Resepi Roti Krim Pandan Legend Zaman Dulu
Assalamualaikum readers...
Masih ingat lagi tak dengan roti krim yang biasa dijual oleh ane mamak menggunakan motorsikal? Roti krim ni ada beberapa perisa, antaranya ialah perisa vanilla, coklat, pandan dan jagung. Tapi kali ni saya kongsikan roti krim perisa pandan dahulu sebab doh rotinya menggunakan jus pandan, jadi dohnya tak sama untuk roti krim yang lain.
Roti krim pandan ni rasanya sedap, dengan aroma jus pandan segar yang harum, ditambah pula dengan rasa santan yang lemak di dalam doh rotinya. Sementara krimnya saya menggunakan buttercream pandan yang berkrim dan tidak terlalu manis.
Memang sedap dijadikan sajian sarapan pagi ataupun snek. Tak pernah jemu makan roti krim macam ni walaupun sekarang ni dah banyak variasi roti manis yang moden.
Tonton Video Langkah Demi Langkah Di Sini :
Memandangkan sekarang ni agak susah nak cari roti pandan versi old school macam ni, lepas ni, bolehlah buat sendiri je di rumah, dapat makan lebih puas bersama keluarga.
Berapa lama roti boleh bertahan?
Roti krim pandan boleh bertahan sehingga 3 hari pada suhu bilik manakala 7 ke 9 hari di dalam peti sejuk. Roti hendaklah sentiasa disimpan dalam bekas yang bertutup supaya tidak masuk angin dan untuk kekalkan kelembutan roti.
Selamat mencuba!
Roti Krim Pandan Legend
Kategori : Bun
Masa Penyediaan : 45 minit
Masa Rehatkan Doh : 2 jam 15 minit
Masa Membakar : 20 minit
Jumlah Hidangan : 10 keping
BAHAN-BAHAN
Roti Bun Pandan :
Jus Pandan :
3 ke 4 helai daun pandan
160 ml air | 2/3 cawan
Anggaran 150 ml jus pandan | 1/2 cawan & 1 sudu besar & 2 sudu teh
50 gm gula pasir | 1/4 cawan (boleh kurangkan ke 42 gm atau 3.5 sudu besar untuk kurang manis)
4 gm yis segera | 1.5 sudu teh
45 gm krim santan KARA | 3 sudu besar
1/4 sudu teh pes pandan
65 gm tepung gandum | 1/2 cawan
250 gm tepung roti/ tepung berprotein tinggi | 2 cawan
2 gm bread improver | 1/2 sudu teh
2 gm garam | 1/2 sudu teh
30 gm mentega lembut atau marjerin | 2 sudu besar
Susu secukupnya untuk olesan roti
Krim Mentega Pandan :
125 gm marjerin Adela/ Pelangi/ Buttercup | 1/2 cawan
45 gm gula icing | 1/3 cawan (ayak)
20 gm susu pekat manis | 1 sudu besar
1/2 sudu teh pes pandan
CARA MEMBUAT
Jus Pandan :
- Potong daun pandan kecil-kecil dan kisar halus bersama air.
- Tapis jus pandan menggunakan penapis berjaring halus.
- Anggaran jus pandan yang terhasil ialah 150 ml.
Roti Pandan (Uli Tangan):
- Di dalam mangkuk pengadun, masukkan jus pandan, gula pasir, yis segera, krim santan dan pes pandan. Kacau sebati menggunakan senduk atau whisk tangan. Tak perlu tunggu yis kembang kerana kita menggunakan yis segera.
- Masukkan tepung gandum, tepung roti, bread improver dan garam. Adun pakai spatula dulu kemudian gunakan tangan sehingga menjadi doh kasar.
- Pindahkan doh ke atas papan pencanai atau permukaan kerja yang bersih dan uli dalam 2 ke 3 minit, sehingga permukaan doh menjadi agak licin.
- Regangkan doh menjadi lebar dan tambahkan mentega. Adun sehingga mentega sebati ke dalam doh.
- Setelah sebati, uli sehingga doh menjadi elastik. Untuk mengetahui jika doh telah cukup uli, cubit sedikit doh dan cuba regangkan senipis mungkin. Jika doh boleh diregang nipis sehingga cahaya dapat menembusi doh, itu bermakna doh telah cukup uli dan elastik.
- Bulatkan doh kemudian masukkan semula ke dalam mangkuk pengadun. Sebelum tu, oles sedikit permukaan mangkuk dengan sedikit minyak masak supaya doh mudah dikeluarkan nanti.
- Tutup mangkuk yang berisi doh tadi menggunakan cling wrap atau tuala lembap dan rehatkan lebih kurang 1 jam (bergantung kepada cuaca juga), sehingga isipadu doh menjadi 2 kali ganda.
Teknik Menggunakan Breadmaker :
- Masukkan jus pandan, gula pasir, yis, krim santan dan pes pandan ke dalam mangkuk breadmaker. Kacau sebentar menggunakan spatula.
- Masukkan tepung gandum, tepung roti, bread improver dan garam.
- Pilih menu "Dough" dan tekan "Start". Biarkan mesin mengadun dan menguli sehingga terbentuk doh kasar (lebih kurang 6 minit).
- Selepas 6 ke 7 minit, boleh "pause" sebentar mesin dan masukkan mentega.
- Sambung uli doh sehingga selesai.
- Keluarkan doh dari mangkuk breadmaker dan, bulatkan dan masukkan ke dalam mangkuk yang agak besar (agak2 cukup untuk memberi ruang bagi doh mengembang). Oles mangkuk dengan sedikit minyak masak dahulu ya.
- Tutup mangkuk dengan cling wrap atau tuala lembap dan rehatkan sehingga doh mengembang 2 kali ganda, lebih kurang 1 jam.
Membentuk Roti :
- Selepas doh mengembang 2 kali ganda, keluarkan doh dari mangkuk dan pindahkan ke atas papan pencanai yang telah ditabur sedikit tepung.
- Tumbuk-tumbuk doh untuk keluarkan angin dan bahagikan kepada 10 bahagian sama rata, anggaran 57 gram setiap bahagian.
- Bulat-bulatkan setiap bahagian doh tadi dan susun di atas papan pencanai atau masukkan ke dalam bekas bertutup yang besar. Jarakkan sedikit antara doh supaya tidak melekat.
- Tutup bebola doh dengan plastik/ cling wrap/ tuala bersih dan rehatkan 15 minit supaya mudah untuk dicanai.
- Selepas 15 minit, ambil sebiji doh dan canai memanjang. Gulung dari sisi yang lebih pendek dengan kemas dan picit hujung doh supaya gulungan tak terbuka.
- Susun di atas loyang pembakar yang telah diglis dengan mentega / dialas dengan kertas baking.
- Ulang langkah mencanai dan menggulung bebola doh hingga selesai. Jarakkan sedikit antara roti supaya tidak melekat.
- Tutup loyang dengan plastik/ kain bersih dan rehatkan lagi dalam 1 jam, sehingga roti mengembang 2 kali ganda.
Membakar Roti :
- 10 ke 15 minit sebelum mula membakar, panaskan ketuhar pada suhu 180℃.
- Selepas 1 jam, oles permukaan roti dengan susu, kalau nak oles dengan telur juga boleh, tapi resepi ni saya tak pakai telur.
- Bakar pada suhu 180℃ selama 18 ke 20 minit pada rak tengah, api atas bawah sehingga permukaan roti berwarna keemasan.
- Setelah roti siap dibakar, keluarkan dan pindahkan roti ke atas redai. Tutup permukaan roti dengan kain bersih dan biarkan roti sejuk.
Krim Mentega Pandan :
- Pukul marjerin/ Buttercup dengan speed rendah selama beberapa saat.
- Masukkan gula icing yang telah diayak dan pukul dengan kelajuan sederhana ke tinggi sehingga mengembang dan ringan.
- Masukkan susu pekat manis dan pes pandan dan pukul sehingga sebati. Tekstur krim hendaklah gebu, ringan dan tidak cair ya.
- Masukkan krim ke dalam beg piping plastik dan krim sedia digunakan.
Mengisi Krim Pada Roti :
- Setelah roti sejuk, potong di tengahnya dengan pisau yang bergerigi (tapi jangan potong sampai habis).
- Paipkan krim pandan sebanyak yang anda suka dan roti sedia untuk dihidang.
0 comments :
Post a Comment