Resepi Double Happiness Chocolate Chips Cookies | Triple Chocolate Chips

Friday, May 29, 2020

Resepi Double Happiness Chocolate Chips Cookies | Triple Chocolate Chips




Biskut cip coklat sememangnya sangatlah popular dan sangat digemari bukan saja di kalangan budak-budak, orang dewasa pun ketagih biskut yang satu ni.
Biskut ni asalnya diinspirasikan oleh pengusaha biskut cip coklat terkemuka iaitu Famous Amos yang membuka kedai pertamanya di Amerika pada tahun 1975.

Biskut cip coklat merupakan sejenis drop cookies, iaitu cookies yang tak memerlukan penerap biskut untuk membentuknya.
Doh untuk biskut cip coklat kebiasaannya sedikit lembik yang boleh diceduk menggunakan ice cream scoop atau pun sudu dan susun biskut di atas loyang pembakar.
Drop cookies mempunyai bentuk yang tak sekata disebabkan ianya tidak di "hand-shaped" mahupun diterap menggunakan acuan biskut.
Untuk info lengkap tentang drop cookies, boleh semak di entri saya berkenaan drop cookies melalui link ni :  Info Drop Cookies



Biskut cip coklat telah dipelbagaikan perisa  dengan menggunakan kekacang, coklat, perisa dan juga pewarna untuk mempelbagaikan variasa biskut ni.
Saya tetap peminat setia biskut cip coklat yang original dan yang mengandungi extra coklat iaitu double atau triple cip coklat.

Hampir setiap tahun setiap kali musim perayaan Aidilfitri dan Tahun Baru Cina, saya akan menerima tempahan biskut double chocolate chips cookies yang menjadi kegemaran pelanggan-pelanggan tetap saya kerana rasanya yang mewah dengan coklat dan sedikit pahit dan sangat rangup.
Tahun ni je tak dapat ambil tempahan disebabkan agak sukar nak keluar untuk membeli barang baking.
Dengan penjarakan sosial dan orang yang sentiasa beratur panjang menjadikan saya semakin malas nak ke kedai.  Hihi..
Takpelah, tahun ni rehat dari berniaga dan fokus untuk berkongsi resepi saja.

Biskut cip coklat kali ni saya olah sedikit dengan menambah potongan dark chocolate compound dan juga coklat masakan sebagai hiasan kepada biskut ni.
Sebab tu lah namanya jadi double happiness chocolate chips cookies.
Kegembiraan yang berganda-ganda tatkala mengunyah biskut yang sangat mewah dengan rasa coklat, tentunya biskut cip coklat ni akan menjadi kegemaran para penggemar coklat di luar sana!

Biskut cip coklat ni saya gunakan campuran antara mentega dan minyak jagung untuk komponen lemaknya.
Minyak sayuran atau minyak jagung berkeadaan cecair pada suhu bilik, ini membantu biskut untuk mengekalkan bentuknya dan tidak terlalu mengembang sewaktu sedang dibakar.
Walau bagaimanapun, sama ada biskut cip coklat anda akan terlalu mengembang atau leper bergantung juga pada kandungan cecair dalam doh biskut dan juga suhu doh biskut sebelum dibakar.
Sebaiknya doh biskut yang telah siap disusun dalam dulang pembakar dimasukkan ke dalam peti sejuk atau freezer sehingga doh biskut beku atau sejuk.
Kemudian terus bakar.
Tujuannya ialah untuk memejalkan lemak (mentega) di dalam doh biskut supaya lambat cair sewaktu dibakar.
Jadi, biskut kurang mengembang dan meleper.

Tonton video yang saya sertakan linknya di bawah ni untuk visual instructions:



Biskut cip coklat ni sangat sesuai dijadikan kudapan, tak semestinya kena tunggu raya baru buat.
Untuk kekacang, selain daripada badam cincang, anda boleh ganti dengan kacang gajus, Hazelnut, Walnut ataupun Macadamia.

Seperti yang kita tahu, biskut cip coklat ni selain mempunyai pelbagai perisa dan warna, ianya juga mempunyai tekstur sama ada chewy atau gooey dan juga rangup.
Macam mana nak dapatkan biskut cip coklat yang chewy atau rangup?
Ada beberapa faktor yang akan menentukan sama ada biskut kita akan jadi chewy atau rangup.
Antaranya ialah jenis gula yang digunakan dan juga tempoh dan suhu yang digunakan sewaktu membakar biskut.
Biasanya biskut cip coklat dibuat menggunakan dua jenis gula yang nisbahnya sama banyak iaitu gula perang dan gula pasir.
Gula pasir akan membuatkan biskut cip coklat rangup kerana kebolehannya untuk menyerap kelembapan pada doh biskut dan juga menjadikan biskut lebih perang dengan caramelizing effect.
Sementara gula perang pula membuatkan biskut cip coklat chewy kerana kandungan molasses pada gula perang yang memberikan kelembapan pada biskut.



Untuk mendapatkan biskut cip coklat yang rangup di luar lembut dan chewy di dalam, bakar biskut pada suhu 180ºC selama 12 hingga 15 minit.
Sementara untuk biskut cip coklat yang lebih rangup, ada dua kaedah - yang pertama, bakar pada suhu lebih rendah, sekitar 160ºC hingga 170ºC selama 20 hingga 30 minit, bergantung pada ketuhar masing-masing.
Manakala cara kedua ialah biarkan biskut sedikit overbaked (biasanya saya pakai cara ni).
Bakar biskut pada suhu 175ºC hingga 180ºC selama 20 hingga 25 minit.
Hasilnya, biskut bukan saja rangup, malah lebih sedap.

Apa pun caranya, bergantung pada citarasa masing-masing.
InsyaAllah, lepas ni kalau ada kesempatan, saya akan cuba buat perbandingan untuk hasil biskut yang menggunakan menggunakan bahan-bahan yang berbeza tapi dalam kategori sama.
Contohnya, biskut cip coklat yang menggunakan mentega tulen, marjerin, shortening ataupun minyak sayuran.
Kesemua bahan di atas berada dalam kategori lemak.
Jadi, stay tune untuk entri berikutnya supaya tak terlepas info ni. 😁




DOUBLE HAPPINESS CHOCOLATE CHIPS COOKIES


Kategori : Drop Cookies, Biskut Raya
Jumlah Biskut : Anggaran 80 keping


Bahan-bahan:


125 gram  | 1/2 cawan mentega bergaram - suhu bilik/ dilembutkan hingga boleh ditekan dengan jari
50 gram   | 1/4 cawan gula kastor @ gula pasir yang dikisar halus
70 gram   | 1/3 cawan gula perang
45 gram   | 1/4 cawan minyak jagung
1 biji telur Gred B
1 sudu teh esen Vanila
1 sudu besar serbuk badam  - optional
1 sudu besar susu segar
60 gram   | 1/2 cawan tepung jagung - ayak
190 gram   | 1 1/2 cawan tepung gandum  - ayak
1 1/2 sudu besar serbuk koko - ayak
1/2 sudu teh baking soda - ayak
40 gram   | 1/4 cawan badam cincang (bakar pada suhu 160°C hingga sedikit keperangan/ sangai)
90 gram   | 1/2 cawan cip coklat

Hiasan:


Dark chocolate compound - potong kiub
Anggaran 60 gram coklat masakan


Cara Membuat:


Di dalam sebuah mangkuk, satukan mentega, gula kastor / gula pasir dikisar halus, gula perang dan minyak jagung.  Kacau menggunakan senduk kayu hingga sebati, tidak perlu hingga kembang.  Kalau nak pakai electric mixer, gunakan kelajuan paling rendah.
Pecahkan sebiji telur ke dalam adunan, masukkan esen Vanila dan serbuk badam dan kacau sebati.
Ayak bersama bahan kering (tepung jagung, tepung gandum, serbuk koko dan baking soda) dan masukkan ke dalam adunan. Kacau sebati.
Akhir sekali, masukkan badam cincang yang telah dibakar/disangai dan cip coklat.  Kaup balik adunan hingga rata kesemuanya.  Adunan memang sedikit lembik.

Dengan menggunakan sudu kecil, sudukan doh biskut dan susun di atas loyang yang telah dialas dengan baking paper atau diglis dengan mentega supaya biskut tak melekat pada loyang setelah dibakar.  Jarakkan 2 cm antara biskut untuk memberi ruang biskut mengembang sewaktu dibakar.



Potong dark chocolate compound secukupnya (pastikan chocolate compound berada di suhu bilik supaya tak pecah bila dipotong) dan hiaskan atas doh biskut.  Tekan sedikit ke dalam doh biskut supaya melekat.



Setelah siap semuanya, rehatkan doh biskut di dalam freezer atau peti sejuk untuk membekukan lemak dalam doh biskut supaya biskut tak terlalu mengembang dan meleper sewaktu dibakar.  Rehatkan dalam 10 ke 15 minit kalau dalam freezer atau 1 jam kalau di dalam peti sejuk.  

Panaskan ketuhar pada suhu 175°C selama 5 minit.  Selepas 5 minit, keluarkan doh biskut dari peti sejuk/ freezer dan terus bakar selama 18 hingga 25 minit, hingga biskut masak menggunakan rak tengah.

Selepas biskut masak, keluarkan dari ketuhar dan biarkan biskut sejuk sebentar (hingga boleh dipegang dengan tangan) dan susun biskut di atas loyang yang telah dialas dengan plastik.  (Kita akan hias dengan coklat masakan pula).



Cairkan coklat masak menggunakan microwave atau menggunakan kaedah double-boiled.  Setelah cair, biarkan coklat masakan sejuk sebentar kemudian masukkan ke dalam beg piping.  Paipkan coklat masakan di atas biskut.  Masukkan biskut ke dalam peti sejuk hingga coklat masakan keras.



Simpan biskut di dalam bekas kedap udara selepas biskut sejuk.



0 comments :

Post a Comment