Resepi Karipap Pusing Inti Sardin Rangup ( Sukatan Cawan)
Akhirnya selepas berpenat lelah membuat beberapa kali cubaan dan mengolah kandungan bahan-bahan untuk membuat dohnya, akhirnya dapat juga saya hasilkan karipap pusing dengan tesktur dan rasa yang kena dengan selera saya dan hubby.
Karipap pusing yang rangup dan tak terlalu rapuh, dan yang paling best, karipap kekal rangup walau pun dah dibiarkan semalaman tanpa masuk peti sejuk. Hihi..
Kali ni saya membuat karipap pusing berintikan sardin, saya menggunakan tin sardin terakhir yang ada dalam rumah kami.
Untuk mendapatkan kuantiti inti sardin yang banyak, saya campurkan sardin yang telah dihancurkan dengan lima biji kentang.
Maklumlah, dalam tempoh PKP ni, kita kena limitkan segala akiviti di luar rumah dan hanya keluar kalau ada kecemasan je.
Walaupun dah pakai mask dan hand sanitizer, saya tetap cuak juga nak berkeliaran cari barang dapur di kedai apatah lagi di pasaraya besar.
Jadi, sebaiknya kita gunakan je bahan-bahan yang ada dirumah dengan cermat 😇
Kebetulan, kami memang dah terbiasa kalau shopping barang dapur dan bahan baking, kami memang borong untuk dua tiga minggu sekali gus.
Jadi memang stok bahan asas seperti tepung, gula, tepung roti, cheese dan bahan baking asas yang lain memang dah ada stok siap-siap di rumah.
Untuk menonton video cara-cara membuat karipap pusing sardin ni, boleh tonton melalui pautan video saya di bawah ni 👇
Ada sesetengah orang yang kurang gemar karipap pusing sebab bagi mereka, karipap pusing lebih berminyak berbanding karipap biasa.
Sebenarnya, dulu, kami pun kurang suka makan karipap pusing terutamanya yang beli di luar atas sebab yang sama.
Bila terlalu berlemak dan berminyak, selera makan pun boleh tertutup dan cepat rasa muak.
Pernah sekali eksperimen membuat karipap pusing saya gagal dan terlalu rapuh sebab saya menggunakan shortening sepenuhnya untuk doh minyak (tanpa air).
Disebabkan tu, takde sapa nak makan karipap pusing saya tu kerana terlalu muak dan teksturnya juga pecah-pecah kerana terlalu rapuh.
Untuk doh minyak kali ni, saya campurkan marjerin dan minyak dan uli sehingga membentuk doh.
Rasanya sedap, rangup dan tekstur karipap tak terlalu rapuh sehingga mudah pecah.
Dan yang penting, karipap pusing ni tak terlalu berminyak.
Memang sesuai dijadikan juadah minum petang dengan secawan teh panas.
Bahagianya...
Untuk menyediakan karipap pusing ni, penyediaannya lebih kurang je dengan cara membuat karipap biasa.
Cuma dohnya terbahagi kepada dua - Doh minyak (saya label sebagai Doh A) dan doh biasa (saya label sebagai Doh B).
Sebelum memulakan proses menyediakan doh karipap, anda perlu sediakan inti karipapnya dulu.
Tujuannya supaya inti karipap telah betul-betul sejuk sebelum dimasukkan ke dalam karipap.
Jadi, intinya tak mudah basi.
Jom semak resepi di bawah ni.
Karipap Pusing Inti Sardin Rangup
Jenis Masakan : Kuih Melayu
Menghasilkan : 32 biji
INTI SARDIN
Bahan-bahan:
1 inci halia - tumbuk halus
3 ulas bawang putih - tumbuk halus
1 1/2 biji bawang besar - didadu
3 sudu besar pes cili kisar (lebihkan jika suka pedas)
5 biji kentang (saiz sederhana) - potong dadu
1 tin besar sardin (425 gram) -saya suka pakai jenama Botan (hancurkan menggunakan garfu)
Sedikit air (lebih kurang 1/4 cawan)
Garam secukup rasa
Gula secukup rasa
Minyak untuk menumis
Cara Penyediaan:
Panaskan minyak dalam kuali. Bila minyak telah cukup panas, tumis halia, bawang putih dan bawang besar sehingga naik bau dan bawang layu. Masukkan pes cili kisar dan tumis hingga rempah garing dan pecah minyak.
Masukkan kentang dan air, gaul dan tutup kuali dan masak sehingga kentang separuh masak menggunakan api sederhana. Kacau sekali sekala untuk mengelakkan inti hangus.
Masukkan sardin yang telah dihancurkan, beserta dengan kuahnya, perasakan inti dengan gula dan garam. Masak sehingga inti garing dan kuahnya pekat. Sejukkan sebelum digunakan.
DOH A
Bahan-bahan:
1 1/2 cawan tepung gandum
Secubit garam halus
4 sudu besar marjerin/mentega/shortening - saya pakai marjerin jenama Planta
1/4 cawan minyak masak
Cara Penyediaan:
Gaul rata kesemua bahan di dalam sebuah mangkuk dan uli sehingga menjadi doh.
Bahagikan doh menjadi 4 bahagian dan bulat-bulatkan.
Tutup doh dengan cling wrap atau tuala sementara kita menyediakan Doh B pula.
DOH B
Bahan-bahan:
3 cawan tepung gandum
1 sudu teh garam halus
1/3 cawan minyak masak
2/3 cawan + 1-2 sudu besar air ais/ air sejuk dari peti ais
Cara Penyediaan:
Panaskan minyak masak sehingga berasap supaya minyak betul-betul panas.
Gaul rata tepung gandum dan garam halus di dalam sebuah mangkuk.
Buat lubang di tengah adunan tepung dan tuang minyak panas.
Gaul rata menggunakan senduk kayu.
Masukkan air, bermula dengan menuang 2/3 cawan air sejuk dahulu, kemudian uli menggunakan tangan.
Tambah lagi 1 hingga 2 sudu besar air sejuk jika perlu dan uli hingga menjadi doh yang tak melekat di tangan.
Bahagikan doh kepada 4 bahagian dan bulat-bulatkan.
CARA MENCANAI DOH KARIPAP PUSING:
- Ambil 1 bebola doh B dan leperkan menggunakan tangan atau kayu pencanai. Tak perlu canai terlalu nipis.
- Letak 1 bebola doh A di tengah-tengah bebola doh B yang telah dileperkan dan tutup doh dengan kemas.
- Ulang proses di atas untuk baki bebola doh A dan B. Jadi anda akan dapat 4 biji doh karipap pusing kesemuanya.
- Tutup doh menggunakan kain lembap atau cling wrap dan rehatkan selama minima 15 minit supaya doh mesra dan mudah untuk dicanai nanti.
- Tabur sedikit tepung di atas papan pencanai, ambil sebiji doh yang telah direhatkan dan canai doh memanjang menjadi bentuk segi empat panjang (rectangle) setebal kira-kira 0.5 cm.
- Gulungkan doh yang telah dicanai, bermula dari sisi yang paling dekat dengan anda dengan kemas. Gulung dengan rapat untuk membentuk lapisan karipap yang cantik. Kemaskan doh yang telah digulung supaya membentuk silinder yang sekata.
- Kemudian, pusingkan doh 90° supaya doh berada dalam keadaan menegak (vertical), dan canai lagi doh secara memanjang menjadi bentuk segi empat panjang (rectangle) setebal 0.5 cm.
- Gulung doh, bermula dari sisi yang paling dekat dengan anda dengan rapat.
- Kemaskan doh supaya ketebalannya sekata.
- Ulang langkah 5 hingga 9 untuk 3 doh yang seterusnya.
- Bahagikan setiap doh kepada 8 atau 6 bahagian.
- Canai setiap bahagian membentuk bujur setebal 0.2 cm. Jangan canai terlalu nipis kerana nanti lapisan akan hilang.
- Letak 1 - 1 1/2 sudu besar inti sardin di tengah, lipat dua dan kelim karipap dengan kemas.
- Susun di atas dulang yang telah ditabur tepung atau dialas dengan plastik atau baking paper.
CARA MENGGORENG KARIPAP PUSING:
- Panaskan minyak yang banyak di dalam kuali. Seeloknya pakailah minyak yang baru. (saya paling suka minyak jenama Aliff sebab kualiti gorengannya lebih baik dan hasil gorengan pun tak terlalu berminyak).
- Masukkan karipap bila minyak dah betul-betul panas dan goreng dengan api sederhana.
- Balikkan karipap bila bahagian bawahnya telah kecoklatan.
- Goreng sehingga kedua-dua belah karipap masak dengan sekata.
- Angkat dan toskan atas tisu dapur untuk menyerap lebihan minyak.
CARA MENYIMPAN KARIPAP PUSING:
Baki karipap pusing bolehlah difrozenkan supaya tahan lama.
Cara 1:
Susun karipap di atas dulang yang telah dialas plastik atau baking paper, jarakkan sedikit antara satu sama lain supaya karipap tak melekat. Tutup dengan cling wrap dan frozenkan selama 1 hingga 2 jam sehingga karipap betul-betul beku.
Setelah itu, keluarkan dari freezer dan susun karipap di dalam bekas beralas plastik atau masukkan karipap ke dalam plastik dan seal dengan rapat. Jangan risau, karipap tidak akan melekat antara satu sama lain kerana telah frozen.
Simpan semula di dalam freezer.
Cara 2:
Alas plastik atau baking paper di dalam bekas yang hendak digunakan untuk menyimpan karipap.
Susun karipap dan jarakkan antara satu sama lain supaya karipap tak melekat.
Lapik lagi dengan plastik atau baking paper untuk lapisan kedua dan seterusnya.
Kemudian, karipap bolehlah disimpan di dalam freezer.
CARA MENGGORENG KARIPAP PUSING FROZEN
Mesti ada sesetengah daripada anda yang tertanya-tanya macam mana nak goreng karipap pusing yang telah difrozenkan ni kan?
Perlu ke nak defrost kan dulu atau goreng je terus waktu masih beku tu?
Bagi saya, yang paling elok ialah goreng je terus sebaik saja anda keluarkan karipap pusing dari freezer tapi dengan api perlahan (bukan api yang paling kecil ya).
Ini kerana, bila kita defrostkan dulu sehingga karipap kembali ke suhu bilik, maknanya defrost lebih dari 30 minit lepas keluarkan dari freezer, ais yang terbentuk pada karipap dan intinya akan cair menjadikan karipap lembik dan pecah ketika digoreng. Sama macam konsep menggoreng popiah frozen.
SELAMAT MENCUBA!
0 comments :
Post a Comment