Resepi Roti (Bun) Pandan Kelapa Sukatan Cawan

Wednesday, March 11, 2020

Resepi Roti (Bun) Pandan Kelapa Sukatan Cawan







Roti memang antara makanan yang menjadi kegemaran kami sekeluarga.
Sejak dua menjak ni, saya sudah mula mempelbagaikan resepi roti berinti atau bun, dari inti yang manis seperti inti kacang merah, coklat dan kelapa hingga ke bun yang berlauk seperti ham, cheese, kari dan rendang.

Saya menggunakan resepi roti asas iaitu menggunakan sukatan seperti membuat roti manis asas.
Gula pasir dilebihkan sedikit berbanding kalau kita membuat roti putih atau bread loaf seperti roti Gardenia tu.
Untuk resepi roti pandan kelapa yang akan saya kongsikan ini, saya meletakkan sebiji telur, sekadar untuk menambah reenakan rasa roti ini.
Sebenarnya, telur bukanlah satu keutamaan untuk membuat roti, kerana roti sudah cukup lembut dan mengembang dengan sempurna kerana agen pengembang utama roti ialah yis dan bukannya telur seperti membuat kek.
Anda bebas untuk tidak meletakkan telur di dalam doh roti anda, tapi tambahkan kuantiti cecair yang digunakan, setara dengan jumlah berat telur yang hendak di ganti.

Untuk resepi roti pandan kelapa ini, saya menggunakan sebiji telur Gred A, oleh itu jumlah cecair yang saya letak dalam doh roti ialah satu cawan.
Anda perlu letak air sebanyak satu setengan cawan sekiranya anda tak nak letak telur di dalam doh.

Tepung yang terbaik untuk membuat roti ialah tepung roti  atau nama lainnya ialah tepung berprotein tinggi.
Ini kerana, untuk mendapatkan tekstur roti yang lembut, ringan dan menganjal, ianya memerlukan tepung yang mengandungi kandungan protein yang tinggi yang kaya dengan gluten.
Proses menguli doh roti akan membentuk jaringan-jaringan gluten yang utuh untuk memegang tekstur roti yang dihasilkan, menjadikan roti lebih anjal.
Walau bagaimanapun, tepung serbaguna, atau tepung gandum boleh juga digunakan untuk membuat roti, walaupun tekstur roti akan lebih berat dan tidak seringan seperti roti yang diperbuat menggunakan tepung roti kerana kandungan gluten yang lebih rendah dalam tepung gandum.

Jika anda menggunakan tepung gandum, sila kurangkan sedikit kuantiti cecair bagi resepi yang menggunakan tepung roti.
Ini kerana tepung roti memerlukan kandungan cecair yang lebih tinggi disebabkan kandungan gluten yang lebih banyak berbanding tepung gandum.
Sama ada kurangkan sedikit cecair atau pun menambah sedikit lagi tepung (biasanya kurangkan 1 sudu besar cecair untuk setiap satu cawan tepung) kalau hendak menggantikan tepung roti kepada tepung gandum.
Untuk lebih pasti, anda cubalah bereksperimen untuk membuat roti dengan menggunakan dua jenis tepung yang berbeza untuk memastikan perbezaan yang lebih tepat.

Roti pandan kelapa yang saya kongsikan hari ni saya bakar dalam dua loyang berasingan - separuh doh (6 biji roti) saya susun jarak-jarak di atas baking pan sementara yang bakinya saya susun rapat di dalam loyang segi empat supaya rotinya bercantum selepas dibakar.
Terpulang pada anda bagaimana anda nak bentukkan roti atau bun pandan kelapa anda tu, kalau suka roti yang "pull-apart", boleh gunakan loyang kek bulat atau empat segi.

Jom semak resepi.





RESEPI ROTI PANDAN KELAPA SUKATAN CAWAN


Jenis menu : Roti dan bun
Menghasilkan : 12 biji roti


Bahan-bahan Untuk Inti Kelapa:

1 1/2 cawan kelapa parut
2 helai daun pandan - disimpul
1 cawan air
1/4 cawan gula Melaka
1 sudu besar gula merah
Gula pasir (jika perlu)
1/4 sudu teh garam
1/2 sudu besar tepung gandum


Cara Penyediaan:

  1. Masak 1/2 cawan air, gula Melaka dan gula merah di dalam periuk kecil sehingga gula larut.  Tapis dan ketepikan.
  2. Di dalam kuali lain, masukkan kelapa parut, air gula yang telah ditapis, baki 1/2 cawan air daun pandan dan garam.  Masak dengan api sederhana sehingga inti agak pekat.
  3. Kemudian, masukkan tepung gandum, tabur rata atas inti kelapa dan masak sehingga inti agak kering.  Ketepikan.


Bahan-bahan Untuk Doh Bun Pandan:

3 cawan tepung roti
1/4 cawan gula pasir
1/4 sudu teh garam halus
2 sudu teh yis kering yang masih aktif
1 biji telur - saya pakai telur Gred A
1 cawan susu segar
3 helai daun pandan.
3 sudu besar mentega (dingin)


Bahan Untuk Glis:

1/2 biji telur
2 sudu besar susu segar


Cara Penyediaan:
  1. Potong daun pandan menjadi bahagian kecil dan kisar halus bersama susu segar.  Tapis untuk ambil jusnya.
  2. Masukkan bahan kering (tepung roti, gula, garam dan yis kering) ke dalam mangkuk pengadun yang dipasang dengan "dough hook."  Adun menggunakan kelajuan paling rendah selama 2 minit. 
  3. Masukkan telur, diikuti dengan jus pandan, tukar ke kelajuan sederhana dan biarkan mesin mengadun dan menguli doh selama 10 ke 12 minit, atau sehingga doh menjadi licin.
  4. Masukkan mentega dingin sedikit demi sedikit dan biarkan pengadun menguli doh sehingga menjadi elastik (window pane stage)  dan tak melekat di tangan bila dipegang, kira-kira 10 minit.
  5. Keluarkan doh dan uli sebentar menggunakan tangan di atas papan pengadun (saya pakai silicone rolling mat), bulatkan dan masukkan semula ke dalam mangkuk pengadun.  Tutup mangkuk dengan cling wrap atau tuala lembap dan rehatkan selama 50 minit, sehingga doh mengembang dua kali ganda.
  6. Selepas doh mengembang, tumbuk-tumbuk dan uli doh sekejap sebelum dibahagikan kepada 12 doh kecil.  Berat untuk setiap doh kecil ialah kira-kira 60 gram.  Gunakan penimbang supaya saiz roti akan sama.
  7. Bulat-bulatkan doh kecil dan tutup dengan cling wrap yang longgar atau kain lembap dan rehatkan selama 5 minit supaya doh senang diuli nanti.
  8. Gliskan loyang pembakar, boleh juga gunakan loyang kek bulat atau segi empat dengan mentega.
  9. Leperkan doh kecil menggunakan kayu penggelek kecil, atau boleh juga sekadar dileperkan menggunakan jari sahaja dan masukkan satu hingga 1 1/2 sudu besar inti kelapa yang telah sejuk.  Tutup doh dengan kemas supaya inti tak terkeluar bila bun mengembang dan dibakar.  Buat hingga habis.
  10. Untuk mendapatkan bun yang sebiji-sebiji (tak melekat antara satu sama lain), jarakkan kira-kira 4 inci antara bun.  Kalau nak buat bun yang melekat, tinggalkan 1 1/2 inci ruang antara bun.  Tutup bun dengan cling wrap longgar atau kain lembap dan rehatkan selama 45 minit, sehingga bun mengembang dua kali ganda.
  11. Panaskan ketuhar pada suhu 200℃.
  12. Sediakan glis telur, kocok sebentar telur di dalam mengkuk kecil dan bahagi dua (kita hanya pakai 1/2 biji telur saja untuk elakkan membazir).  Campurkan 1/2 biji telur tadi dengan susu segar.  Gliskan roti (hati-hati jangan terlalu kuat kerana roti boleh mengecut).
  13. Bakar menggunakan rak kedua dari bawah dengan api atas bawah selama 12 ke 15 minit, sehingga bun masak.
  14. Jika suka, boleh glis bahagian atas bun dengan mentega sewaktu bun masih panas supaya permukaannya berkilat.
  15. Simpan bun di dalam bekas kedap udara bila telah sejuk.


Untuk tutorial membuat roti pandan kelapa secara visual, sila tonton di Youtube channel saya melalui video yang saya attached di bawah ni 👇




SELAMAT MEMBAKING! 😃

0 comments :

Post a Comment