Resepi Pizza Simple Menggunakan Breadmaker dengan Sos Pizza Homemade
Assalamualaikum readers...
Pizza atau roti pizza, salah satu roti kegemaran Mr Hubby. Dalam banyak-banyak roti, pizza ni antara roti yang dia selalu request sebab dia lebih suka roti savory berbanding roti manis. Pizza versi ini mudah je nak sediakan, dohnya saya uli pakai bread maker je sebab buat untuk sarapan pagi dan untuk bekalan Hubby ke pejabat. Doh pizza ini bukanlah sama macam doh pizza Neapolitan atau Italian pizza kerana tekniknya agak berbeza dan biasanya doh pizza yang original memerlukan tempoh rehat yang lebih lama. Kalau nak buat doh pizza yang Italian macam di restoran ala Itali tu memang perlu buat persiapan awal. Saya bercadang untuk membuat pizza ini disaat akhir, waktu saya bangun pukul 3 pagi, jadi memang tak sempatlah kalau nak buat doh original pizza. Walaupun begitu, rasanya tetap sedap, kerana kesedapan pizza ini sebenarnya terletak pada toppingnya. Gabungan rasa sos pizza, keju, dan segala topping yang kita letakkan tu, tak mungkin jadi tak sedap kan pizza kita. Hehe..
Untuk topping pizza kali ini, saya menggunakan bahan yang ada di rumah sahaja, yang penting ada keju dan sos pizza. Sos pizza kali ini saya buat sendiri, menggunakan tomato segar dan herba Italian tanpa tambahan tomato puri. Kalau nak rasa sos pizza yang lebih harum, bolehlah letak sedikit daun basil. Saya tak letak sebab di rumah tiada stok daun basil. Itu pun dah cukup sedap walaupun tak begitu authentic macam Italian pizza, kira okay lah kan, pizza ala tekak Melayu.
Tonton Video Tutorial di Sini :
Saya tidak bakar dahulu kerak pizzanya, selepas bentukkan doh saya terus letakkan topping dan bakar. Kalau nak buat pizza frozen, selepas canai doh pizza, boleh bakar sebentar sehingga sedikit kecoklatan, kemudian, sejukkan dan boleh simpan dalam freezer sehingga 2 bulan. Atau, boleh juga simpan doh pizza yang telah siap diuli. Masukkan doh yang telah dibahagikan ke dalam bekas berasingan, tutup dan simpan dalam freezer sehingga 1 bulan. Bila nak gunakan doh pizza frozen, keluarkan doh dan biarkan di suhu ruang sehingga lembut kembali, kemudian canai dan letakkan topping, dan boleh dibakar seperti biasa.
Selamat mencuba!
Pizza Versi Simple
Kategori : Roti & Pizza
Masa Penyediaan : 30 minit
Masa Membakar : 15 minit
Jumlah Hidangan : 2 buah pizza regular
Bahan-bahan :
Doh Pizza :
Anggaran 170 ke 180 ml air sejuk (Anggaran 2/3 ke 3/4 cawan air)
2 gm yis segera (1 sudu teh)
6 gm gula pasir (1/2 sudu besar)
30 ml minyak zaitun atau minyak sayuran (2 sudu besar)
220 gm tepung roti (1 dan 3/4 cawan)
32 gm tepung gandum (1/4 cawan)
3 gm garam (3/4 sudu teh)
Sos Pizza :
1 biji tomato
1/2 biji bawang Holland (didadu)
2 ulas bawang putih (cincang halus)
Sedikit air
4 ke 5 sudu besar sos tomato
1 sudu teh oregano atau Italian mixed herbs
1/2 sudu teh serbuk lada hitam kasar
Gula secukupnya
Garam secukupnya
Sedikit minyak masak untuk menumis
Topping :
4 batang sosej
1/4 biji lada benggala hijau (didadu)
1/4 biji lada benggala merah (didadu)
1/4 biji lada benggala kuning (didadu)
keju Mozzarella atau keju campuran secukupnya
Sos cili secukupnya
Mayonis secukupnya
Cara Membuat :
- Buat 2 hirisan secara bertentangan pada bahagian atas buah tomato. Rebus 2 ke 3 minit dengan api sederhana, sehingga kulit buah tomato sedikit terkupas. Angkat dan biarkan sejuk.
- Siapkan doh pizza. Masukkan kesemua bahan doh pizza ke dalam mangkuk breadmaker, saya ikut turutan ini : air, yis, gula pasir, minyak, tepung roti, tepung gandum dan tepung garam.
- Pilih menu "Dough" dan biarkan mesin menguli sehingga selesai. Setelah itu, biarkan doh dalam breadmaker sementara kita siapkan sos pizza.
- Kupas kulit buah tomato dan kisar halus menggunakan hand blender.
- Panaskan sedikit minyak dalam kuali, tumis bawang holland dan bawang putih sehingga harum.
- Masukkan tomato kisar, sos tomato dan sedikit air. Kacau sebentar, kemudian masukkan oregano / Italian mixed herbs, lada hitam, gula dan garam. Masak sebentar sehingga sos agak pekat.
- Tutup api dan ketepikan.
- Panaskan ketuhar pada suhu 250℃.
- Oles sedikit minyak pada dua buah loyang pizza saiz regular. Kalau nak kerak pizza yang rangup, gunakan loyang pizza yang berlubang.
- Bahagikan doh pizza menjadi 2 bahagian, dalam 220 gm setiap bahagian doh.
- Canai bentuk bulat setiap doh dan pindahkan ke loyang pizza, regangkan doh supaya memenuhi loyang. Bahagian tepi doh biarkan sedikit tebal untuk membentuk tebing.
- Cucuk-cucuk doh dengan garfu supaya doh tidak menggelembung ketika dibakar.
- Ratakan sos pizza di atas doh pizza, taburkan keju. Hiaskan dengan topping, kemudian tutup semula dengan keju.
- Paipkan sos cili dan mayonis di atas topping.
- Bakar selama 12 ke 15 minit, sehingga kerak pizza sedikit kecoklatan, api atas bawah.
- Keluarkan dari ketuhar dan boleh potong dan siap untuk dihidangkan.
0 comments :
Post a Comment