Resepi Roti Burger Lembut & Gebu Tanpa Mixer

Wednesday, June 10, 2020

Resepi Roti Burger Lembut & Gebu Tanpa Mixer




Sejak aktif ber"Youtube" ni, saya banyak belajar cara-cara menguli doh roti menggunakan tangan di Youtube channel yang lain.
Kalau sebelum ni, saya suka pakai bread maker atau stand mixer untuk membuat doh.
Bila dah terlalu bergantung dengan mesin, kita tak kisah pun nak belajar teknik menguli yang betul.

Sebelum beli mesin untuk tolong saya menguli doh dulu, pernah jugak saya uli sendiri pakai tangan, tapi kekok dan tak pandai nak handle doh yang melekit tu.
Sejak tu, memang tak pernah langsung buat roti lagi sebab teksturnya tak lembut dan gebu sebab tak cukup uli.

Sebenarnya, menguli doh roti ni tak susah mana pun, cuma perlukan teknik yang betul je supaya jaringan gluten terbentuk, menjadikan roti ni pejal, chewy dan gebu.
Kalau ada sesiapa yang rasa nak buat senaman tangan tu, lepas ni tolak tepi mesin penguli dan uli doh roti ni pakai tangan yea.  Hihi..
Bagi tangan tu biasa pegang doh.
Sejak saya sibuk belajar menguli pakai tangan ni, Mr Hubby pun dah excited nak join sekali.
Dia pulak memang "hantu" roti, suka sangat makan roti terutama roti yang ada fillingnya.


Untuk menonton video cara-cara membuat roti burger ini boleh tonton di video yang saya sertakan linknya di bawah ni 👇




Kali ni saya nak kongsikan cara-cara membuat sendiri roti burger di rumah yang mudah, gebu gebas dan lembut ni tanpa menggunakan mixer atau pun pencetak roti burger.
Lepas ni, anda boleh buat sendiri je roti burger, tak payah beli yang dah siap jual di kedai tu.
Lagi sedap dan tanpa bahan pengawet.

Bagi sesiapa yang memang minat nak buat roti atau bun sendiri di rumah, saya cadangkan belilah tepung yang khas untuk membuat roti, iaitu tepung high protein atau orang panggil sebagai tepung roti.
Tepung high protein ni dia tak sama dengan tepung gandum biasa.
Tekstur tepung high protein lebih ringan dan kandungan protein pun lebih tinggi dari tepung gandum.
Gluten adalah sejenis protein yang wujud dalam produk berasaskan gandum.
Kebanyakan tepung mempunyai gluten.
Gluten membantu menganjal, mengukuh dan menguatkan struktur roti dan produk-produk baking yang lain bila gluten berinteraksi dengan air dan diuli.

Untuk resepi roti burger kali ni, saya campurkan antara tepung gandum dengan tepung high protein.
Tepung high protein ni ringan dan agak kurang rasa, sebab tu saya campurkan dengan tepung gandum supaya tekstur roti tidak terlalu ringan macam makan kapas.
Kalau anda ada acuan loyang untuk roti burger, boleh pakai supaya roti burger akan naik cantik ke atas dan tak melebar ke tepi sewaktu dibakar.
Saya takde acuan roti burger ni, InsyaAllah kalau ada kesempatan nanti kami nak beli jugak sebab suka sangat buat roti burger sendiri di rumah.
Kalau buat sendiri roti burger, boleh tabur bijan banyak sikit kat atas roti tu.  Hihi.. 


ROTI BURGER LEMBUT & GEBU


Kategori: Bun
Menghasilkan : 9 ke 10 biji


Bahan-bahan:


2 cawan tepung high protein   | 250 gram
1 1/2 cawan tepung gandum   | 180 gram
1 sudu besar yis kering   | 8.5 gram
1 sudu teh garam halus   | 6 gram
1/4 cawan gula pasir   | 50 gram
1 sudu besar minyak sayuran/minyak masak   | 13.6 gram
2 sudu besar mentega/marjerin   | 28.4 gram
1 cawan + 1 sudu besar susu segar / air
1 biji telur Gred A

Bahan Hiasan:


Putih telur 
Sedikit air
Bijan putih secukupnya


Cara Membuat:
 


Langkah 1 : Mengadun Doh Roti


Cairkan mentega menggunakan microwave atau panaskan di atas dapur hingga cair.  Biarkan sejuk sebentar.
Panaskan susu segar menggunakan microwave atau panaskan di atas dapur.  Jangan sampai mendidih. Cukup sekadar takat suam (dalam 60℃ hingga 70℃).
Pecahkan sebiji telur dan asingkan sedikit putih telur untuk glis roti burger.
Di dalam mangkuk pengadun, campurkan bahan kering (tepung high protein, tepung gandum, gula pasir, garam halus dan yis kering).  Kacau sebati menggunakan spatula atau tangan.
Buatkan lubang di tengah adunan tepung, tuang susu suam, mentega cair, minyak dan telur.
Gau hingga terbentuk doh.


Langkah 2: Menguli Doh Roti


Tabur sedikit tepung gandum di atas papan pencanai.  
Pindahkan doh roti ke papan pencanai.
Uli hingga doh elastik dan licin permukaannya, kira-kira 10 ke 12 minit.  


Langkah 3 : Proofing Kali Pertama


Setelah doh selesai diuli, tabur sedikit tepung atau boleh juga kalau nak lenser dengan minyak mangkuk pengadun tadi dan masukkan doh roti ke dalamnya.
Tutup mangkuk pengadun dengan cling wrap atau tuala bersih.
Biarkan doh rehat selama 1 hingga 2 jam (bergantung kepada cuaca).  Rehatkan doh di tempat yang agak panas supaya cepat mengembang.
Doh yang sudah cukup mengembang saiznya akan mengembang sebanyak dua kali ganda.




Langkah 4 : Bentukkan Doh Roti


Setelah doh mengembang, tumbuk-tumbuk doh dan uli beberapa minit untuk mengeluarkan angin di dalam doh.
Bahagikan doh kepada 9 atau 10 bahagian dan bualt-bulatkan setiap doh.
Susun di atas dulang yang dlenser mentega atau dialas dengan baking paper atau silicone mat supaya roti tak melekat pada dulang pembakar selepas dibakar.
Tinggalkan ruang yang banyak di antara doh roti untuk memberi ruang doh roti mengembang dan tak melekat antara satu sama lain.


Langkah 5 : Proofing Kali Kedua


Tutup loyang pembakar dengan plastik atau tuala bersih dan rehatkan lagi doh roti hingga mengembang dua kali ganda, kira-kira 1 jam.


Langkah 6 : Bakar Roti Burger


Panaskan ketuhar pada suhu 180℃ selama 10 minit.
Sementara itu, campurkan baki putih telur tadi dengan 1 sudu besar air.  Kacau hingga sebati.
Gliskan campuran putih telur di atas permukaan doh roti dan tabur dengan bijan putih kalau suka.
Bakar pada rak kedua dari bawah selama 15 minit pertama, kemudian pindahkan ke rak atas dan bakar hingga bahagian atas coklat keperangan.
Setelah dibakar, sejukkan roti burger dan sedia digunakan.






0 comments :

Post a Comment