Resepi Roti Kopi Ala Rotiboy Rangup Di Luar Lembut Di Dalam
Memang dah lama plan nak buat roti kopi ala Rotiboy ni tapi asyik tertangguh saja.
Lepas saya publish video roti wool roll bread kopi, tiba-tiba saya dapat request untuk buat video roti kopi.
Memandangkan barang-barang pun ada, sebelum puasa ni saya terus je buat roti kopi.
Alhamdulillah, walaupun yang ini first trial buat roti kopi dengan resepi olahan saya sendiri, roti kopi saya menjadi dengan tekstur dan rasa yang memenuhi citarasa kami.
Topping kopinya juga tidak basah setelah roti kopi ni sejuk walaupun toppingnya akan menjadi lembut selepas dibiarkan selama beberapa jam.
Tapi tak mengapa sebab topping kopi ni akan menjadi rangup semula setelah roti dibakar semula.
Dua tahun lepas saya pernah cuba membuat roti kopi dengan resepi yang saya ambil di sebuah blog.
Dalam resepinya, inti roti kopi ni ditambah dengan gula perang dan esen vanila sedikit, jadi rasa intinya agak manis.
Tapi saya dan Mr Hubby kurang gemar versi inti yang manis, sebaliknya kami lebih suka rasa lemak masin dari mentega bergaram saja, tanpa ditambah dengan bahan lain.
Rasa lemak masin mentega ni akan sangat sedap jika dipadankan dengan topping kopi yang pahit manis ni.
Suka betul Mr Hubby saya makan roti kopi ni, siap nak request lagi lepas puasa nanti.
Lepas ni dah boleh buat sendiri je roti kopi di rumah, lebih sedap dan jimat.
Seperti biasa, untuk tutorial langkah demi langkah boleh tonton menerusi pautan video di bawah ini:
Untuk resepi bertulis, jom kita semak dahulu resepinya.
Selamat mencuba & Salam Ramadhan...
Roti Kopi Ala Rotiboy
Kategori : Bun
Masa Penyediaan : 50 minit
Masa Rehat : 2 jam
Masa Membakar : 25 minit
Jumlah Hidangan : 10 biji roti
BAHAN-BAHAN
Doh Roti :
2/3 cawan & 1/2 sudu besar susu segar sejuk | 165 ml *boleh ganti dengan susu penuh krim/air
1 biji telur gred A (suhu bilik)
2 sudu teh yis kering segera | 5 gram
3 sudu besar gula pasir halus | 42 gram
1/2 cawan tepung gandum | 63 gram
2 sudu besar susu tepung penuh krim | 16 gram
2 cawan tepung roti | 250 gram
1/2 sudu teh garam halus | 2 gram
3 sudu besar mentega bergaram | 45 gram *boleh ganti dengan marjerin
Inti :
140 gram mentega bergaram sejuk (potong 10)
Topping Kopi :
1 sudu besar serbuk kopi segera | 7 gram
1 sudu besar air panas | 15 ml
1/4 cawan & 1 sudu besar mentega bergaram | 78 gram
1/4 cawan & 2 sudu besar gula pasir halus/gula kastor | 78 gram
1 biji telur gred A (suhu bilik)
1/2 cawan & 2 sudu besar tepung gandum | 81 gram
CARA MEMBUAT
Doh Roti :
- Di dalam mangkuk bread maker, masukkan susu segar sejuk, telur, yis kering segera dan gula pasir halus. Kacau sebentar menggunakan spatula.
- Masukkan tepung gandum, susu tepung, tepung roti dan garam halus.
- Pilih menu "Doh" dan uli sehingga adunan menjadi doh kasar, dan berhentikan mesin selepas 5 ke 8 minit.
- Masukkan mentega dan sambung uli sehingga selesai.
- Pindahkan doh ke atas papan pencanai (saya pakai silicone kneading mat) yang telah ditabur sedikit tepung. Bulatkan doh, kemudian ratakan permukaan doh dengan sedikit minyak masak. Tutup doh dengan kain bersih dan rehatkan selama 1 jam hingga 1 jam 30 minit, sehingga doh mengembang dua kali ganda.
Topping Kopi :
- Sementara menunggu doh mengembang, boleh sediakan dahulu topping kopi. Campurkan serbuk kopi segera bersama air panas. Kacau sehingga serbuk kopi larut dan sejukkan.
- Di dalam sebuah mangkuk pengadun, masukkan mentega dan gula pasir. Pukul sehingga adunan sebati dan agak pucat dengan kelajuan sederhana.
- Masukkan telur yang telah dipukul ringan dengan tiga peringkat, dan putar sebati.
- Masukkan air kopi yang telah sejuk dan putar sebati.
- Ayakkan tepung gandum ke dalam adunan secara dua peringkat dan putar sebati. Tekstur adunan ialah berkrim dan tidak lembik.
- Masukkan adunan ke dalam beg piping plastik dan simpan dalam peti sejuk sementara sedia untuk digunakan.
Cara Membentuk & Membakar Roti :
- Setelah doh mengembang dua kali ganda, tekan-tekan doh menggunakan tangan untuk mengeluarkan angin di dalam doh.
- Bahagikan doh kepada 10 bahagian yang sama saiz (anggaran 62 gram setiap bahagian).
- Bulat-bulatkan setiap bahagian, kemudian, tutup dengan kain bersih/cling wrap dan rehatkan doh selama 15 minit supaya doh mudah untuk dicanai.
- Sementara itu, potong mentega sejuk bergaram kepada 10 bahagian. Jika suka mentega yang banyak macam saya, boleh potong sebanyak 14 gram setiap bahagian. Susun potongan mentega di atas pinggan yang dialas cling wrap dan tutup dengan cling wrap. Masukkan di dalam freezer sementara sedia untuk digunakan.
- Selepas 15 minit, ambil satu doh dan canai leper pada bahagian tepi doh (biarkan bahagian tengah doh lebih tebal). Letak satu potong mentega kemudian tutup doh dengan kemas dan rapat supaya mentega yang cair tidak meleleh keluar dari roti sewaktu sedang dibakar.
- Susun doh roti di atas loyang pembakar yang telah dialas dengan kertas pembakar. Jarakkan roti antara satu sama lain untuk memberi ruang roti mengembang. Ulang sehingga selesai.
- Tutup doh roti dengan kain bersih/plastik dan rehatkan lagi selama 45 minit, sehingga roti mengembang dua kali ganda.
- Keluarkan topping kopi dari peti sejuk 20 ke 30 minit sebelum digunakan.
- Selepas 45 minit, panaskan ketuhar pada suhu 180℃ selama 10 minit.
- Paipkan topping kopi di atas setiap doh roti. Pastikan topping memenuhi separuh bahagian atas roti.
- Bakar roti selama 20 ke 25 minit, dengan menggunakan api atas bawah pada rak tengah sehingga topping roti sedikit kecoklatan.
- Roti kopi sedia untuk dinikmati sementara masih panas.
0 comments :
Post a Comment