Resepi Kek Pisang Badam Lembut dan Moist

Tuesday, June 2, 2020

Resepi Kek Pisang Badam Lembut dan Moist




Kali ni saya akan kongsikan salah satu kek yang menjadi kegemaran kami, iaitu kek pisang.
Saya pernah membuat beberapa entri untuk resepi kek pisang ni di blog masakan saya,  boleh rujuk di link di bawah ni 👇👇👇👇👇

CHOCOLATE BANANA SNACK CAKE:

CHOCOLATE BANANA MUFFIN:

KEK PISANG MOIST:

Kek pisang ni sangat versatile dan boleh diolah bukan saja dikukus, dijadikan kek span pisang, kek chiffon pisang, muffin dan kek cawan pisang, malah boleh divariasikan dengan menambah coklat dan kekacang untuk menambah keenakan rasa kek pisang ni.

Resepi kek pisang kali ni saya olah dengan menambah serbuk badam dan badam cincang yang ditabur di atas permukaan kek sebagai hiasan.

Tonton video tentang cara penyediaan kek pisang badam yang moist dan lembut ni di channel Youtube saya.  Klik video di bawah ni 👇👇👇👇👇



Biasanya, saya akan menggunakan pisang Cavendish atau pisang berangan untuk membuat kek pisang.
Kedua-dua jenis pisang ni bersaiz besar, jadi kalau anda gunakan pisang jenis lain yang saiznya lebih kecil, macam pisang mas, pisang awak dan pisang embun, boleh lebihkan sedikit kuantitinya supaya rasa kek lebih sedap.

Kek pisang ni saya olah supaya rasanya tak terlalu manis dengan mengurangkan sedikit kuantiti gula.
Selain menggunakan gula pasir, saya campurkan dengan gula perang supaya kek lebih lembap dengan rasa yang lebih sedap.
Saya suka menggunakan gula pasir halus atau gula kastor untuk membuat kek supaya gula mudah larut berbanding kalau menggunakan gula pasir kasar.

Saya suka kalau ada ketulan-ketulan kecil pisang yang tak hancur di dalam kek pisang saya.
Sebab tu, saya lebih suka lecek saja pisang yang saya gunakan untuk membuat kek dengan menggunakan garfu berbanding memasukkan kesemua bahan di dalam blender.
Resepi kek pisang moist yang saya kongsikan link nya di atas menggunakan kaedah blender sampai halus pisang bersama minyak, telur dan gula pasir.
Saya tak menggunakan ovalet untuk resepi kek pisang badam ni, namun hasilnya tetap juga lembut dan lembap kerana kuantiti pisang yang banyak dan juga penggunakan minyak sayuran yang melembapkan kek.

Saya tidak menggunakan pisang yang telah masak ranum (overripe) untuk resepi kek pisang ni, jadi kalau pisang yang anda gunakan tu dah overripe, rasanya akan lebih manis.
Bagi yang kurang suka kek yang terlalu manis, kalau gunakan pisang dah overripe, saya cadangkan untuk kurangkan sukatan gula perang menjadi 1/3 cawan saja.


KEK PISANG BADAM LEMBUT & MOIST


Kategori: Kek


Bahan-bahan:


3 ulas pisang bersaiz besar  | anggaran 500 gram pisang  |anggaran 1 3/4 cawan selepas dilecek
1/2 cawan gula perang   | 100 gram
1/4 cawan gula pasir halus/ gula kastor   | 50 gram
1/4 sudu teh garam halus
3 biji Gred A - suhu bilik
1/2 cawan minyak jagung / minyak sayuran   | 110 gram
3 sudu besar serbuk badam
1 sudu teh esen vanila
1 1/2 cawan tepung gandum   | 200 gram
1/2 sudu teh baking soda
1 1/2 sudu teh baking powder

Bahan Hiasan:

1 ulas pisang
Badam cincang secukupnya


Cara-cara:


  1. Lecek pisang hingga hancur di dalam sebuah mangkuk/bekas/pinggan dengan menggunakan garfu atau masher.  Tak mengapa kalau masih ada sedikit ketulan kecil pisang yang tak hancur.  Ketepikan.
  2. Di dalam mangkuk pengadun, pecahkan 3 biji telur Gred A, masukkan gula pasir halus, gula perang dan garam halus.  Whisk adunan hingga gula hancur.
  3. Masukkan pisang yang telah dilecek, esen vanila dan serbuk badam.  Kacau sebati.
  4. Ayak tepung gandum bersama baking powder dan baking soda kemudian masukkan ke dalam adunan pisang tadi.
  5. Kaup balik hingga kesemua bahan bercampur sebati.
  6. Sediakan loyang segi empat sama bersaiz 7.5" X 7.5", atau 7" X 7" untuk mendapatkan kek yang lebih tinggi.  Alas loyang dengan baking paper dan glis dengan mentega supaya mudah untuk dikeluarkan nanti.
  7. Untuk hiasan, hiris memanjang atau membulat 1 ulas pisang.
  8. Tuang adunan kek pisang ke dalam loyang yang telah disedikan dan hias dengan dengan hirisan pisang dan badam cincang.
  9. Bakar pada suhu 180℃ (356℉) dalam ketuhar yang telah dipanaskan selama 10 minit terlebih dahulu menggunakan api atas bawah dan pada rak paling bawah selama 45 minit hingga 1 jam.
  10. Jangan buka pintu ketuhar 30 minit pertama supaya kek tak turun di bahagian tengah.  Selepas 40 minit, uji jika kek telah masak dengan cara mencucuk di bahagian tengah kek menggunakan cake tester atau lidi pencucuk.  Jika cake tester atau lidi pencucuk licin bermakna kek telahpun masak.
  11. Keluarkan kek dari ketuhar dan biarkan sejuk sebentar (dalam 10 minit) di dalam loyang.
  12. Untuk mengeluarkan kek, gunakan pisau untuk merenggangkan bahagian tepi kek dari loyangnya (jika tak menggunakan baking paper) dan telangkupkan kek di atas redai.  Biarkan kek sejuk dalam 30 minit.  Kemudian, terbalikkan kek ke atas pinggan yang lebar atau papan kek.
  13. Potong mengikut saiz yang disukai dan hidangkan.



*TIPS:

Kek yang tak habis dimakan boleh dimasukkan ke dalam bekas kedap udara atau balut kek dengan aluminium foil bila kek telah betul-betul sejuk untuk mengelakkan kek dari cepat basi kerana kandungan pisang di dalam kek.

Simpan kek pisang di dalam peti sejuk supaya tahan lama, dan kek boleh dikukus, dibakar semula menggunakan suhu 150℃ (302℉) selama 15 minit, atau sehingga kek suam bila dipegang.  Selain itu, anda boleh juga menggunakan mixrowave untuk memanaskan kek supaya kek menjadi lembut semula.

Penggunakan kombinasi gula perang dan gula pasir adalah optional saja.  Kalau takde gula perang, anda boleh gunakan 100% gula pasir saja.  Kalau nak guna 100% gula perang pun boleh.

0 comments :

Post a Comment