Resepi Biskut Arab Susu Istimewa Lebaran
Inilah entri yang tertangguh yang sepatutnya saya publish sebelum Aidilfitri.
Tahun ni kita menyambut Ramadhan dan Aidilfitri dengan penuh cabaran.
Bila keluar rumah untuk membeli barang dapur, rasa panik dan anxiety saya pun meningkat je bila tengok semua orang pun pakai mask. Padahal kita dah harungi semua ni sejak bulan Mac lagi.
Lepas tu badan pun ambik masa nak relax dan recover balik, tu yang tak sempat nak luangkan masa mengupdate blog.
InsyaAllah, selepas ni walaupun jauh lagi nak sampai ke Aidilfitri tahun hadapan saya akan kongsikan lebih banyak resepi biskut yang dah tesenarai dalam list-to-do saya.
Biskut Arab susu ni sememangnya sangat popular sejak dulu lagi.
Ada juga yang panggil biskut Arab ni sebagai biskut biskut suji.
Rasa lebih kurang sama je, bahan asasnya ialah minyak sapi.
Kalau ada tepung suji boleh tambah je dalam adunan biskut ni.
Kalau takde, pakai je tepung gandum dicampur sikit dengan tepung jagung.
Lepas tu bubuhlah susu tepung.
Kalau nak lebih berseri dan rasa lemak susu lagi, golekkan biskut yang dah masak tu ke dalam susu tepung yang dicampur dengan sedikit gula ising.
Untuk visual instructions, boleh tonton video cara-cara membuat biskut arab susu ni di channel Youtube saya melalui link di bawah ni 👇
Kunci keenakan biskut Arab ni sebenarnya terletak pada minyak sapi yang kita gunakan.
Sebaiknya pakai minyak sapi yang tulen untuk rasa yang lebih sedap.
Sejak dari dulu lagi saya memang pengguna setia minyak sapi jenama QBB.
Minyak sapi ni setakat ni paling sedap berbanding minyak sapi jenama lain.
Cuma harganya agak mahal dan sekarang ni jarang nampak kelibat minyak sapi QBB ni di pasaran.
Biskut Arab susu kali ni saya menggunakan minyak sapi berjenama Enrico's disebabkan susah betul nak cari minyak sapi jenama QBB.
Sebelum ni, saya pernah kongsikan resepi biskut Arab susu yang menggunakan minyak sapi bertin kecil, isi kandungannya 150 gram.
Boleh rujuk kat link ni untuk semak resepi biskut Arab susu yang tanpa gula ising untuk dohnya.
Resepi kali ni sedikit berbeza dengan resepi yang pernah saya kongsikan disebabkan saya letak sedikit gula ising di dalam adunannya dan kurangkan kuantiti gula ising untuk menyalut biskut selepas masak.
Dari segi teksturnya tak jauh beza, kedua-duanya pun sama-sama sedap.
Jom kita semak resepi.
BISKUT ARAB SUSU ISTIMEWA LEBARAN
Kategori : Molded Cookies, Biskut RayaMenghasilkan : Anggaran 75 keping
Bahan-bahan:
200 gram | 3/4 cawan + 2 sudu besar minyak sapi - suhu bilik
1/4 sudu teh garam halus
30 gram | 1/4 cawan gula ising - ayak dahulu
130 gram | 1 cawan susu tepung - ayak dahulu
30 gram | 1/4 cawan tepung jagung - ayak dahulu
250 gram | 2 cawan tepung gandum - ayak dahulu
Bahan Untuk Salut :
1/4 cawan susu tepung
1/8 cawan gula ising
Langkah-langkah:
Satukan minyak sapi bersama garam halus dan gula ising yang dah diayak. Kacau hingga gula larut menggunakan senduk kayu atau elektric mixer dengan kelajuan paling rendah sekadar untuk sebatikan adunan.
Campurkan susu tepung, tepung jagung dan tepung gandum dan gaul hingga adunan boleh dibentuk menjadi doh. Tak mengapa kalau doh sedikit lembik asalkan dah tak melekat di tangan.
Bulat-bulatkan doh menjadi bebola kecil dan susun atas dulang pembakar yang dah dialas dengan baking paper atau diglis dengan mentega supaya biskut tak melekat pada dulang setelah masak. Jarakkan dalam 1.5 cm antara biskut untuk memberi ruang biskut mengembang sewaktu sedang dibakar.
Bakar biskut pada suhu 180ºC selama 15 hingga 20 minit, menggunakan tak tengah dan api atas bawah hingga biskut sedikit kecoklatan di bahagian bawahnya. Sebelum membakar biskut, pastikan ketuhar telah dipanaskan selama 5 minit.
Bila biskut dah masak, sejukkan biskut sebentar. Boleh biarkan saja biskut sejuk di dalam loyang pembakar atau boleh juga disusun atas redai.
Sementara itu, satukan bahan untuk menyalut biskut ke dalam sebuah mangkuk. Setelah biskut sejuk sedikit (suam), golekkan biskut ke dalam bahan salut kemudian biarkan biskut sejuk baru simpan di dalam bekas kedap udara. Boleh juga kalau nak masukkan biskut ke dalam kertas cawan kecil sebagai hiasan.
#TIPS:
Kalau takde gula ising boleh ganti dengan gula pasir yang dikisar halus.
Pastikan biskut dalam keadaan suam sebelum menyalut dengan gula ising dan susu tepung untuk mengelakkan gula ising dari mencair.
0 comments :
Post a Comment