Resepi Kuih Lapis Jagung Coklat

Friday, May 8, 2020

Resepi Kuih Lapis Jagung Coklat




Kuih lapis sememangnya antara kuih paling laris kalau dijual di gerai kuih-muih.
Warna asli kuih lapis ialah merah dan putih, ada sesetengah kuih lapis dibubuh perisa Ros selain menambah pewarna merah untuk membuat lapisan merah pada kuih lapis ni, tapi ada juga yang hanya membubuh pewarna merah saja tanpa menambah sebarang perisa.

Sekarang  kuih lapis telah dimodenkan dengan bermacam-macam perisa dan warna untuk menjadikan kuih lapis lebih menarik.
Resepi kali ni saya akan kongsikan cara-cara saya menyediakan kuih lapis dengan perisa jagung dan coklat.
Kebetulan di rumah kami ada esen jagung, lebihan dari membuat kuih bakar jagung dan juga serbuk koko yang masih banyak.
Memandangkan sekarang kita masih di fasa PKP, saya terpaksa memakai apa saja bahan yang ada di rumah untuk membuat kuih muih dan biskut.
Nasib baik saya tak buka tempahan awal untuk biskut raya tahun ni, kalau tak menimbunlah  barang-barang baking di rumah kami nanti.

Untuk menonton video cara membuat kuih lapis jagung coklat, boleh tonton menerusi pautan video di bawah ni 👇👇



Kuih lapis jagung coklat ni saya olah supaya tak terlalu manis, rasa manisnya sedang-sedang je supaya mak-mak pun boleh makan.  Hihi..
Bagi yang takde esen jagung tu, bubuh je pewarna kuning untuk membuat lapisan kuning. 
Rasanya tetap akan sedap asalkan santannya cukup.
Gula kurangkan takpe, tapi santan perlu pekat supaya kuih lapis kita cukup rasa lemaknya.

Untuk membuat kuih lapis jagung coklat ni, saya pakai tepung beras dan tepung ubi, jadi tekstur kuih lapis akan kenyal sedikit.
Kalau nak ikutkan, cara paling senang supaya kuih lapis mudah dikeluarkan dari loyang ialah dengan mengalas bahagian bawah dan tepi loyang dengan plastik.
Tapi plastik ni sebenarnya tak digalakkan untuk digunakan pada suhu tinggi kerana takut bahan kimia yang ada pada plastik boleh meresap ke dalam makanan sewaktu dimasak (chemical leaching).
Saya lapik bahagian bawah loyang dengan baking paper kemudian saya lenser bahagian tepi loyang dan bahagian atas baking paper yang saya lapik tu dengan minyak untuk elak kuih lapis dari melekat pada loyang.

Disebabkan keluarga kami kecil, saya membuat kuih lapis jagung coklat ni dengan menggunakan loyang segi empat tepat berukuran 8.5" X 4".
Kalau keluarga besar, boleh gunakan loyang 7"X 7" dan gandakan resepi di bawah ni.

Jom semak resepi dulu.



KUIH LAPIS JAGUNG COKLAT

Kategori : Kuih Melayu


Bahan-bahan:

1 1/2 cawan tepung beras | 150 gram
3/4 cawan tepung ubi | 80 gram
1 cawan gula pasir | 200 gram
1/4 sudu teh garam halus
3 cawan santan |700 ml (saya pakai 1 kotak kecil santan (200ml) dan tambahkan dengan air hingga cukup 3 cawan / 700 ml
Santan cair untuk tambah pada adunan jika adunan menjadi pekat


Untuk Lapisan Coklat:

2 sudu besar serbuk koko
4 sudu besar air suam 


Untuk Lapisan Jagung:

1 sudu teh perisa jagung
1/2 sudu teh pewarna kuning



Cara-cara:

Siapkan pengukus.  Lenser minyak pada loyang 8.5"X 4" dan alas dengan baking paper.

Di dalam mangkuk pengadun, campurkan tepung beras, tepung ubi, gula pasir dan garam halus.  Kacau sebati.

Masukkan setengah adunan santan dan kacau perlahan menggunakan senduk kayu (jangan pakai whisk supaya adunan kurang berbuih) hingga gula pasir larut.  Kemudian tuang baki santan dan kacau rata.

Tapis adunan dan bahagikan adunan kepada dua bahagian. 

Untuk lapisan coklat, campurkan serbuk koko dengan air suam dan kacau hingga serbuk koko larut dan tak berketul. Tambah dalam 1 1/2 senduk adunan santan dari bahagian coklat sedikit demi sedikit ke dalam mangkuk berisi coklat tadi dan kacau sebati.  Kemudian, tapis bancuhan koko ke dalam adunan santan untuk bahagian coklat dan kacau  perlahan hingga semuanya sebati.

Untuk lapisan jagung, tambah esen jagung dan pewarna kuning ke dalam adunan santan untuk bahagian jagung.  Kacau perlahan hingga bercampur sebati.

Kalau banyak buih-buih timbul di permukaan adunan coklat dan jagung, kaup buih-buih tu menggunakan sudu supaya permukaan kuih lapis licin.


Cara Mengukus:

Bila air kukusan telah mendidih, masukkan loyang yang telah dilenser minyak tadi.

Tuang 1 senduk adunan jagung untuk membuat lapisan pertama.  Kacau sebentar adunan sebelum dituang ke dalam loyang.  Tutup pengukus dan kukus selama 3 hingga 4 minit dengan api sederhana.  Pastikan penutup loyang dibalut dengan kain untuk mengelakkan wap air menitik di permukaan kuih lapis.

Bila lapisan jagung telah mengeras, tuang lapisan coklat untuk membuat lapisan kedua.  Kacau dulu adunan baru tuang ke dalam loyang, tutup dan kukus lagi selama 2 hingga 3 minit hingga lapisan coklat keras.

Tambah air panas pada kukusan supaya airnya tak kering masa mengukus.  Bila adunan jagung dan coklat dah tingga separuh, tambah sedikit santan cair kalau adunan agak pekat kerana tepung beras akan mengembang.

Ulangi proses melapis hingga selesai. 

Selepas melapis lapisan terakhir, kecilkan api dan kukus selama 1 jam supaya kek lapis tanak dan tak mudah basi.  Setelah 1 jam, buka penutup pengukus dan biarkan selama 5 minit untuk keringkan permukaan kuih.  Bila permukaan kuih lapis dah kering boleh padamkan api.

Keluarkan loyang dari pengukus dan biarkan kuih betul-betul sejuk baru keluarkan dari loyang.

Untuk keluarkan kuih dari loyang, lenser pisau potong kuih atau pisau kecil dengan sedikit minyak, kemudian lalukan di bahagian tepi loyang untuk merenggangkan kuih lapis dari loyang.  Terbalikkan kuih lapis di atas papan kek atau pinggan yang lebar dan ketuk-ketuk sikit bahagian bawah loyang supaya kuih lapis mudah dikeluarkan.

Potong kuih lapis mengikut saiz yang dikehendaki.  Sedia dinikmati!




0 comments :

Post a Comment