Resepi Kek Butter Oren Yang Gebu & Lembut
Assalamualaikum readers..
Kali ini saya akan kongsikan versi kek oren favorite kami sekeluarga yang menggunakan jus oren segar tanpa Sunquick. Resepi ini saya telah kongsikan beberapa minggu lepas di Baking Channel saya, cuma baru ni saya berkesempatan nak update di blog.
Resepi kek mentega oren atau kek butter oren ni konsepnya saya olah dari resepi asas kek pound, yang mana nisbah mentega, gula, telur dan tepungnya sama (1:1:1:1). Disebabkan untuk resepi kek oren ni kita akan tambahkan jus oren dan susu, saya tambahkan 2 sudu besar tepung jagung, jadi jumlah tepung kesemuanya ialah 275 gram. Kalau pakai tepung kek boleh saja abaikan tepung jagung dan pakai 275 gram tepung kek.
Tepung kek ni kandungan glutennya lebih rendah dari tepung gandum dan teksturnya juga lebih halus, memang sesuai sangat untuk dibuat kek, hasilnya akan gebu dan ringan je. Tapi, tak semua orang ada tepung kek di rumah, sebab tu kebanyakan resepi saya pakai tepung gandum je, kemudian tambahkan satu ke dua sudu besar tepung jagung. Biasanya, kedua-dua jenis tepung ni orang selalu beli dan ada stok di rumah, jadi lebih mudah.
Ok, nak cerita tentang berapa banyak kuantiti cecair seperti jus atau susu yang kita boleh tambahkan berdasarkan nisbah kek pound yang mana kesemua sukatan bahannya sama banyak tadi? Untuk kiraan cecair, berat telur juga perlu diambil kira sebab telur pun dikira sebagai cecair. Biasanya, berat telur gred A tanpa kulit ialah 50 gram, kengkadang ada juga yang terlebih besar sampai 55 gram. Jadi, kalau nak tepat memang kena timbanglah berat telur tu ya supaya ukurannya tepat.
Cara saya tentukan berapa banyak cecair seperti susu dan jus yang boleh ditambah ke dalam adunan kek butter ialah, jumlah maksimum sukatan cecair untuk kek butter ialah sehingga 125% dari jumlah tepung. Tepung ni termasuklah tepung gandum, tepung kek, tepung jagung dan serbuk koko. Saya tak kira bahan penaik sebab bahan penaik tidak berfungsi sebagai pemekat adunan, hanya sebagai bahan untuk menaikkan kek saja.
Jadi, untuk resepi ni saya menggunakan 275 gram tepung kesemuanya (250 gram tepung gandum dan 15 gram tepung jagung). Cara pengiraannya ialah :
(125% ÷ 100%) x 275 gram = 343.8 gram
Jadi, jumlah cecair maximum untuk resepi ni tidak boleh lebih dari 343.8 gram. Katakan jumlah berat 5 biji telur gred A tanpa kulit ialah 50 gram sebiji, maka, 5 biji telur gred A tanpa kulit ialah 250 gram.
Jadi, baki berat cecair maximum yang boleh ditambah ke dalam adunan ialah :
343.8 gram - 250 gram = 94 gram
Jumlah berat jus oren dan susu yang saya gunakan untuk resepi ini ialah (90 ml atau 90 gram), iaitu masih di bawah lingkungan berat cecair yang boleh ditambah ke dalam adunan kek.
Kalau nak kurangkan jumlah cecair kepada kurang dari 90 ml pun boleh, misalnya, anda cuma nak letak 60 ml saja (30 ml jus oren dan 30 ml lagi susu), terpulang pada citarasa masing-masing ya, asalkan berat cecair tak lebih dari 125% dari berat keseluruhan tepung supaya kek tidak terlebih air.
Tapi, pengiraan di atas ni hanya boleh dipakai untuk kek butter je ya, kalau kek yang pakai minyak seperti kek coklat moist adunannya kan lebih cair, jadi formula di atas ni memang tak sesuai.
Disebabkan resepi ni tak menggunakan pati Sunquick, saya letak parutan kulit oren dari 2 biji buah oren supaya rasa orennya lebih intense. Rasa kek ini memang moist dan sedap, dengan tekstur kek yang halus dan lembut, apatah lagi kalau dihidang semasa kek masih suam lagi, memang tak cukup sepotong!
Cara nak simpan kek butter oren agar kekal lembut dan lembap ialah, selepas kek suam, terus balut kek dengan aluminum foil. Tujuannya supaya haba yang ada dalam kek akan terperangkap dan seterusnya akan melembapkan kek. Kek yang telah dibalut dengan aluminum foil boleh disimpan di dalam peti sejuk selama dua minggu. Kalau nak makan, kukus sebentar kek supaya teksturnya menjadi lembut semula, jangan bakar, takut kek jadi kering pula.
Kalau kek dah dipotong, boleh simpan dalam bekas kedap udara dan simpan dalam peti sejuk. Lepas tu, macam biasa, kukus semula kalau nak makan.
Tonton Video Di Sini 👇
Bagi peminat kek butter oren yang menggunakan jus oren segar, bolehlah cuba resepi ini untuk buat minum petang atau dihidangkan kepada para tetamu. Insya Allah menjadi.
Selamat mencuba!
Kek Butter Oren
Kategori : Kek
Masa Penyediaan : 25 minit
Masa Membakar : 60 minit
Jumlah Hidangan : 1 buku kek bersaiz 7 x 7 inci
BAHAN-BAHAN :
250 gram mentega bergaram (lembutkan) | 1 cawan
1/8 sudu teh garam
200 gram gula pasir halus/ gula kastor | 1 cawan
5 biji telur gred A (suhu bilik)
Parutan kulit oren dari 2 biji oren | 9 gram (saya pakai oren Navel)
250 gram tepung gandum | 2 cawan
15 gram tepung jagung | 2 sudu besar
8 gram baking powder | 2 sudu teh
60 ml jus oren segar | 1/4 cawan (sebiji oren Navel boleh dapat anggaran 1/4 ke 1/3 cawan jus)
30 ml susu penuh krim/susu segar | 2 sudu besar
CARA MEMBUAT :
- Panaskan ketuhar pada suhu 170℃.
- Oles loyang segiempat 7 x 7 inci dengan mentega kemudian alas bahagian bawahnya dengan kertas pembakar.
- Ayak bersama tepung gandum, tepung jagung dan baking powder sebanyak dua kali.
- Campur bersama jus oren dan susu penuh krim/susu segar.
- Di dalam mangkuk pengadun, pukul mentega yang telah lembut (mentega mudah ditekan dengan jari) beberapa saat.
- Masukkan garam dan gula pasir halus/gula kastor dan pukul adunan dengan kelajuan sederhana ke sederhana tinggi sehingga kembang dan berkrim. Sekali-sekala tolak adunan di tepi mangkuk ke tengah menggunaka spatula supaya adunan dipukul dengan sekata.
- Kacau ringan telur dan masukkan ke dalam adunan secara bertahap, 7 ke 8 kali. Pukul dengan kelajuan sederhana ke sederhana tinggi setiap kali selepas masukkan telur.
- Masukkan 1/3 campuran tepung dan pukul dengan kelajuan rendah sehingga sebati saja.
- Setelah itu, masukkan 1/2 campuran jus oren dan pukul lagi dengan kelajuan rendah sehingga sebati saja.
- Masukkan lagi 1/3 campuran tepung, diikuti dengan baki jus oren dan pukul sebati.
- Masukkan baki campuran tepung dan pukul sebati saja. Akhir sekali, kaup balik menggunakan spatula untuk memastikan adunan betul-betul sebati. Tidak perlu terlebih adun supaya kek tidak menjadi bantat.
- Tuang adunan kek ke dalam loyang.
- Lalukan lidi pencucuk/chopstick ke dalam adunan untuk memecahkan gelembung udara yang besar kemudian hentak perlahan loyang beberapa kali.
- Bakar selama 60 ke 65 minit pada rak paling bawah menggunakan api atas bawah. Kek telah masak jika lidi pencucuk bersih jika dicucuk pada tengah kek, atau bahagian tepi kek regang dari loyang dan kek menganjal jika anda tekan di bahagian tengahnya dengan jari.
- Setelah kek masak, biarkan sekejap dalam loyang, dalam 10 minit sebelum keluarkan dan telangkupkan di atas redai.
- Tunggu kek sejuk sebentar sebelum dipotong.
0 comments :
Post a Comment