Resepi Biskut Suji Cornflakes
Diam tak diam tinggal beberapa hari je lagi nak masuk bulan Ramadhan.
Terasa masa berlalu begitu cepat, tatkala kita sibuk mengejar waktu menyelesaikan tanggungjawab yang terpikul dibahu, mendukung seribu harapan semoga adanya hari yang cerah di hadapan.
Mudah-mudahan kita semua diberi kesihatan, kemampuan dan umur yang panjang untuk menyempurnakan ibadah puasa.
Jadi, bermula dari minggu ni, saya sudah mula mengumpul dan mencipta resepi-resepi cookies terbaru untuk dikongsikan menerusi blog baking saya ni dan juga di channel Youtube yang baru saya aktifkan hujung bulan Februari lepas.
Sebagai Youtuber baru, masih banyak perkara yang perlu saya improve, lebih-lebih lagi dengan kelengkapan video recording yang limited ni 😅
Sekarang sudah masuk ke fasa-2 PKP, bermakna pergerakan akan lebih terbatas dengan lebih banyak jalan ditutup.
Mujur sejak bulan lepas saya dah mula stok barang-barang baking asas seperti mentega, tepung, coklat masakan, serbuk coklat, cornflakes, nestum dan coklat chips supaya mudah kalau terasa nak membuat biskut, kek atau kuih-muih.
Saya ni jenis yang impulsive sikit dan lebih banyak indecisive, dan kalau asalnya dah rancang nak buat biskut ni, sebelum sempat buat biskut tu dah timbul pula rancangan-rancangan nak buat biskut lain.
Nanti kalau tiba-tiba mood nak membaking datang, kalau takde barang baking yang diperlukan saya jadi moody pula, sebab terpaksa bersusah-payah keluar cari barang masa tu jugak. 😞
Jadi, apa-apehal pun sediakan je payung sebelum hujan. Hihi..
Biskut suji cornflakes ni memang sejak beberapa tahun lepas saya ada jual untuk Hari Raya dan CNY.
Resepi asal biskut suji cornflakes ni sebenarnya lebih banyak bahan-bahannya, dan ada menggunakan ghee dan susu tepung.
Kadangkala, kalau ada stok, saya akan tambahkan sesudu dua serbuk badam untuk menambah keenakan rasa biskut suji cornflakes ni.
Tapi, memandangkan semasa saya buat biskut suji cornflakes ni, kebetulan pula stok ghee dah habis.
Akhirnya terpaksa saya olah semula resepi biskut suji cornflakes ni tanpa ghee, telur, susu tepung dan serbuk badam.
Sejak PKP ni dilaksanakan, ramai orang panic buying groceries, so memang stok telur sentiasa je habis kat pasaraya depan rumah saya ni.
Jadi, terpaksalah olah resepi yang tak pakai banyak telur. Hehe..
Klik video pautan di bawah ni untuk menonton video cara-cara membuat biskut suji cornflakes ni👇
Excitednya saya masa buat biskut ni sebab menggunakan set acuan cookies pelbagai saiz yang berbentuk bergerigi di bahagian tepinya yang baru saya beli di Bake With Yen.
Saya pakai saiz kedua paling kecil untuk membuat biskut ni.
Biskut suji cornflakes ni memandangkan ianya menggunakan acuan penerap, saya kategorikan sebagai biskut berterap (Rolled cookies).
Untuk tips-tips mendapatkan hasil biskut berterap yang cantik, boleh semak nota untuk biskut berterap yang pernah saya kongsikan di link ni 👇
https://thebutterybites.blogspot.com/2020/02/info-biskut-berterap-rolled-cookies.html
BISKUT SUJI CORNFLAKES
Jenis Biskut : Rolled Cookies (Biskut Berterap)
Menghasilkan : Anggaran 115 keping biskut (bergantung pada saiz acuan penerap)
Bahan-bahan:
200 gram marjerin/ mentega - suhu bilik
80 gram gula pasir (kisar halus)
80 gram susu pekat manis
120 gram cornflakes (kisar halus)
160 gram tepung suji (kisar halus supaya tak berbintil)
40 gram tepung jagung
220 gram tepung gandum
Bahan Untuk Hiasan:
1 biji kuning telur (campurkan 1/2 sudu besar air dan sedikit pewarna kuning)
Cornflakes secukupnya - ramas kasar
Cara Penyediaan:
- Satukan marjerin/mentega, gula pasir dan susu pekat manis di dalam mangkuk pengadun. Putar dengan kelajuan tinggi menggunakan hand/stand mixer hingga kembang dan berkrim.
- Masukkan tepung suji dan cornflakes yang telah dikisar halus dan pukul dengan kelajuan paling rendah hingga adunan bercampur sebati.
- Ayak tepung jagung bersama tepung gandum dan campurkan ke dalam adunan. Gaul rata menggunakan spatula atau tangan.
- Uli sehingga menjadi doh dan bahagikan doh menjadi dua bahagian supaya mudah kerja mencanai doh nanti.
- Balut doh yang belum hendak digunakan dengan cling wrap supaya tak terdedah di udara.
- Ambil satu doh, leperkan dan canai setebal 1 cm. Untuk memudahkan kerja mencanai doh, anda boleh lapikkan plastik atau baking paper di bahagian atas dan bawah doh supaya doh tak melekat pada papan pencanai dan kayu pencanai sewaktu mencanai.
- Terap doh dengan acuan yang disukai dan susun di atas dulang pembakar yang telah diglis dengan mentega atau dialas dengan baking paper. Jarakkan lebih kurang 1 atau 2 cm antara biskut untuk memberi ruang biskut mengembang sewaktu sedang dibakar.
- Glis permukaan biskut dengan bancuhan kuning telur dan tabur cornflakes yang diramas kasar diatasnya.
- Panaskan ketuhar terlebih dahulu dan bakar pada suhu 180℃ selama 15 hingga 20 minit, sehingga biskut masak dan bahagian bawahnya kecoklatan.
- Keluarkan dari ketuhar dan sejukkan biskut di atas redai sebelum disimpan di dalam bekas kedap udara.
0 comments :
Post a Comment