Resepi Bun Tuna Keju | Tuna Cheese Buns

Saturday, July 18, 2020

Resepi Bun Tuna Keju | Tuna Cheese Buns




Dulu masa zaman belajar di kolej saya suka betul makan roti tuna yang dibeli di King's Bakery.
Kalau pada saya, kepingan tuna dalam tin ni paling sedap kalau digandingkan dengan mayonis, bawang besar yang dihiris atau dicincang, sedikit herba dan juga keju.
Saya suka beli kepingan tuna yang belum ditambah mayonis tu, sama ada kepingan tuna dalam air atau dalam minyak, sebab kita boleh perasakan dengan perasa pilihan kita dan rasanya pun akan lebih sedap.

Memang sebelum PKP lagi kami dah stok dua tin kepingan tuna dalam minyak yang saya beli di kedai menjual barangan sejuk beku berdekatan dengan CNI Klang, tapi dah berbulan simpan di dalam peti sejuk tak digunakan.
Kebetulan beberapa hari sebelum saya upload video resepi roti tuna keju ni, saya ternampak video roti tuna keju yang diupload oleh salah satu home baker kegemaran saya iaitu Ninik Becker.
Ninik Becker banyak memberi inspirasi pada saya dalam membuat pelbagai jenis roti.
Yang menariknya, Ninik buat roti hand-knead tau, tak pakai mesin pun.
Tu yang saya pun bersemangat nak belajar menguli doh pakai tangan.
Jadi, dipendekkan cerita, nampak roti tuna keju yang Ninik upload tu sedap sangat, tak sabar nak cuba buat!



Dari segi bentuk roti ni, saya ikut cara Ninik membentuk roti tuna kejunya sebab nampak menarik.
Sebenarnya, masa saya upload video roti tuna keju ni, itulah cubaan kali pertama saya.
Main buat je, sambil record video sekali.
Dalam hati, kalau tak jadi tak payahlah upload.
Tapi, Alhamdulillah..tak sangka pulak roti tuna keju ni menjadi, lembut dan Mr Hubby siap tapaw bawak pegi pejabat lagi esoknya.
Sedap sangat katanya!

Tonton video cara membuat roti tuna keju ni yang tleha saya upload di channel Youtube saya untuk visual instructions yea, tekan link di bawah ni 👇



Disebabkan saya suka buat resepi mengikut citarasa sendiri, saya ubah kuantiti dan kandungan bahan-bahan untuk roti tuna keju saya supaya tak copycat resepi roti tuna keju Ninik.
Untuk bentuknya, anda boleh design apa jua bentuk roti yang mudah bagi anda, asalkan rotinya gebu, lembut dan sedap!

Jom semak resepi.




BUN TUNA KEJU (TUNA CHEESE BUNS)


Kategori : Bun
Menghasilkan : 10 biji

Bahan-bahan:


3 cawan tepung roti (boleh ganti dengan tepung gandum kalau takde)  | 375 gram
3 sudu besar gula pasir  | 40 gram
2 1/2 sudu teh yis kering  | 7 gram
1/2 sudu teh garam  | 3 gram
1 biji telur
3 sudu besar mentega/marjerin - cairkan dan sejukkan  | 45 gram
1/2 cawan susu (suhu bilik)  | 125 ml
1/2 cawan - 2 sudu besar air suam  | 95 ml

Bahan Untuk Inti Bun:


1 tin kecil (125 gram) kepingan tuna dalam minyak/air
1/3 cawan kernel jagung - saya pakai yang frozen
1 sudu teh serbuk lada hitam
1 sudu teh kepingan cili (chili flakes)
1 sudu teh kepingan parsley
Garam secukup rasa
Parutan keju Mozarela secukupnya

Bahan Untuk Glis Bun:


1 biji kuning telur
1 hingga 2 sudu besar susu/air

Cara Penyediaan:


Di dalam mangkuk pengadun, satukan kesemua bahan kering (tepung, gula pasir, garam dan yis).  Kacau rata menggunakan senduk kayu atau spatula.  Buatkan lubang di bahagian tengah adunan kering.

Tuang susu, mentega atau marjerin yang telah dicairkan dan disejukkan dan sebiji telur.  Gaul rata.

Tuang air suam sedikit demi sedikit dan adun menggunakan tangan hingga terbentuk doh.  Doh akan sedikit melekit pada mulanya.

Pindahkan doh ke atas papan pencanai yang telah ditabur sedikit tepung dan uli hingga doh elastik dan licin, lebih kurang 10 minit.  Lenser mangkuk pengadun dengan sedikit minyak dan masukkan doh yang telah diuli ke dalamnya.  Tutup mangkuk dengan cling wrap atau tuala lembap dan diamkan selama 1 hingga 2 jam di tempat yang hangat hingga doh naik dua kali ganda. 

Sementara tu, sediakan inti untuk bun.  Tapis kepingan tuna untuk membuang lebihan air atau minyak.  Campur rata kesemua bahan untuk inti.  Ketepikan sehingga sedia digunakan.

Selepas doh naik dua kali ganda, keluarkan doh dari mangkuk dan tumbuk-tumbuk doh untuk mengeluarkan angin.  Bulatkan dan leperkan sedikti doh menggunakan tapak tangan dan bahagikan doh kepada 10 bahagian.  Bulat-bulatkan setiap bahagian doh, tutup dengan tuala lembap dan diamkan lagi selama 10 hingga 15 minit, supaya doh mudah dicanai dan tidak terlalu elastik.

Canai leper bebola doh membentuk bujur.  Kelar di kedua bahagian tepi doh menggunakan pemotong pizza atau pisau.  Sudukan inti tuna di bahagian tengahnya dan letak keju Mozarela secukupnya di atas inti.

Lipat doh secara bersilang dan kemaskan supaya inti tak terkeluar.

Susun doh bun yang telah siap di atas loyang pembakar yang telah diglis dengan mentega atau dialas dengan baking paper atau silicone mat.  Saya suka pakai silicone mat kalau buat bun.

Tutup doh bun dengan menggunakan plastik atau kain bersih dan diamkan selama 1 jam hingga doh naik dua kali ganda.

Panaskan ketuhar pada suhu 200℃ selama 5 minit.

Sediakan glis untuk bun dengan mencampurkan kuning telur bersama air atau susu.  Gliskan di atas permukaan bun dan tabur dengan kepingan parsley kalau suka.

Bakar bun selama 20 hingga 25 minit, menggunakan api atas bawah pada rak tengah sehingga bun berwarna keemasan.

Angkat dan sejukkan sebentar di atas redai.  Simpan di dalam bekas kedap udara setelah sejuk.



#TIPS UNTUK PANASKAN BUN#


Bun yang telah sejuk boleh disimpan dalam bekas kedap udara atau plastik dan masukkan ke dalam peti sejuk.  

Panaskan menggunakan ketuhar:

Untuk memanaskan bun, balut bun menggunakan cling wrap dan bakar selama 10 hingga 15 minit pada suhu 150℃, sehingga bun terasa hangat bila dipegang.

Panaskan menggunakan microwave:

Untuk memanaskan bun menggunakan microwave, susun bun di atas pinggan yang sesuai untuk microwave, tutup bun dengan tuala lembap, atau boleh juga letakkan 1 cawan kecil berisi air di atas pinggan dan microwavekan selama beberapa saat hingga bun terasa hangat bila dipegang.



0 comments :

Post a Comment