Resepi Biskut Nestum Coklat Rangup dan Mudah Tanpa Telur

Friday, June 5, 2020

Resepi Biskut Nestum Coklat Rangup dan Mudah Tanpa Telur




Setiap kali tibanya musim perayaan, mesti ada dua ke tiga resepi biskut yang berasaskan coklat yang akan saya olah supaya biskut coklat saya mempunyai pelbagai rasa dengan bentuk yang berbeza.
Bahan asas untuk membuat biskut kebanyakannya hampir sama, cuma perlu sesuaikan sukatan setiap bahan supaya memenuhi citarasa.
Itu sebabnya pada saya mengolah resepi biskut lebih senang berbanding mengolah resepi kek, terutamanya jenis kek yang lebih teknikal pada saya macam kek chiffon dan kek span.
Kek ni kalau dah silap teknik dan sukatan bahan, semua akan spoil.
Tak boleh nak fix lagi.
Tak macam biskut.
Kalau terlembik boleh tambah tepung, kalau terkeras boleh tambahkan mentega, susu atau telur hingga doh biskut lembut semula.

Resepi biskut bertemakan coklat untuk entri ni ialah biskut nestum coklat.
Sebelum PKP di implement bulan Mac lepas, kami dah beli stok barang-barang baking siap-siap macam mentega, tepung, gula, coklat compound, coklat chip dan bijirin macam Nestum dan rolled oats.
Simpan je semua barang baking ni dalam peti sejuk, tahan berbulan-bulan.



Dah lima kali saya buat biskut nestum coklat ni sejak sebelum raya lagi.
Memang sedap untuk dibuat kudapan sambil layan drama online.  Hihi..
Kami ada habit suka simpan biskut di dalam peti sejuk.
Asalnya punca kami simpan simpan balang-balang berisi biskut dalam peti sejuk ni ialah disebabkan semut-semut halus yang suka "menyerang" biskut-biskut ni.  
Walaupun dah bertutup rapat, tetap je semut ni boleh masuk dalam balang tu.
Jadi, terpaksalah sumbat semua balang biskut ni dalam peti sejuk untuk elak dari "serangan" semut-semut ni.
Tapi tak sangka pula bila kami masukkan biskut dalam peti sejuk, biskut jadi lebih rangup dan sedap!
Tak caya boleh cuba sendiri.  Hehe..

Biskut nestum coklat ni dua kali saya upload videonya di channel Youtube saya.
Pertama kali saya upload dengan sukatan gram saja, sebab sejujurnya sebelum ni dah bertahun-tahun setiap kali membaking biskut atau kek, saya lebih suka menggunakan sukatan gram berbanding menggunakan sukatan cawan, sebab pada saya lebih mudah nak mengolah resepi biskut dan kek kalau pakai sukatan gram.
Sebab kalau pakai cawan, kena tengok jenis bahan yang kita sukat.
Secawan mentega tak sama beratnya dengan secawan gula.
Cornflakes yang belum dikisar dan yang dah dikisar halus beratnya tak sama walaupun sukatannya masing-masing secawan.
Secawan cornflakes yang belum dikisar lebih ringan berbanding secawan cornflakes yang dah dikisar.
Lebih kurang macam tu la..


Tonton video di channel Youtube saya di bawah ni untuk menonton cara membuat biskut nestum coklat versi pertama 👇



Kali kedua saya remake biskut nestum coklat ni saya olah menggunakan sukatan cawan pula disebabkan ada viewer yang request untuk dapatkan resepi biskut ni dalam sukatan cawan.
Saya tak dapat sukatan yang tepat kalau saya direct convert dari resepi biskut nestum coklat saya yang menggunakan versi gram saja tu.
Alhamdulillah, kedua-dua versi menjadi, tapi pada saya biskut yang saya olah kali kedua ni sukatan bahan-bahannya lebih seimbang.

Video di bawah ni ialah visual instructions untuk resepi biskut nestum coklat sukatan cawan, bagi yang takde penimbang kat rumah 😅😅



Jadi, saya akan kongsikan resepi biskut nestum coklat dengan sukatan cawan dan gram untuk entri ni.


BISKUT NESTUM COKLAT TANPA TELUR


Kategori: Molded Cookies, Biskut Raya
Kuantiti Biskut : Anggaran 39 keping (bergantung pada bentuk biskut)


Bahan-bahan:


1/2 cawan (111 gram) mentega bergaram - suhu bilik
1/4 cawan (50 gram) gula pasir halus/gula kastor - ksiar supaya lebih halus
3 sudu besar (54 gram) susu pekat manis
1/2 sudu teh esen vanila
1 sudu besar serbuk badam - optional
1/2 cawan (32 gram) Nestum yang belum dikisar - kisar halus
3/4 cawan (43 gram) cornflakes yang belum dikisar - kisar halus
1/4 cawan (30 gram) tepung jagung
2 sudu besar (12 gram) serbuk koko
1/2 sudu teh baking powder
1/2 cawan + 2 sudu besar (84 gram) tepung gandum

Bahan Hiasan:


Nestum secukupnya untuk menyalut 


Cara-cara: 

  1. Di dalam mangkuk pengadun, masukkan mentega, gula pasir/gula kastor yang dikisar halus dan susu pekat manis.  Whisk atau putar adunan menggunakan electric mixer hingga adunan pucat dan ringan.
  2. Masukkan esen vanila, serbuk badam, Nestum dan cornflakes yang dikisar halus, gaul sebati.
  3. Ayakkan tepung jagung bersama serbuk koko, baking powder dan tepung gandum ke dalam adunan biskut dan gaul hingga membentuk doh yang tak melekat di tangan.  Tambah sedikit tepung jika doh masih melekat.
  4. Bentukkan biskut mengikut bentuk yang disukai (bulat atau bujur) kemudian salutkan doh biskut dengan Nestum.
  5. Susun di atas dulang pembakar yang telah dialas dengan baking paper atau diglis dengan mentega.  Jarakkan lebih kurang1 inci antara biskut untuk memberi ruang biskut mengembang bila dibakar.
  6. Bakar pada suhu 180℃ dalam ketuhar yang telah dipanaskan terlebih dahulu selama 5 minit selama 18 hingga 25 minit, menggunakan api atas bawah di rak tengah.
  7. Sejukkan biskut sebelum disimpan di dalam bekas kedap udara.


0 comments :

Post a Comment