Resepi Biskut Red Velvet Chocolate Chips Rangup

Sunday, June 4, 2023

Resepi Biskut Red Velvet Chocolate Chips Rangup


 Assalamualaikum readers...




Dalam banyak-banyak jenis biskut, biskut jenis drop cookies ialah satu satu biskut kegemaran saya, baik dari segi rasa mahupun cara membuatnya.  Biskut red velvet chocolate chips ni ialah satu satu biskut jualan saya untuk lebaran tempoh hari, ramai juga peminat biskut red velvet ni, bukan saja sebab warnanya yang merah menawan, tetapi juga rasanya yang sedap dan teksturnya yang rangup, apatah lagi dengan sebiji dark coklat Callebaut di atasnya!


Keunikan biskut red velvet chocolate chips ni terletak pada rasa red velvet itu sendiri, rasa red velvet ni saya adaptasi dari rasa kek red velvet dengan mencampurkan ketiga-tiga rasa iaitu buttermilk, serbuk koko dan cuka.  Disebabkan buttermilk tak sesuai untuk doh biskut, saya gantikan dengan red velvet emulco supaya rasa biskut ni mirip dengan rasa klasik kek red velvet.  Untuk resepi ini, saya tidak menggunakan pewarna merah, warna merah pada biskut ni datang dari red velvet emulco yang digunakan, jadi tona warna merahnya agak gelap.  Kalau anda sukakan warna biskut yang merah menyala, boleh tambah lagi sikit pewarna merah pada doh biskutnya.


Tonton Video Di Sini 👇




Untuk menambah rasa, saya tambahkan kepingan kacang badam yang dipanggang sebentar dan menggabungkan dua jenis cip coklat - cip coklat putih dan cip coklat gelap. Walaupun bahan yang digunakan agak banyak, tapi berbaloi untuk membuatnya sendiri di rumah, bukan sahaja sedap dinikmati sebagai kudapan, tetapi juga boleh dijadikan buah tangan untuk yang tersayang.  

Biskut ini tahan lama jika disimpan dalam bekas kedap udara.  Walaupun tak ramai bakers yang mencadangkan untuk menyimpan biskut dalam peti sejuk, tetapi saya lebih suka simpan biskut dalam peti sejuk, bukan saja tahan lebih lama, tetapi teksturnya juga akan sentiasa fresh dan rangup! Biskut yang nak disimpan dalam peti sejuk perlu disimpan dalam bekas kedap udara ya, untuk elakkan biskut dari masuk angin.






Bagi peminat biskut cip coklat atau biskut red velvet boleh cuba resepi ni.  Satu resepi ni menghasilkan banyak biskut, jadi bagi yang pertama kali nak mencubanya, anda boleh separuhkan resepi ni kalau anda suka.

Selamat mencuba!



Biskut Red Velvet Chocolate Chips






Kategori : Biskut Raya, drop cookies

Masa Penyediaan : 35 minit

Masa Membakar : 22 minit

Jumlah Biskut : Anggaran 260 keping

 


BAHAN-BAHAN :


250 gm mentega bergaram (lembut tapi masih sedikit dingin)

1/8 sudu teh garam/ secubit

60 ml minyak jagung | 1/4 cawan

200 gm gula perang lembut | 1 cawan

180 gm gula kastor | 3/4 cawan & 2.5 sudu besar

2 sudu teh cuka makan

2 biji telur gred A

1 sudu teh red velvet emulco

1 sudu teh esen vanilla

20 gm serbuk koko | 4 sudu besar

120 gm tepung jagung | 1 cawan & 1 sudu besar

400 gm tepung gandum | 3 cawan & 3 sudu besar

4 gm baking soda | 1 sudu teh

3 gm baking powder | 1 sudu teh

30 gm serbuk badam | 1/4 cawan (optional)

120 gm almond slice | 1 & 1/4 cawan (panggang sekejap 150℃ selama 15 minit)

200 gm cip coklat putih | 1 & 1/4 cawan

160 gm cip coklat gelap | 1 cawan


Callebaut dark callets untuk hiasan (optional)



CARA MEMBUAT :


  1. Whisk bersama mentega, garam, minyak jagung, gula perang dan gula kastor sehingga pucat, tidak perlu kembang. Boleh pakai standmixer dengan paddle attachment, putar kelajuan sederhana.
  2.  Masukkan cuka makan dan whisk sebati.
  3. Masukkan telur, red velvet emulco dan esen vanilla, whisk sebati.
  4. Ayak bersama serbuk koko, tepung jagung, tepung gandum, baking soda dan baking powder ke dalam adunan. Masukkan serbuk badam jika pakai dan adun sebati menggunakan spatula atau tangan.
  5. Masukkan almond slice yang telah dipanggang dan disejukkan, cip coklat putih dan gelap. Adun sebati.
  6. Tutup mangkuk dan dinginkan (chill) 30 minit.
  7. Panaskan ketuhar pada suhu 170℃ selama 10 ke 15 minit.
  8. Alas loyang pembakar dengan baking paper/teflon mat atau oles dengan mentega/marjerin.
  9. Cubit sedikit doh dan susun di atas loyang, jarakkan sedikit antara biskut.  Kalau nak pakai ice cream scoop yang paling kecil pun boleh (2.5 cm diameter)
  10. Hias dengan Callebaut dark callets/ cip coklat putih atau gelap jika suka.
  11. Bakar selama 20 ke 22 minit, rak tengah/kedua dari bawah dengan api atas bawah.
  12. Setelah masak, sejukkan sebentar dalam loyang sebelum dipindahkan ke atas redai untuk disejukkan sepenuhnya.
  13. Setelah biskut sejuk bolehlah disimpan dalam bekas kedap udara.






0 comments :

Post a Comment