Info Molded Cookies

Wednesday, March 11, 2020

Info Molded Cookies



Pengenalan


Molded cookies ialah biskut yang dibentuk dari doh yang sedikit keras (bukan terlalu keras sehingga berderai bila diuli) menggunakan tangan menjadi bentuk bulat, bujur, bulan sabit dan sebagainya.  Contoh biskut yang menggunakan kaedah ini ialah biskut almond london, biskut kacang, biskut suji dan juga biskut-biskut lain yang hanya dibulat-bulatkan saja tanpa menggunakan acuan.  Molded cookies yang dibentuk menggunakan tangan saja kemudiannya ada yang ditekan menggunakan jari di bahagian tengahnya, ianya dipanggil sebagai thumbprint cookies.  Ada juga molded cookies seperti biskut peanut butter yang ditekan menggunakan garfu di bahagian atasnya untuk membentuk corak.

Selain itu, molded cookies boleh juga dibentuk menggunakan cookie stamp atau kayu pencanai yang telah mempunyai pattern di permukaannya untuk ditekan di atas doh biskut yang telah dicanai.

Kalau anda biasa mendengar biskut shortbread atau biscotti, kedua-dua jenis biskut klasik ini juga merupakan molded cookies.  Doh dibentukkan bulat atau segiempat, dibalut dengan cling wrap dan dikeraskan di dalam peti sejuk dahulu, kemudian dipotong mengikut ketebalan yang diingini dan dibakar.


Ciri Doh Untuk Molded Cookies

Doh untuk biskut ini diadun seperti membuat doh biskut untuk diterap dengan acuan (rolled cookies).  Dohnya tidak terlalu lembik dan tidak juga terlalu keras sehingga berderai bila dibentuk.
Sukatan tepung gandum bergantung kepada bahan-bahan sampingan yang dicampur di dalam doh, dan sukatan tepung gandum perlu dikurangkan sekiranya anda menambah bahan yang akan mengembang dan menyerap cecair di dalam doh seperti nestum, tepung jagung, tepung suji, tepung beras atau tepung ubi.
Sebaiknya, berhenti menambah tepung sewaktu adunan masih melekat sedikit di tangan, terutama jika anda bercadang untuk merehatkan dahulu doh sebelum dibentuk.
Sekiranya doh masih lembik setelah direhatkan baru tambah lagi tepung gandum, sedikit demi sedikit sambil diuli dengan tangan sehingga mendapat konsistensi doh yang tepat.



Semak Resepi-resepi Molded Cookies:





0 comments :

Post a Comment