Resepi Kek Cawan Chiffon Lemon Dengan Inti Lemon CUrd Yang Gebu Ala Kek Hokkaido!

Monday, July 20, 2020

Resepi Kek Cawan Chiffon Lemon Dengan Inti Lemon CUrd Yang Gebu Ala Kek Hokkaido!




Pertama kali cubaan untuk membuat kek cawan chiffon yang menjadi dan sangat gebu!
Kek cawan chiffon ni saya olah berperisakan lemon dengan inti lemon curd yang sangat creamy.

Peminat kek chiffon bolehlah cuba membuat kek chiffon versi kek cawan ni kalau takde loyang kek chiffon tu.
Lebih mudah nak menghidang terutamanya kalau ada tetamu datang.
Kek ni sangat sesuai untuk hidangan minum petang, majlis hari jadi, jamuan dan untuk picnic terutamanya ketika cuaca panas.

Kami lebih suka makan kek ni ketika ianya dingin, syok sangat makan kek ni sampai tak perasan dah habis satu pinggan!  Hihi..

Seperti biasa, kek chiffon ni saya olah supaya tidak terlalu manis dan lemon curdnya saya lebihkan sedikit jus lemon supaya ada rasa masam-masam sikit.
Untuk lebih menarik, boleh ayakkan gula ising di atas kek ni sebelum paipkan inti.
Saya pakai nozel untuk isi inti yang panjang tu.
Tapi kalau takde, boleh cucuk bahagian tengah kek menggunakan chopstick atau gunting sedikit bahagian tengahnya dan paipkan inti ke dalam.
Adui, sambil tulis blog ni sambil telan air liur teringin nak makan kek ni lagi.
Selamat tinggal dietku!

Seperti biasa, untuk visual instructionsnya boleh tonton je video yang saya dah upload beberapa minggu lepas di channel saya melalui link di bawah ni 👇



Bagi yang suka resepi bertulis, boleh semak bahan-bahan dan cara penyediaan di bawah ni.



  

KEK CAWAN CHIFFON LEMON


Kategori: Cupcake
Menghasilkan: 14 biji

Bahan-bahan:


Parutan kulit lemon dari 4 biji lemon (yang ni kita akan gunakan untuk membuat lemon curd dan juga kek cawan chiffon lemon).

Jus lemon dari 2 biji lemon (yang ni pun akan digunakan untuk membuat lemon curd dan kek cawan chiffon lemon).

Sebelum membut kek cawan chiffonnya, sediakan dahulu lemon curd supaya ianya sejuk sebelum digunakan.

LEMON CURD:


Bahan-bahan:


1 biji telur gred A
1 biji kuning telur
1/4 cawan gula pasir  | 50 gram
1/2 sudu besar parutan kulit lemon
3 sudu besar jus lemon
1 sudu besar mentega bergaram  |15 gram

Cara Membuat:


Masukkan telur dan kuning telur ke dalam mangkuk saiz sederhana yang tahan panas.  Campurkan gula pasir.  Whisk hingga gula larut.

Masukkan parutan kulit lemon dan jus lemon dan whisk hingga rata.

Masak curd secara double-boil.  Pastikan bahagian bawah mangkuk tak menyentuh air panas supaya telur tidak masak.  Kacau sentiasa sehingga curd memekat.

Masukkan mentega dan kacau sehingga curd berkilat.  Angkat dan tutup curd dengan cling wrap.  Pastikan cling wrap menyentuh permukaan curd untuk elak pembentukan kerak di bahagian atas curd.  Simpan di dalam peti sejuk sehingga sedia digunakan.

KEK CAWAN CHIFFON LEMON


Bahan-bahan:

1/4 cawan minyak jagung  | 60 ml
1/3 cawan susu penuh krim/susu segar  | 80 ml
5 biji kuning telur gred A - suhu bilik
1/4 sudu teh garam
3/4 cawan tepung gandum  | 92 gram
1 sudu besar tepung jagung  | 8 gram
Baki parutan kulit lemon
1/2 sudu besar jus lemon

Meringue:

Putih telur dari 5 biji telur gred A
1 sudu besar jus lemon
1/2 cawan gula pasir  | 100 gram

Cara Membuat:


Asingkan kuning telur dari putih telurnya.  Ketepikan dahulu putih telur untuk membuat meringue.
Di dalam sebuah mangkuk pengadun, masukkan minyak jagung dan susu segar/penuh krim.  Whisk hingga sebati.  

Ayak tepung gandum bersama tepung jagung dan garam halus ke dalam campuran minyak dan whisk hingga sebati.  Masukkan kuning telur, diikuti dengan kus lemon dan parutan kulit lemon.  Whisk hingga sebati.

Untuk membuat meringue, campurkan satu sudu besar jus lemon ke dalam mangkuk berisi putih telur.  Pastikan pakai mangkuk saiz besar kerana meringue akan mengembang setelah diputar.

Dengan menggunakan mixer, pukul putih telur sehingga berbuih dengan kelajuan sederhana.  Masukkan 1/3 dari gula pasir dan putar lagi sehingga adunan agak kembang dan buih-buih menjadi halus, dalam 2 minit. Masukkan 1/3 lagi gula pasir dan putar lagi selama lebih kurang 2 minit.  Masukkan baki 1/3 gula pasir dan pukul hingga meringue mencapai tahap medium peak.  Untuk uji, angkat mixer dan kalau meringue pada pemutar bertanduk ke bawah bermakna meringue dah sedia digunakan.

Campur 1/3 meringue ke dalam adunan kuning telur dan kaup balik dengan perlahan menggunakan whisk.  kalau nak pakai spatula terus pun boleh, cuma bagi saya lebih mudah nak campur meringue pakai whisk berbanding pakai spatula untuk peringkat awal.

Setelah tercampur rata, masukkan lagi 1/3 meringue dan kaup balik dengan perlahan hingga sebati.  Masukkan baki meringue dan boleh kaup balik pakai spatula hingga warna adunan sekata.

Sudukan adunan kek chiffon ke dalam acuan kek cawan hingga 3/4 penuh saja kerana kek akan mengembang semasa dibakar.  Hentak dulang berisi kek cawan tadi untuk meratakan kek dan untuk memecahkan gelembung udara yang besar di dalam adunan kek.

Panaskan ketuhar selama 5 minit pada suhu 160℃ dan bakar kek cawan pada rak kedua dari bawah menggunakan api atas bawah selama lebih kurang 45 minit, sehingga kek kecoklatan di bahagian atasnya dan cake tester/lidi pencucuk bersih bila dicucuk di bahagian tengah kek.

Keluarkan kek chiffon dari ketuhar dan biarkan sejuk sebentar sementara kita siapkan intinya.


KRIM PUTAR


Bahan:

1/3 cawan krim putar  | 80 gram - sejuk

Cara Membuat:


Putar krim putar sehingga berkrim dan sedikit kental dengan kelajuan sederhana.


INTI KEK CAWAN CHIFFON 


Campur krim putar bersama lemon curd dan whisk hingga rata. Masukkan inti ke dalam beg piping dengan nozel untuk paip inti.

MENGHIAS KEK CAWAN CHIFFON LEMON


Ayak sedikit gula ising di atas permukaan kek cawan dan paipkan inti di bahagian tengah kek.

Sedia dinikmati!



0 comments :

Post a Comment