Resepi Black Forest Bun ala Roti Black Forest Gardenia
Assalamualaikum readers...
Beberapa bulan lepas Gardenia ada keluarkan dua produk baru bertaraf premium yang dipanggil sebagai Gardenia's QuickBites. Produk premium Gardenia ni ada dua - salted caramel dan black forest bun.
Sejujurnya, saya tak aware pun tentang produk baru dari Gardenia ni sebab sejak buat roti sendiri di rumah, kami memang tak pernah jenguk kat bahagian roti jika kami berbelanja di kedai. Sebelum raya lepas, saya ada dapat request dari sorang viewer ni untuk resepi roti black forest ala Gardenia katanya.Hmm..nak tak nak kenalah juga mencari roti black forest tu untuk rasa kan?
Beli roti ni kali pertama kat Lotus's, kebetulan tinggal dua bungkus je, saya pun ambik semua. Balik rumah, excited nak try camna rasa roti ni, ada gak tengok review Youtubers dan Bloggers tentang roti ni, ada yang kata ok, ada yang so-so je dan ada pulak yang kata tak berapa kena dengan tekak. Hmm..so, mari kita try sendiri kalau nak tau rasanya kena ke tak dengan tekak ni kan.
Masa merasa kali pertama tu, hidung pulak tengak agak sumbat, so, masa makan pun tak berapa cam rasa dia macam mana. Cuma rasa roti dia tu memang rasa roti coklat biasa ditambah dengan kismis sikit. Yang krim dalam tu pulak warna dia akan-akan merah jambu, maybe sebab krim tu dicampur sikit dengan jem strawberi atau ceri (tak berapa nak cam). Rasa macam tak puas pulak makan masa tu sebab tak dapat kepastian lagi rasanya macam mana.
So, kali dua shopping barang kami decided nak beli lagi sekali roti ni. Pada saya, rasanya ok lah, takdelah sedap sangat tapi boleh diterima tekak. Krimnya tu memang definitely bukan fresh cream, sebab nak tahan lama kan, so, saya agak krim dia pakai shortening sebab tak rasa butter. Warnanya pun tidak kekuningan macam buttercream. Rasa krimnya manis, tidak ada rasa masam macam inti ceri. Jadi, mungkin krimnya dicampur dengan sedikit jem atau inti strawberi.
Seperti yang kita maklum, bagi peminat kek black forest, anda mesti tau kan konsep kek ni menggunakan base kek span coklat dengan inti krim dan inti ceri, kemudian dihias dengan parutan coklat atau coklat rice. A simple yet elegant cake!
Saya lebih suka rasa krim berbanding rasa buttercream sebenarnya untuk kek black forest ni, sebab tu untuk resepi bun black forest ni saya decided untuk pakai fresh cream sebagai intinya dan saya tambahkan sedikit inti strawbery yang boleh dibeli di kedai bahan bakeri, kemudian, untuk finishing, saya deco dengan inti ceri yang masam dan coklat masakan.
Ada cerita di sebalik pembuatan bun black forest ni sebenarnya. Video yang saya published kat Baking Channel tu sebenarnya video kedua. Video yang pertama saya buat bun coklat versi tanpa uli. Kononnya nak lebih mudah. Tapi entah kenapa, lepas proofing yang sebelum bakar roti tu, rupanya jadi hodoh pulak dan tekstur roti lepas bakar pun agak kering. So, video dan resepi yang tanpa uli ni FAILED MISERABLY!
Esoknya, saya terus create versi kedua yang menggunakan doh yang diuli. Saya tak uli pakai breadmaker sebab saya tak pasti nak ajar viewer bila nak masukkan kismis tu, sebab dispenser untuk bahan tambahan seperti mixed fruit dan kekacang untuk breadmaker saya tu dah hilang entah ke mana disebabkan saya jarang sangat guna. Akhirnya saya uli je pakai tangan. InsyaAllah kalau ada rezeki bolehlah saya ajarkan guna stand mixer pulak ya.
Tonton Video Di Sini 👇
Disebabkan bun black forest ni menggunakan inti fresh cream, bun ni paling sedap dinikmati sebaik saja bun diisi dengan cream dan inti. Bun coklatnya boleh disimpan dalam peti sejuk selama dua minggu, bila nak makan, panaskan sekejap bun coklat dengan cara mengukus bun atau panaskan menggunakan microwave atau bakar semula sekejap, pastikan bun ditutup dengan aluminum foil supaya tidak kering. Selepas bun suam atau sejuk, baru paipkan intinya.
Bagi peminat kek black forest, atau bun coklat, bolehlah cuba bun black forest ni. Rasanya memang sedap, sampai Mr Hubby yang tak minat bun manis ni pun suka sangat makan. Bun coklatnya tidak manis, memang sesuai dengan inti strawberi dan cream yang sedikit manis, sementara inti cerinya sedikit masam. Coklat masakan cair tu optional, kalau tak nak letak pun takpe, tapi kalau letak lagi sedap la...
Selamat mencuba!
Black Forest Bun
Kategori : Bun
Masa Penyediaan : 40 minit
Masa Proofing : 60 minit
Masa Membakar : 15 minit
Jumlah Hidangan : 10 keping
BAHAN-BAHAN
Bun Coklat :
168 ml ke 170 ml susu segar/ susu penuh krim/ susu sejat (suam) | 2/3 cawan & 1/2 sudu besar
1 biji telur gred A (sisihkan 1 sudu besar untuk glis)
36 gram gula pasir | 3 sudu besar
4 gram yis kering segera | 1 & 1/2 sudu teh
40 gram susu pekat manis | 2 sudu besar
65 gram tepung gandum | 1/2 cawan
15 gram serbuk koko | 3 sudu besar
250 gram tepung roti | 2 cawan
4 gram bread improver | 1 sudu teh
2 gram garam | 1/2 sudu teh
45 gram mentega (lembut)/marjerin | 3 sudu besar
45 gram kismis | 1/4 cawan
Glis Bun :
1 sudu besar telur
1/2 sudu besar susu
Krim :
180 gram krim putar bukan tenusu (dingin) | 3/4 cawan
20 gram gula icing | 2 sudu besar
Hiasan :
Inti ceri
Inti strawberi / inti bluberi
Coklat masakan cair
CARA MEMBUAT
Bun Coklat :
- Bilas kismis dengan air panas kemudian tapis. Ketepikan dahulu.
- Di dalam mangkuk pengadun, masukkan susu suam, gula pasir, yis kering, telur dan susu pekat manis. Kacau sebati mengunakan whisk atau spatula.
- Masukkan tepung gandum, serbuk koko yang diayak, tepung roti, bread improver dan garam dan adun sehingga menjadi doh menggunakan spatula.
- Setelah itu, uli pakai tangan sekejap, dalam 2 ke 3 minit untuk membentuk gluten dalam doh.
- Masukkan mentega/ marjerin dan adun sehingga mentega sebati dengan doh.
- Pindahkan doh ke atas papan pencanai dan uli dalam 10 ke 15 minit, sehingga doh elastik. Tambah sedikit tepung jika doh terlalu melekat sewaktu diuli.
- Selepas doh siap diuli, lebarkan doh dan letak kismis di atasnya. Uli doh sehingga kismis sekata dalam doh.
- Bahagikan doh menjadi 10 bahagian (dalam 72 gram untuk setiap bahagian).
- Bulat-bulatkan doh dan susun di atas permukaan yang ditabur sedikit tepung. Tutup bebola doh dengan cling wrap/tuala bersih dan rehatkan 10 ke 15 minit supaya mudah untuk dicanai.
- Selepas 10 minit, ambil sebiji bebola doh kemudian canai memanjang menjadi segiempat panjang.
- Gulung doh dengan rapat dan picit bahagian hujung doh dan kedua bahagian tepinya supaya gulungan tidak terbuka.
- Susun bun di atas loyang pembakar yang dialas dengan kertas pembakar atau dioles dengan mentega.
- Ulang langkah sama untuk bebola doh seterusnya. Jarakkan antara bun supaya tidak melekat antara satu sama lain.
- Tutup loyang dengan plastik/tuala lembap, dan rehatkan selama 60 minit, atau sehingga bun mengembang dua kali ganda.
- Selepas 45 minit, panaskan ketuhar pada suhu 190℃.
- Oles permukaan bun dengan glis telur.
- Bakar bun selama 15 minit pada rak tengah atau rak kedua bawah menggunakan api atas bawah.
- Setelah bun masak, biarkan bun sejuk di atas redai.
Krim :
- Dinginkan mangkuk pengadun dan pemutar dalam peti sejuk/ freezer sebelum digunakan.
- Putar krim putar yang dingin bersama gula icing sehingga kental.
- Masukkan krim ke dalam beg plastik piping dengan nozel bulat atau French star.
- Simpan krim dalam peti sejuk dahulu sementara kri msedia untuk digunakan.
Hiasan Bun :
- Setelah bun sejuk, belah dua bun di tengah secara memanjang, jangan belah habis.
- Sapu inti strawberi/bluberi di bahagian dalam bun.
- Paipkan krim.
- Hias dengan inti ceri di atas krim.
- Paipkan coklat masakan cair di atas bun.
- Bun siap untuk dinikmati.
0 comments :
Post a Comment