Resepi Blueberry Cheese Butter Cake Moist dan Gebu

Saturday, July 19, 2025

Resepi Blueberry Cheese Butter Cake Moist dan Gebu



Kali ini saya kongsikan resepi olahan kek mentega dengan menggunakan keju Cheddar, krim keju dan inti blueberry.  Inilah hasilnya, kek mentega berkeju dengan blueberry yang sangat sedap!  Kek ini tidak menggunakan banyak bahan, dan tak menggunakan susu, tetapi rasanya tetap mewah dan buttery, asalkan anda pakai mentega tulen.  Antara jenama mentega tulen kegemaran saya ialah Anchor, Golden Churn dan SCS.  Ada jenama mentega baru iaitu Meadow, saya dah cuba, rasanya pun boleh tahan sedap.  Kalau nak lebih mewah, bolehlah pakai La Belle D'Andiane ya.

Inti blueberry saya beli di kedai bahan bakery, yang jenis smooth, biasa orang guna untuk buat inti cheese tart tu.  Kalau nak lebih sedap pakai inti blueberry yang ada biji buah blueberry tu, lagi sedap rasanya.  Untuk keju Cheddar, saya pakai keju jenama Beqa. 


Tonton Video di Sini :



Cara membuat kek mentega cheese ini menggunakan kaedah biasa untuk membuat kek mentega, rasanya selain mewah dan berkeju, kek ini juga tidak terlalu manis.  Memang sesuai dihidangkan untuk para tetamu atau buat teman minum petang.


Cara Penyimpanan Kek :

  • Setelah kek suam di atas redai, jika belum hendak segera dihidangkan, balut kek dengan cling wrap atau aluminum foil untuk mengekalkan kelembapan kek.
  • Kek boleh disimpan sehingga 3 hari pada suhu bilik, dan sehingga 2 minggu dalam peti sejuk.
  • Kek yang telah dipotong bolehlah disimpan dalam bekas bertutup supaya permukaan kek tidak kering.
  • Untuk rasa lebih sedap, boleh hangatkan kek sebentar dalam microwave, atau bakar semula pada suhu 150℃, dalam 10 minit (pastikan kek ditutup dengan aluminum foil supaya tidak kering).



Blueberry Cheese Butter Cake






Kategori : Kek

Masa Penyediaan : 25 minit

Masa Membakar : 60 minit

Jumlah Hidangan : 1 biji 8 inci kek



BAHAN-BAHAN :


227 gm mentega bergaram (lembut, agak dingin)  | 1 cawan

100 gm krim keju (lembut) | 0.4 cawan

160 gm gula kastor/ gula pasir halus | 3/4 cawan dan 1 sudu besar

4 biji telur gred A (anggaran 53 gm sebiji tanpa kulit)

1.5 sudu teh esen vanilla

250 gm tepung gandum | 2 cawan

15 gm tepung jagung | 2 sudu besar

6 gm baking powder | 2 sudu teh

2 gm baking soda | 1/4 sudu teh

50 gm parutan keju Cheddar | 1/2 cawan


150 gm jem/ inti blueberry



CARA MEMBUAT :


  1. Panaskan ketuhar 170℃, kipas matikan.
  2. Oles loyang bulat berdiameter 8 inci atau loyang segiempat 7x7 inci.  Alas dengan kertas pembakar.
  3. Ayakkan bahan kering, tepung gandum, tepung jagung, baking powder dan baking soda.  Ketepikan.
  4. Di dalam mangkuk pengadun, pukul sebentar mentega dengan krim keju hingga lembut.
  5. Masukkan gula dan pukul dengan kelajuan rendah dahulu, kemudian tinggikan kelajuan secara bertahap dan pukul hingga kembang, ringan dan pucat.  Tolak adunan ke tengah dengan spatula sekali-sekala agar adunan terpukul dengan sekata.
  6. Masukkan telur, sebiji demi sebiji dan pukul sebati.
  7. Tambahkan esen vanilla dan pukul sebati.
  8. Masukkan campuran tepung yang diayak secara bertahap, lebih baik kalau ayak sekali lagi agar tekstur kek lebih ringan.  Mixer perlahan hingga sebati sehaja, jangan terlebih adun untuk elak kek menjadi mampat.
  9. Masukkan parutan keju Cheddar dan kaup balik hingga sebati.
  10. Tuangkan separuh adunan kek ke dalam loyang, ratakan menggunakan spatula.
  11. Sudukan sebahagian jem/inti blueberry di atas adunan, dan ratakan dengan perlahan.
  12. Tuang baki adunan kek dan ratakan.
  13. Buat lorekan marble di bahagian atas dengan baki jem/inti blueberry.
  14. Hentak perlahan loyang beberapa kali untuk memecahkan gelembung udara yang besar dalam adunan.
  15. Bakar pada suhu 170℃, 50 ke 60 minit, api atas bawah, rak kedua dari bawah hingga lidi pencucuk bersih jika dicucuk pada bahagian tengah kek.
  16. Biarkan kek 2-3 minit dalam loyang sebelum diterbalikkan ke atas redai kek. 
  17. Potong kek setelah suam/sejuk. Hidangkan.





0 comments :

Post a Comment