Resepi Kek Pisang Walnut Gebu

Monday, January 9, 2023

Resepi Kek Pisang Walnut Gebu


 



Assalamualaikum readers...


Setelah agak lama saya tak buat kek pisang, tiba-tiba teringin pula nak makan kek pisang.  Dah terbayang-bayang betapa bahagianya kalau dapat makan kek pisang yang lembut sambil minum secawan teh. 

Resepi kek pisang kali ini menggunakan pisang Cavendish yang masak ranum untuk mendapatkan kemanisan dari buah pisang.  Kek pisang ini lebih special bukan hanya kerana teksturnya yang begitu lembut seperti kek span, tetapi juga sebab rasa kacang walnut yang nutty dan berlemak menjadikan kek pisang ini tidak jemu untuk dimakan.


Selain menggunakan kacang walnut, saya menggunakan gula perang yang dipukul bersama telur sehingga kembang untuk kek yang lebih lembap dan tidak terlalu manis.  Kek pisang walnut ni kalau makan ketika sejuk pun sedap, tetap lembut, tidak perlu dipanaskan.



Tonton Video Langkah Demi Langkah Di Sini :





Saya menggunakan loyang loaf untuk membakar kek pisang ini, tapi kalau nak bakar guna kertas cawan untuk dijadikan kek cawan pun boleh, hanya perlu sesuaikan waktu membakar bergantung kepada jenis loyang pembakar yang kita gunakan.


Selamat mencuba!




Kek Pisang Walnut









Kategori : Kek

Masa Penyediaan : 10 minit

Masa Membakar : 50 minit

Saiz Hidangan : 7 - 8 orang




BAHAN-BAHAN



180 gm pisang Cavendish/ berangan (masak ranum)  | 2 biji saiz medium (timbang tanpa kulit)

20 gm susu pekat manis  |  1 sudu besar

90 gm mentega bergaram/ marjerin (cairkan & sejukkan)

1 sudu teh esen vanilla

133 gm tepung gandum  |  1 cawan & 1 sudu besar

2 gm baking soda  |  1/2 sudu teh


4 biji telur gred A (suhu bilik)

72 gm gula perang  |  1/3 cawan & 1 sudu besar


Kacang walnut secukupnya (basuh bersih kemudian lap kering & cincang kasar)




CARA MEMBUAT


  1. Panaskan ketuhar pada suhu 170℃.
  2. Di dalam sebuah mangkuk, lecek halus pisang. Tambahkan susu pekat manis, mentega/ marjerin cair dan esen vanilla.  Kacau sebati.
  3. Ayakkan tepung gandum bersama baking soda ke dalam adunan kemudian adun sebati.
  4. Di dalam mangkuk lain, pukul telur  dengan kelajuan rendah selama 1 minit kemudian masukkan gula perang dan pukul lagi sehingga kembang dan kental menggunakan kelajuan sederhana tinggi.
  5. Masukkan 1/3 adunan telur ke dalam adunan tepung dan kaup balik perlahan sehingga sebati sahaja.
  6. Masukkan baki adunan telur dengan bertahap dan kaup balik sehingga adunan sebati.
  7. Siapkan loyang pembakar jenis loaf pan berukuran 8.5 x 4 x 2.5 inci dan alas dengan kertas pembakar termasuk di bahagian tepi loyang.
  8. Tuang adunan kek ke dalam loyang kemudian lalukan lidi pencucuk/ chopstick di dalam adunan untuk memecahkan gelembung udara yang besar.
  9. Tabur kacang walnut cincang di atas kek.
  10. Bakar pada suhu 170℃ selama 45 ke 50 minit, atau sehingga lidi pencucuk / cake tester bersih jika dicucuk di bahagian tengah kek. Bakar kek pada rak kedua bawah menggunakan api atas bawah.
  11. Jika permukaan kek terlalu cepat kecoklatan, tutup bahagian atasnya dengan aluminum foil.
  12. Setelah kek masak, keluarkan dari ketuhar dan hentak sekali pada permukaan supaya kek tidak mengecut.
  13. Keluarkan kek dari loyang selepas 10 minit - 15 minit, tanggalkan kertas pembakar pada kek dan biarkan kek sejuk di atas redai.
  14. Kek bolehlah dipotong setelah sejuk menggunakan pisau yang tajam dan dihidangkan.






0 comments :

Post a Comment