Resepi Kek Marble Oren Lembut dan Gebu

Saturday, October 5, 2024

Resepi Kek Marble Oren Lembut dan Gebu


 



Assalamualaikum readers...


Salah satu variasi kek marble berperisa oren dengan menggunakan buah oren segar yang lembut, gebu dengan serat kek yang halus.  Kek marble oren ini menggunakan campuran antara mentega dan minyak sayuran, saya pakai minyak jagung kali ini.  Teknik membuatnya sama seperti kek mentega yang lain, yang mana mentega, minyak dan gula dipukul sehingga mengembang, ringan dan gebu sebelum kita masukkan bahan-bahan lain.

Dalam banyak-banyak kombinasi rasa untuk kek, gabungan rasa oren dan coklat memang menjadi kegemaran saya sejak dulu.  Rasa manis dan masam pada buah oren, ditambah dengan rasa coklat yang lemak pahit menjadikan kek ini tidak bosan untuk dimakan.


Tonton Video di Sini :



Kek marble oren coklat ini rasanya akan semakin sedap setelah sehari kerana rasanya lebih sebati.  Kek ini boleh disimpan sehingga tiga hari pada suhu bilik dan sehingga dua minggu jika disimpan dalam peti sejuk.

Peminat kek marble berperisa oren bolehlah cuba buat resepi ini kerana bahan-bahannya pun tak banyak, dan hanya menggunakan empat biji telur.

Selamat mencuba!


Kek Marble Oren


Kategori : Kek

Masa Penyediaan : 20 minit

Masa Membakar : 55 minit

Jumlah Hidangan : 1 buah kek bersaiz 7 x 7 inci



Bahan-bahan :


180 gm mentega bergaram lembut/ marjerin (3/4 cawan dan 1 sudu besar)

30 ml minyak sayuran (2 sudu besar)

150 gm gula kastor/ gula pasir halus (3/4 cawan)

1/8 sudu teh garam

Parutan kulit 1 buah oren

4 biji telur gred C (suhu bilik) - berat 1 biji tanpa kulit ialah 45 gm

1/2 sudu teh esen vanilla

250 gm tepung kek (2 cawan dan 2 sudu besar)

5 gm baking powder (1.5 sudu teh)

80 ml jus oren (1/3 cawan)

60 ml susu (1/4 cawan)

Pewarna oren

5 gm serbuk koko (3/4 sudu besar)



Cara Membuat :


  1. Panaskan ketuhar pada suhu 170℃.
  2. Ayak bersama tepung kek dengan baking powder. Ketepikan.
  3. Di dalam mangkuk pengadun, pukul mentega, minyak, gula dan parutan kulit oren dengan kelajuan sederhana tinggi sehingga kembang, pucat dan ringan.  Bersihkan tepi mangkuk sekali sekala dengan spatula supaya sekata.
  4. Masukkan telur, satu per satu dan pukul sebati.
  5. Masukkan esen vanilla dan pukul sebati.
  6. Masukkan 1/3 tepung dan pukul dengan kelajuan paling rendah hanya sekadar sebati.
  7. Masukkan jus oren dan pukul sebati.
  8. Masukkan 1/3 bahagian tepung lagi dan pukul sebati.
  9. Masukkan susu dan pukul sebati.
  10. Masukkan baki tepung dan pukul sebati.  Kaup balik sebentar dengan spatula supaya adunan sekata.
  11. Sudukan 3 sudu penuh adunan ke dalam 2 buah mangkuk yang berbeza.
  12. Tambah pewarna oren pada satu mangkuk dan tambah serbuk koko pada mangkuk kedua.  Kacau sebati.
  13. Tuang  baki adunan ke dalam loyang pembakar 7 x 7 inci yang telah dioles mentega dan dialas dengan kertas pembakar.  Ratakan adunan pakai spatula.
  14. Sudukan adunan oren dan coklat di atas adunan, berselang-seli kemudian lorekkan bahagian permukaannya dengan menggunakan lidi pencucuk.
  15. Hentak perlahan loyang beberapa kali untuk melepaskan gelembung udara dalam adunan.
  16. Bakar selama 45 ke 55 minit, api atas bawah di rak bawah ketuhar sehingga lidi pencucuk bersih ketika dicucuk pada bahagian tengah kek.
  17. Selepas 2 minit, keluarkan kek dari loyang.  Lalukan pisau kecil di bahagian tepi kek sebelum dikeluarkan.
  18. Terbalikkan kek di atas redai dan biarkan kek suam.
  19. Potong kek setelah kek suam atau sejuk dan hidangkan.






0 comments :

Post a Comment