Resepi Kuih Tradisi : Kuih Koleh Kacang Yang Lembut & Lemak

Saturday, May 1, 2021

Resepi Kuih Tradisi : Kuih Koleh Kacang Yang Lembut & Lemak


 




Assalamualaikum..


Akhirnya terlaksana juga projek membuat kuih tradisi yang satu ni, iaitu kuih koleh kacang.

Macam mana saya boleh terminat dengan kuih ni saya pun tak pasti sebab saya bukan peminat kacang hijau.

Tapi disebabkan keunikan koleh kacang dengan topping tahi minyak ini membuatkan kuih ini istimewa dan berjaya menambat hati saya.

Ini cubaan kali pertama saya membuat kuih koleh kacang dan Alhamdulillah, hasilnya memang lembut, lemak, cukup rasa dan tidak terlalu manis.

Jika anda ada stok tepung kacang hijau di rumah, jom kita buat kuih koleh kacang ni untuk hidangan berbuka puasa atau minum petang.

Koleh kacang ini boleh bertahan selama 3 ke 4 hari jika disimpan di dalam peti sejuk.








Selamat mencuba & Salam Ramadhan!





Jom tonton video tutorial saya membuat kuih koleh kacang ni menerusi pautan video di bawah ini:












Kuih Koleh Kacang










Kategori : Kuih Melayu

Masa Penyediaan : 1 jam 15 minit

Jumlah Hidangan : Anggaran 36 keping








BAHAN-BAHAN






Tahi Minyak :







2 cawan santan segar  |  500 ml  (jangan pakai santan kotak, nanti tak jadi)

1/4 sudu teh garam





Air Gula :







1 cawan gula merah  |  160 gram

1/4 cawan gula pasir  |  50 gram

2/3 cawan air  |  150 ml

2 helai daun pandan (simpul)





Adunan :







1 & 1/4 cawan tepung kacang hijau  |  165 gram

1 kotak kecil santan KARA  |  200 ml

1/4 sudu teh garam

1 sudu besar minyak kelapa  |  15 ml

2 & 2/3 cawan air  |  620 ml

2 helai daun pandan (simpul)








CARA MEMBUAT






Tahi Minyak :



  1. Di dalam kuali leper anti lekat, masukkan santan segar dan garam.  Masak dengan api sederhana dan kacau selalu.
  2. Setelah beberapa minit, santan akan mula mengental dan mengeluarkan minyak, teruskan mengacau sehingga timbul ketulan santan.  Masak lagi sehingga ketulan santan berwarna coklat keemasan.
  3. Setelah itu, padamkan api dan tapis tahi minyak.
  4. Simpan minyak kelapa yang telah ditapis.






Air Gula :



  1. Masukkan gula merah, gula pasir, air dan daun pandn ke dalam periuk kecil.
  2. Reneh sehingga gula larut dengan api sederhana.
  3. Setelah larut, tapis air gula.






Adunan :



  1. Di dalam kuali leper, sangai sebentar tepung kacang hijau sehingga harum dengan menggunakan api kecil, lebih kurang selama 2 minit.  Setelah itu, padamkan api.
  2. Dengan menggunakan kuali yang sama, masukkan santan KARA, minyak kelapa,garam, air dan daun pandan.  Kacau rata secara perlahan kemudian masak dengan menggunakan api sederhana sehingga adunan likat, agak pekat dan meletup-letup, kira-kira 230 minit.  Kacau selalu supaya tidak hangus.
  3. Setelah adunan pekat, padamkan api.  Keluarkan daun pandan.
  4. Tuang adunan ke dalam loyang bersaiz 7 x 7 inci yang telah dilenser minyak dan dilapik dengan plastik tahan panas (saya pakai plastik kod 2).
  5. Ratakan adunan menggunakan spatula dan hentak loyang beberapa kali supaya adunan padat dan rata.
  6. Taburkan tahi minyak dan tekan sedikit menggunakan sudu.
  7. Biarkan adunan kuih mengeras sebelum dipotong (kira-kira 3 ke 4 jam)
  8. Setelah adunan kuih mengeras, keluarkan kuih dari loyang dan bolehlah dipotong mengikut saiz yang digemari.








0 comments :

Post a Comment