Resepi Sea Salt Callebaut Cookies

Tuesday, June 13, 2023

Resepi Sea Salt Callebaut Cookies


 



Assalamualaikum readers...


Setelah sekian lama penantian nak membuat biskut sea salt ni, akhirnya terhasillah resepi biskut sea salt yang menggabungkan rasa lemak masin sea salt flakes dengan belgian cip coklat berjenama Callebaut ni.  Disebabkan review yang bagus dan ramai penggemarnya, biskut sea salt Callebaut ni secara rasminya telah menjadi best seller cookies saya tahun ni.  Ramai customer repeat order sebab mereka sukakan rasa biskut ini yang bercoklat, lemak masin dan tidak terlalu manis, selain dari tekstur biskut yang rangup.

Resepi biskut ini lebih kurang sama dengan resepi asas biskut cip coklat.  Biskut ini menggunakan dua jenis gula- gula perang lembut dan gula kastor atau gula pasir dikisar halus.  Walaupun dua jenis gula digunakan, tetapi rasa biskut tidak terlalu manis, seimbang antara rasa manis, rasa sedikit pahit dari coklat semisweet dan rasa sedikit masin dari sea salt flakes tu.


Tonton Video di Sini :




Tips untuk mendapatkan tesktur biskut yang rangup dan sedikit ringan di bahagian dalam biskut ini ialah dengan menambahkan sedikit minyak jagung dalam adunan biskut.  Coklat belgian Callebaut ni jenis couverture, maknanya bila coklat ni dipanaskan, ia akan menjadi lembut dan mudah cair dan jika biskut dibiarkan pada suhu bilik, coklatnya akan lembut sahaja, tak seperti coklat cip yang bukan jenis couverture, ia akan kekal solid dan tidak lembut walaupun setelah dibakar.






Tips Penyimpanan Biskut :


Disebabkan penggunakan coklat callet jenis couverture dari Callebaut ni, saya cadangkan agar biskut yang telah disimpan dalam bekas kedap udara ni disimpan pada suhu di bawah 25℃ (lebih kurang suhu dalam kabinet yang bertutup, maksudnya tempat yang sejuk dan jauh dari cahaya matahari untuk elak coklat toppingnya dari menjadi cair. 

Biskut ini boleh bertahan sehingga dua bulan jika disimpan di tempat yang sejuk, tanpa mengubah rasa dan teksturnya.  Tetapi, untuk tahan lebih lama, anda boleh saja simpan balang biskut ni dalam peti sejuk.



Tips Penyediaan Doh Biskut :


Disebabkan coklat Callebaut ini mudah cair, saya cadangkan sebelum coklat ditambah ke dalam doh, coklat yang telah dicincang kasar ni boleh dimasukkan ke dalam freezer selama 1 jam. sementara doh biskut yang telah disediakan boleh didinginkan dalam peti sejuk bahagian bawah selama 30 minit ke 1 jam.  Setelah coklat beku dan doh menjadi dingin ya, bukan keras, barulah kita campurkan coklat ke dalam doh. Selepas itu, kita boleh simpan doh biskut ke dalam peti sejuk semula selama 30 minit atau sehingga kita sedia untuk membakar doh biskut.  Doh biskut boleh disimpan sehingga tiga hari dalam peti sejuk.

Tujuan kita sejukkan semula doh biskut selepas kita campurkan dengan coklat ialah supaya rasa coklat meresap ke dalam doh, jadi rasanya lebih sedap, tanpa coklat menjadi cair dengan cepat.

Sebenarnya, kalau coklat ini cair dan meresap ke dalam doh, rasa biskut tetap sedap, cuma, warna doh akan menjadi lebih gelap dan rupanya akan jadi kurang cantik.  Jika nak buat untuk makan sendiri rasanya tak ada masalah, tapi kalau untuk jual tu aspek aesthetic perlu diambil berat juga kan?

Selain itu, kalau anda adun banyak sekali gus, saya cadangkan keluarkan sebahagian doh biskut yang hendak digunakan sahaja, dan bakinya simpan semula dalam peti sejuk.  Tujuannya supaya doh biskut tidak terdedah pada suhu bilik terlalu lama kerana bimbang coklat dalam doh menjadi cair.





Peminat biskut cip coklat bolehlah cuba resepi ni, rasanya memang lebih mewah dan sedap disebabkan penggunaan bahan-bahan yang premium, encik suami yang kurang gemarkan biskut cip coklat pun jadi suka makan biskut sea salt callebaut ni, rasanya memang lain dan unik.


Selamat mencuba!



Sea Salt Callebaut Cookies







Kategori : Biskut Raya, drop cookies

Masa Penyediaan : 20 minit

Masa Rehatkan Doh : 1 jam

Masa Membakar : 22 minit

Jumlah Biskut : (+-) 260 keping




BAHAN-BAHAN :



250 gm mentega bergaram (lembut) | 1 cawan

60 ml minyak jagung | 1/4 cawan

180 gm gula perang lembut | 3/4 cawan & 2.5 sudu besar

140 gm gula kastor/ gula pasir kisar halus | 1/2 cawan & 3.5 sudu besar

2 biji telur gred A

2 sudu teh esen vanilla

30 gm serbuk badam | 1/4 cawan (optional)

400 gm tepung gandum | 3 cawan & 3 sudu besar

120 gm tepung jagung | 1 cawan & 1 sudu besar

4 gm baking soda | 1 sudu teh

360 gm Callebaut semi-sweet dark callets | 1 & 3/4 & 1/8 cawan



Hiasan :


Callebaut semi-sweet dark/ milk callets

Sea Salt Flakes



CARA MEMBUAT :


  1. Cincang kasar Callebaut semi-sweet dark callets, masukkan ke dalam bekas dan masukkan ke dalam freezer selama 1 jam.
  2. Di dalam mangkuk pengadun, whisk bersama mentega, minyak jagung, gula perang dan gula kastor atau gula pasir halus sehingga pucat, tidak perlu kembang dan gebu ya.  Kalau nak guna mixer pun boleh, gunakan speed sederhana sahaja dan mixing paddle.
  3. Masukkan telur dan esen vanilla dan whisk sebati.
  4. Ayak bersama tepung gandum, tepung jagung dan baking soda ke dalam adunan, tambahkan serbuk badam (jika menggunakan), adun menjadi doh biskut yang lembut.
  5. Tutup mangkuk dan dinginkan doh selama 30 minit ke 1 jam dalam peti sejuk.
  6. Selepas 1 jam, campurkan Callebaut semi-sweet dark callets dengan doh yang telah sejuk.
  7. Setelah itu, dinginkan semula doh sekurang-kurangnya 30 minit dalam peti sejuk sebelum dibentuk supaya rasa lebih sebati.
  8. Panaskan ketuhar pada suhu 170℃ selama 10-15 minit.
  9. Keluarkan doh dari peti sejuk, cubit sedikit doh, bulatkan dan susun di atas loyang pembakar yang telah dialas dengan kertas baking atau dioles dengan mentega.  Jarakkan sedikit antara doh biskut untuk memberi ruang biskut untuk mengembang.  Selain itu, boleh gunakan scoop ice cream yang kecil, diameter 2.5 ke 3 cm.
  10. Hias biskut dengan Callebaut semi-sweet dark/ milk callets dan taburkan sedikit sea salt flakes.
  11. Bakar selama 20-22 minit, atau sehingga tapak biskut garing dengan api atas bawah, rak tengah/rak kedua dari bawah.
  12. Setelah biskut masak, biarkan biskut sejuk sebentar di dalam loyang sebelum dipindahkan ke atas redai.
  13. Pastikan loyang telah sejuk sebelum digunakan semula untuk elak doh biskut dari menjadi cair sebelum dibakar.
  14. Simpan biskut yang telah sejuk di dalam bekas kedap udara dan simpan balang biskut di tempat yang sejuk dan jauh dari cahaya matahari.





0 comments :

Post a Comment