Resepi Pistachio Cinnamon Rolls Lembut dengan Frosting Krim Keju

Thursday, July 24, 2025

Resepi Pistachio Cinnamon Rolls Lembut dengan Frosting Krim Keju




Pistachio cinnamon rolls, variasi baru olahan pistachio, khas buat pistachio lovers!  Resepi cinnamon rolls kali ini saya menggunakan tepung gandum sepenuhnya, tetapi masih lembut dan gebu.  Dohnya perlu diuli sehingga elastik untuk mendapatkan tekstur cinnamon rolls yang gebu dan anjal, tak mampat.

Penggunaan bahan untuk membuat pistachio cinnamon rolls ini agak banyak, jadi tak hairan kalau harga pistachio cinnamon rolls ini agak mahal.  Cinnamon rolls ini ialah sejenis pencuci mulut yang sesuai dinikmati ketika hangat, kerana tekstur rolls nya lebih lembut.

Saya lebih suka menggunakan frosting krim keju dalam setiap resepi cinnamon rolls saya kerana kurang manis dan untuk mendapatkan frosting yang lebih pekat dan berkrim.  Krim keju juga menambah keenakan rasa cinnamon rolls, berbeza dengan sugar glaze biasa.


Tonton Video di Sini :



Cara Penyimpanan :

  • Sebaiknya topping diletakkan ketika hendak dihidangkan agar lebih segar.
  • Rolls yang telah siap diletakkan topping boleh disimpan sehingga 2 hari pada suhu bilik, sementara dalam peti sejuk sehingga 7 hari.
  • Rolls lebih sedap dihidangkan hangat, boleh hangatkan sebentar menggunakan oven dengan suhu lebih rendah atau microwave sebelum dihidangkan. Jika anda hangatkan rolls dengan topping, jangan terlalu lama agar tekstur krim keju frosting tidak berubah.

Cinnamon rolls yang telah siap dibentuk boleh terus difrozenkan, tak perlu rehatkan sehingga mengembang sehingga 1 bulan. Susun cinnamon rolls dalam loyang dan bungkus loyang dengan plastik sebelum difrozenkan.  Untuk dibakar, keluarkan cinnamon rolls frozen dan biarkan pada suhu ruang sehingga rolls mengembang 1.5 kali ganda dari saiz  asal sebelum dibakar.

Peminat cinnamon rolls, anda bolehlah cuba variasi pistachio ni.  Berbaloi buat sendiri di rumah, puas makan.  Selamat mencuba!



Pistachio Cinnamon Rolls







Kategori : Roti
Masa Penyediaan : 1 jam
Masa Rehat : 1 jam 40 minit
Masa Membakar : 40 minit
Jumlah Hidangan : 9 orang



BAHAN-BAHAN



DOH CINNAMON ROLLS :

(+-) 230 ml susu dingin [3/4 cawan dan 3,1/3 sudu besar]
1 biji telur gred A [56 gm tanpa kulit]
5 gm yis kering segera [2 sudu teh]
42 gm gula pasir halus [3.5 sudu besar]
1 sudu teh esen vanilla
440 gm tepung gandum [3,1/2 cawan]
3 gm garam [1 sudu teh]
56 gm mentega bergaram lembut [1/4 cawan]


INTI CINNAMON ROLLS :

70 gm kacang pistachio [1/2 cawan - bakar 140℃, 30-35 minit (simpan 20 gm untuk hiasan)] - cincang kasar
80 gm mentega bergaram lembut [1/3 cawan dan 1/2 sudu besar]
80 gm pes pistachio [ 1/3 cawan]
90 gm gula perang lembut [1/2 dan 1/8 cawan]
1/4 sudu teh garam
5 gm serbuk kayu manis [ 1/2 sudu besar dan 1 sudu teh]


FROSTING KRIM KEJU :

150 gm krim keju [2/3 cawan] - suhu bilik
30 gm mentega bergaram lembut [2 sudu besar]
25 gm gula icing [ 2.5 sudu besar]
1 sudu teh esen vanilla
1-2 sudu besar krim putar tenusu/ susu


PISTACHIO GANACHE :

50 gm coklat compound putih [1/4 cawan dan 1 sudu besar]
45 ml krim putar tenusu [3 sudu besar]
20 gm pes pistachio [1 sudu besar]
1/4 sudu teh pistachio emulco



CARA MEMBUAT 



CINNAMON ROLLS :

  1. Dalam mangkuk pengadun, masukkan susu, telur, gula halus, yis segera dan esen vanilla.  Whisk sebati.
  2. Masukkan tepung gandum, adun sebentar guna spatula kemudian uli menggunakan mixer dengan hook attachment atau uli pakai tangan sehingga terbentuk doh kasar yang separa elastik.
  3. Masukkan mentega dan garam, uli sehingga doh elastik.
  4. Bulatkan doh, tutup mangkuk dengan cling wrap atau tuala lembap dan rehatkan selama 1 jam, atau sehingga doh mengembang 2 kali ganda.
  5. Siapkan inti. campurkan kacang pistachio cincang yang telah dipanggang, mentega lembut, gula perang, pes pistachio, serbuk kayu manis dan garam dalam sebuah mangkuk.  Gaul sebati dan ketepikan.
  6. Selepas doh mengembang (doh perlahan menganjal jika anda cucuk tengah doh dengan jari), tumbuk-tumbuk doh untuk keluarkan angin.
  7. Tabur tepung gandum secukupnya pada papan/mat pencanai dan canai doh berbentuk segiempat panjang secara melintang.  Canai doh agak nipis, anggaran 0.5 cm untuk mendapatkan gulungan yang lebih banyak. (Jika doh menganjal dan sukar dicanai, rehatkan doh sebentar kemudian canai semula).
  8. Ratakan inti di permukaan doh dengan sekata.
  9. Bahagikan doh menjadi 9 bahagian sama rata, anggaran 2 inci lebar dan potong menggunakan pemotong pizza. Selain cara ini, anda boleh gulungkan doh kemudian potong menggunakan benang/ pisau nipis yang tajam.
  10. Susunkan rolls dalam loyang 10x10 inci atau 11x11 inci yang telah dioles dengan mentega (boleh alas dengan kertas pembakar).  
  11. Tutup loyang dengan kain bersih/ plastik dan rehatkan 30-40 minit, sehingga rolls mengembang 1.5 kali ganda.
  12. 10 ke 15 minit sebelum masa rehat habis, panaskan ketuhar pada suhu 180℃.
  13. Bakar rolls pada suhu 180℃ selama 30-40 minit, api atas bawah sehingga bahagian atas keperangan dan agak garing, dan bahagian bawah dan tepi sedikit kecoklatan.
  14. Sementara rolls dibakar, bolehlah siapkan bahan topping.


PISTACHIO GANACHE :

  1. Double boil coklat compound putih, krim putar tenusu dan pes pistachio. Boleh juga microwave beberapa saat.
  2. Campurkan pistachio emulco dan kacau sebati.
  3. Masukkan ke dalam beg plastik piping setelah suam.


FROSTING KRIM KEJU :

  1. Di dalam mangkuk, whisk/ pukul krim keju dan mentega sebentar.
  2. Ayakkan gula icing ke dalam adunan, masukkan esen vanilla dan whisk/pukul sehingga berkrim, jangan pukul terlalu lama supaya krim keju tidak lembik.
  3. Tambahkan krim atau susu sehingga tekstur frosting lembut dah mudah disapu.


MENGHIAS CINNAMON ROLLS :

  1. Cinnamon rolls yang siap dibakar boleh dikeluarkan dari loyang dan sejukkan sebentar di atas redai (nak sejukkan dalam loyang sahaja pun boleh).
  2. Setelah rolls suam, sapukan frosting krim keju secara merata di atas rolls.
  3. Paipkan pistachio ganache dan tabur dengan pistachio cincang yang telah dipanggang.
  4. Siap untuk dihidangkan!





0 comments :

Post a Comment