Resepi Baked Cheese Tart Ala Hokkaido Cheese Tart

Thursday, April 30, 2020

Resepi Baked Cheese Tart Ala Hokkaido Cheese Tart






Siapa yang tak suka makan cheese tart versi yang satu ni?
Boleh dikatakan semua peminat cheese suka makan cheese tart ni kan.
Dekat sini yang paling popular ialah Hokkaido Cheese Tart.
Ada bermacam-macam perisa Hokkaido cheese tart, tapi yang original juga pilihan kami.
Kalau ada yang pernah merasa baked cheese tart dari Tokyo Secret, dulu Tokyo Secret ni ada di IPC Shopping Centre tapi sekarang dah pindah ke The Curve, cheese tart dari Tokyo Secret ni lebih lemak dan buttery terutamanya kulit tartnya.
Harganya pun lebih mahal berbanding harga tart di Hokkaido Cheese Tart.
Tapi sekali je kami beli lepas tu tak confident lagi nak beli disebabkan tak jumpa cop Halal. 😅

Baked cheese tart ni rasanya memang sangat mirip dengan cheese tart yang popular tu.
Apa yang penting ialah penggunaan dua jenis cheese yang berbeza - cream cheese dan mascarpone cheese.
Ada sesetengah resepi baked cheese tart yang menggunakan tiga jenis cheese - cream cheese, mascarpone cheese dan parmesan cheese.
Saya belum pernah cuba membuat baked cheese tart yang menggunakan parmesan cheese.
Mungkin untuk next experiment (selepas reda wabak Covid-19) ni, InsyaAllah akan cuba saya kongsikan resepinya.


Untuk resepi baked cheese tart ni, saya ada sediakan video tutorialnya di channel Youtube saya. 
Boleh tonton melalui link di bawah ni 👇




Sebelum ni saya pernah cuba membuat baked cheese tart ni menggunakan sukatan bahan-bahan dan cara penyediaan yang berbeza.
Saya pun pernah membuat baked cheese tart dengan hanya menggunakan yogurt dan cream cheese, tapi saya kurang berminat baked cheese tart versi ni sebab pada saya terlalu masam dengan tekstur cheese fillingnya yang kurang berkrim.

Secara umumnya, cara membuat kulit tart untuk baked cheese tart ni sama saja, campurkan tepung, gula halus (saya suka menggunakan gula icing), garam, kuning telur dan mentega.
Gaul sebati sehingga tak melekat di tangan.
Tak perlu uli terlalu lama kerana takut kulit tart akan mengecut bila dibakar akibat pembentukan gluten sewaktu proses menguli doh.
Kebanyakan resepi menggalakkan penggunaan mentega yang sejuk untuk mendapatkan kulit tart yang rangup dan berkeping (flaky crust).
Saya cadangkan anda sejukkan dahulu mentega yang nak digunakan kalau anda pakai pure butter.
Pure butter mengandungi peratusan lemak yang lebih tinggi berbanding marjerin atau Buttercup yang tak perlu disimpan dalam peti sejuk tu.
Pure butter juga lebih sensitif terhadap suhu, pure butter akan lembik pada suhu bilik (bergantung juga pada iklim di kawasan anda tinggal), jadi kalau menggunakan pue butter, pastikan butter yang digunakan dan doh berada dalam keadaan agak dingin untuk mengelakkan kita dari perlu menambah banyak tepung kerana doh terlalu lembik.

Jom semak resepi.


BAKED CHEESE TART ALA-ALA HAKKAIDO CHEESE TART

Kategori : Tart
Menghasilkan : 15 biji tart


Bahan-bahan Untuk Kulit Tart:


100 gram mentega - sedikit dingin kalau menggunakan pure butter
50 gram gula icing/gula pasir dikisar halus
1 biji kuning telur
sedikit garam halus
200 gram tepung gandum
1-2 sudu besar susu segar


Cara Penyediaan:


Ayak tepung gandum dan gula ising ke dalam mangkuk pengadun.  Masukkan garam halus dan gaul rata menggunakan spatula, senduk kayu atau tangan.

Masukkan mentega dan ramas hingga menjadi serbuk doh.  Masukkan kuning telur dan susu segar (mulakan dengan menambah 1 sudu susu segar terlebih dahulu) dan uli hingga membentuk doh. (tak perlu uli terlalu lama, cukup sekadar hingga kesemua bahan sebati dan doh tak melekat di tangan).

Bungkus doh dalam cling wrap atau ziploc bag dan simpan di dalam peti sejuk selama sekurang-kurangnya 30 minit hingga 1 jam hingga doh tidak terlalu lembik ketika dicanai.

Sementara itu, panaskan sebentar (dalam 10 minit) acuan tart (saya menggunakan acuan bersaiz 3 inci (diameter atas).  Biarkan acuan sejuk sebelum digunakan.

Selepas 30 minit/1 jam, keluarkan doh dari peti sejuk (biarkan sebentar di suhu bilik jika doh terlalu keras).  Tabur sedikit tepung di atas papan pencanai dan canai doh setebal 0.5 cm.  Terap doh menggunakan acuan bulat dan tekan di dalam acuan tart.  Kemaskan bahagian tepinya dan potong lebihan doh menggunakan pisau.  Kalau anda tak mempunyai acuan bulat, anda boleh ambil sedikit doh dan tekan ke dalam acuan tart menggunakan jari sahaja.  Pastikan anda tekan dengan sekata supaya ketebalan doh dalam setiap acuan sekata.  Kemudian trim di bahagian tepinya supaya kemas.

Cucuk di bahagian dasar tart menggunakan garfu untuk membuat lubang -lubang kecil supaya kulit tart tak menggelembung sewaktu dibakar.

Simpan tart sekejap di dalam freezer sementara menunggu ketuhar dipanaskan supaya doh tart tidak mengecut sewaktu dibakar.

Bakar kulit tart pada suhu 170℃ menggunakan api atas bawah, di rak paling bawah selama 20 hingga 30 minit, sehingga tart masak dan garing di bahagian bawahnya.

Biarkan kulit tart sejuk sekejap sebelum dikeluarkan dari acuannya.

Sementara itu boleh siapkan filling cheese tart.





Bahan-bahan Untuk Cheese Filling:

Untuk krim kastad:


2 biji kuning telur
60 gram gula pasir
20 gram/2 sudu besar tepung jagung
180 gram susu segar
sedikit garam
1 sudu besar jus lemon
1/2 sudu teh esen vanila
30 gram mentega

Bahan lain:

100 gram cream cheese - keluarkan dari peti sejuk 15 minit sebelum digunakan
125 gram mascarpone cheese - keluarkan dari peti sejuk 10 minit sebelum digunakan


Cara Penyediaan:


 Di dalam sebuah mangkuk, whisk kuning telur dan gula pasir hingga gula larut.  Kemudian masukkan tepung jagung dan kacau rata.

Masukkan susu segar, sedikit demi sedikit sambil mengacau supaya adunan tak berketul.  Tapis adunan ke dalam sauce pan atau periuk kecil.

Masak menggunakan api perlahan dan kacau selalu supaya kastad tak hangus.  Masukkan sedikit garam, esen vanila dan jus lemon dan masak kastad hingga pekat.

Padamkan api dan masukkan mentega.  Kacau sehingga kastad berkilat.  Pindahkan kastad ke dalam mangkuk, dan letakkan cling wrap di atas permukaan kastad supaya bahagian atasnya tak kering.  Sejukkan kastad selama 30 -40 minit di dalam peti sejuk.

Setelah kastad sejuk, campurkan kastad bersama cream cheese dan mascarpone cheese, whisk hingga sebati.  Kemudian tapis adunan cheese supaya adunan halus dan tak berketul.

Masukkan adunan cheese ke dalam beg piping dan simpan dalam peti sejuk selama 15 minit sebelum digunakan supaya tak terlalu lembik bila dipaip dalam kulit tart.


CARA MENGISI CHEESE FILLING KE DALAM KULIT TART:


Bahan yang diperlukan:


Kulit tart
Cheese filling
Sapuan kuning telur (campur sebiji kuning telur dengan 1 sudu besar air)



Panaskan ketuhar pada suhu 190℃.

Keluarkan kulit tart yang telah agak sejuk dari acuannya dan susun dalam dulang lain.  Saya galakkan untuk mengalas dulang pembakar yang hendak digunakan dengan baking paper atau parchment paper supaya tart tak melekat pada dulang selepas dibakar.

Paipkan cheese filling yang telah firm atau kental ke dalam kulit tart.  Jangan isi terlalu penuh, agak-agak supaya filling tak melimpah bila dibakar.

Glis bahagian atas tart dengan sapuan kuning telur.

Bakar menggunakan rak tengah, api atas bawah pada suhu 190℃ untuk 8-10 minit pertama, kemudian pindahkan ke rak atas dan bakar semula pada suhu 220℃, api atas dan gunakan  fan mode selama 5 minit, untuk mendapatkan warna gelap di bahagian atas tart.

Keluarkan tart yang telah masak dan biarkan sejuk sebentar di atas dulang pembakar, kemudian sejukkan tart di atas redai.

Simpan baki tart di dalam bekas kedap udara.





#TIPS #

👉 Untuk mengelakkan kulit tart dari menggelembung sewaktu dibakar, selain dari mencucuk di bahagian dasarnya, anda boleh juga meletakkan paper cup di atas kulit tart dan isikan dengan beras atau tart stone.  Keluarkan paper cup selepas 15 minit pertama dan bakar semula kulit tart sehingga masak.





0 comments :

Post a Comment