Resepi Biskut Coco Crunch Mudah
Tahun ni saya ada menjual biskut coco crunch sewaktu musim perayaan Tahun Baru Cina baru-baru ini.
Biskut hasil olahan saya sendiri, setelah dua kali cubaan untuk mendapatkan biskut coco crunch yang sedap dan rangup.
Sebelum ini, saya pernah membuat biskut coco crunch, yang mana coco crunch nya saya kisar halus.
Hasilnya, biskut coco crunch saya kurang rangup.
Bila biskut kurang rangup, maka, kuranglah laku biskut coco crunch ni hingga terbiar berbulan-bulan tak disentuh.
Akhirnya, terpaksa masuk ke tong sampah je.
Disebabkan kesalahan teknikal yang membuatkan biskut coco crunch saya kurang rangup tu, saya cuba untuk meramas, atau kisar kasar coco crunch yang hendak saya campur di dalam doh biskut.
Hasilnya, biskut coco crunch saya lebih rangup dan sedap, tambahan lagi dengan coco crunch chunks yang ada di dalam doh biskut tadi menambah kerangupan seakan-akan bubble rice.
Anda boleh cuba sendiri membuat perbandingan bagaimana hasil biskut coco crunch yang menggunakan coco crunch yang dikisar halus dengan coco crunch yang diramas atau dikisar kasar saja.
Kadangkala, lain orang lain citarasanya.
Memandangkan pelanggan setia saya dan juga kaum keluarga lebih gemar memakan biskut atau cookies yang rangup, kecuali tart nenas, jadi saya mengolah kesemua biskut yang saya hasilkan supaya menepati citarasa semua.
Kepada yang mempunyai stok coco crunch di rumah dan dah jemu nak habiskan coco crunch dengan susu je, bolehlah mencuba membuat sendiri biskut coco crunch yang mudah dan enak ni.
Satu petua rahsia untuk menyedapkan biskut-biskut saya ialah penggunaan serbuk badam.
Serbuk badam menambah rasa lemak pada biskut.
jadi, letaklah sesudu dua serbuk badam jika anda membuat biskut, terutamanya biskut yang berasaskan coklat.
RESEPI BISKUT COCO CRUNCH MUDAH
Kategori : Molded Cookies
Menghasilkan : Anggaran 80 biji biskut
Bahan-bahan:
150 gram mentega (suhu bilik)
80 gram gula castor/ gula pasir biasa dikisar halus/gula icing
1 biji kuning telur
2 sudu besar serbuk badam - optional
80 gram coco crunch - ramas/ kisar kasar
180 gram tepung gandum
30 gram tepung jagung
1/4 sudu teh baking powder
1 sudu besar serbuk koko
Bahan hiasan :
Coco crunch secukupnya
Putih telur - agen pelekat
Coklat masakan - optional
Cara Penyediaan:
Ayak tepung gandum, tepung jagung, baking powder dan serbuk koko.
Menggunakan pemutar elektrik, pukul mentega dan gula hingga kembang dan berkrim.
Masukkan kuning telur dan serbuk badam dan pukul sebati.
Kemudian, masukkan coco crunch yang telah diramas atau dikisar kasar dan pukul sebati.
Masukkan bahan ayak, dan gaul adunan menggunakan spatula atau tangan sehingga menjadi doh.
Bulat-bulatkan doh sebesar duit syiling 10 sen dan susun di atas loyang yang telah diglis dengan mentega atau dilapik dengan baking paper. Jarakkan 1.5cm di antara biskut untuk memberi ruang biskut mengembang sewaktu dibakar.
Setelah siap, celupkan sebiji coco crunch ke dalam putih telur dan lekatkan di atas biskut. Buat hingga habis.
Bakar biskut di dalam ketuhar yang telah dipanaskan dahulu pada suhu 175- 180℃, menggunakan rak tengah, api atas bawah selama 15 ke 20 minit, atau sehingga biskut masak.
Sejukkan biskut di atas redai, dan jika suka boleh celupkan sebahagian biskut di dalam cokat masakan yang dicairkan, atau boleh paipkan coklat masakan di atas biskut menggunakan piping bag.
Susun biskut di dalam bekas kedap udara.
Untuk menonton cara-cara membuat biskut coco crunch ni, sila click video yang saya kongsikan di bawah ni.
Mohon di "like" dan subscribe ke channel Youtube saya ni. Terima kasih...😍
SELAMAT MEMBAKING!
0 comments :
Post a Comment