleh guna whipping cream atau heavy cream untuk menyediakan sos nya. Hasilnya tak jauh beza yang penting gunakanlah mentega asli untuk rasa sos butterscotch yang lebih lemak dan wangi.
Turunkan suhu ketuhar kepada 170℃ sekiranya anda menggunakan dulang pembakar non-stick yang bewarna hitam, kerana biskut akan lebih cepat masak, dikhuatiri akan hangus dan biskut tak masak dengan sempurna di bahagian tengahnya kalau dibakar dengan suhu yang lebih tinggi.
0 comments :
Post a Comment