Resepi Biskut Cornflakes Yang Rangup
Assalamualaikum readers...
Biskut yang tidak asing lagi bila tibanya musim perayaan yang dah popular sejak dahulu lagi, semestinya biskut cornflakes yang rangup dan buttery!
Dulu, masa zaman sekolah, saya suka buat cornflakes madu setiap kali tibanya Lebaran. Tapi cornflakes madu saya tu tidak menggunakan mentega, hanya menggunakan madu dan bijan putih sahaja. Gaulkan cornflakes bersama madu dan bijan putih, kemudian sudukan ke dalam paper cup mini dan bakar sehingga berwarna golden.
Rasanya rangup, dengan rasa harum dari madu dan bijan putih, tak perlu banyak bahan pun cornflakes madu ialah antara biskut paling laris dan menjadi rebutan di rumah saya. Sekejap saja dah habis!
Tapi kali ni saya akan kongsikan resepi biskut cornflakes yang bukan saja rangup, tetapi juga cantik dengan motif di atas biskut yang menggunakan coklat masakan putih dan gelap. Sesuai dijadikan idea untuk jualan.
Biskut cornflakes ni berlainan sedikit dari resepi biskut cornflakes yang saya pernah kongsikan sebelum ni,
Biskut cornflakes ni saya tambahkan cip coklat, susu tepung penuh krim dan serbuk badam untuk menambah aroma dan tesktur pada biskut ni.
Kalau anda nak tambah badam cincang, atau biji bunga matahari dan biji labu pun boleh, lagi sedap biskut ni nanti. Bakar dahulu dalam 10 ke 15 minit pada suhu 160℃ dan sejukkan dahulu sebelum anda masukkan ke dalam doh biskutnya.
Tonton Video Di Sini 👇
Doh untuk biskut cornflakes ni agak lembut supaya mudah salutan cornflakes nak melekat pada permukaan biskut.
Rasa biskut ni akan bertambah premium dan sedap dengan penggunaan pure butter, tapi bergantung pada bajet masing-masing ya, pakai Buttercup yang dalam tub tu pun dah sedap, asalkan cukup bahan.
Biskut cornflakes ni bukan saja enak jika dinikmati pada musim perayaan, anda boleh buat biskut ni pada bila-bila masa saja untuk dijadikan kudapan.
Selamat mencuba!
Biskut Cornflakes
Kategori : Biskut Raya, Drop Cookies
Masa Penyediaan : 35 minit
Masa Membakar : 25 minit
Jumlah Biskut : Anggaran 68 keping
BAHAN-BAHAN
125 gram mentega bergaram (lembutkan)/ marjerin | 1/2 cawan
40 gram susu pekat manis | 2 sudu besar
21 gram gula icing | 3 sudu besar (atau 20 gram gula pasir kisar halus [2 sudu besar])
1 biji kuning telur gred A/B
1 sudu teh esen vanila
15 gram serbuk badam | 2 sudu besar
15 gram susu tepung penuh krim | 2 sudu besar
55 gram tepung jagung | 1/2 cawan
95 gram tepung gandum | 3/4 cawan
2 gram baking powder | 1 sudu teh
30 gram cornflakes | 1/2 cawan (ramas kasar)
40 gram cip coklat | 1/4 cawan
Hiasan :
Anggaran 80 gram cornflakes | 1 & 1/2 cawan (ramas kasar)
Coklat masakan putih
Coklat masakan gelap
CARA MEMBUAT :
- Di dalam mangkuk pengadun, whisk bersama mentega, gula icing (ayak) dan susu pekat manis sehingga pucat, tidak perlu kembang ya.
- Masukkan kuning telur, esen vanila, serbuk badam dan susu tepung dan whisk sebati.
- Ayak bersama tepung gandum ,tepung jagung dan baking powder ke dalam adunan.
- Masukkan cornflakes yang diramas kasar dan cip coklat. Adun sebati menggunakan spatula sehingga menjadi doh yang lembut.
- Setelah siap mengadun, tutup mangkuk pengadun dengan cling wrap/ penutup silikon dan simpan doh dalam peti sejuk selama 30 minit.
- Panaskan ketuhar pada suhu 170℃.
- Keluarkan doh dari peti sejuk selepas 30 minit, sudukan setengah sudu besar doh atau cubit dalam sejemput doh dan golekkan pada cornflakes mini atau cornflakes yang telah diramas kasar. Kepal-kepal doh sedikit supaya cornflakes melekat dengan baik.
- Susun di atas loyang pembakar yang diglis dengan mentega atau dialas dengan kertas pembakar. Jarakkan sedikit antara biskut supaya tidak melekat.
- Bakar biskut selama 20 ke 25 minit dengan api atas bawah pada rak kedua dari bawah, sehingga bahagian bawah biskut sedikit keperangan.
- Sejukkan dahulu biskut setelah siap dibakar di atas loyang.
- Sementara menunggu biskut sejuk, cairkan coklat masakan putih dan coklat masakan gelap secara double boil atau menggunakan microwave. Tambah sedikit minyak jagung atau shortening jika terlalu likat.
- Tunggu coklat suam baru masukkan ke dalam beg plastik piping yang berasingan.
- Setelah biskut sejuk, paipkan coklat masakan putih dan gelap sesuai dengan citarasa dan kreativiti masing-masing.
- Simpan dalam peti sejuk sebentar saja supaya coklat cepat mengeras.
- Simpan biskut di dalam bekas kedap udara.
0 comments :
Post a Comment