Resepi Karipap Kentang Ayam Dengan Telur Puyuh
Untuk pastrinya, saya cuba menggunakan tiga jenis lemak iaitu - marjerin, shortening dan minyak masak.
Seperti biasa, marjerin, shortening dan minyak masak perlu didihkan terlebih dahulu sebelum digaul bersama adunan tepung hingga adunan membentuk seperti serbuk roti.
Sebenarnya, saya pun tak pasti kenapa perlu panaskan dahulu minyak atau marjerin untuk membuat kulit karipap ni.
Mungkin ianya perlu dipanaskan bagi tujuan merangupkan kulit karipap ni.
Teknik yang unik yang hanya digunakan untuk membuat kulit karipap je, kan? Hihi..
Bagi yang tak suka bau marjerin atau mentega untuk kulit karipap ni, boleh je kalau nak pakai minyak masak sepenuhnya.
Tapi saya lagi suka gabungkan minyak masak dengan marjerin setiap kali saya membuat doh kulit karipap.
Sekali sekala je pakai shortening ni sebab saya jarang stok shortening kat rumah.
Untuk inti karipap, kalau tak suka perisa kari, boleh juga kalau nak letak perisa kurma.
Kadang-kadang saya buat inti karipap menggunakan rempah kurma.
sebelum kita sediakan kulitnya, intinya perlu disediakan terlebih dahulu untuk pastikan inti karipap betul-betul sejuk sebelum dimasukkan ke dalam doh karipap supaya intinya tak mudah basi dan tahan lebih lama.
Untuk menonton video cara-cara membuat karipap kentang ayam ni, boleh tonton di video di bawah ni yea:
Untuk resepi bertulis, jom semak resepi di bawah.
KARIPAP KENTANG AYAM DENGAN TELUR PUYUH
Kategori : Kuih Melayu
Menghasilkan : 24 keping
INTI KARIPAP
Bahan-bahan:
3 ulas bawang putih - dicincang
1 biji bawang besar - didadu
3 sudu besar rempah kari daging - bancuh dengan sedikit air untuk jadikan pes kari
Air secukupnya
3 biji kentang - potong dadu
Garam secukup rasa
Sedikit serbuk lada hitam - optional
Hirisan dan sup dan daun bawang - optional
Anggaran 2 ke 3 sudu besar minyak masak untuk menumis
Bahan lain:
Telur puyuh/ayam secukupnya - rebus, kupas kulitnya dan potong kecil
Cara Membuat:
Panaskan minyak masak di dalam kuali. Tumis bawang putih cincang dan separuh dari bawang besar yang didadu hingga bawang layu dan harum.
Masukkan pes kari dan tumis hingga rempah garing.
Masukkan ayam yang telah dicincang atau didadu dan tumis sebentar bersama rempah.
Masukkan air, kentang yang dipotong dadu, garam dan serbuk lada hitam. Gaul rata dan reneh dengan api sederhana hingga kentang empuk. Tutup kuali dengan penutup kuali supaya kentang cepat lembut.
Bila kentang dah lembut, masukkan baki bawang besar yang didadu dan taburkan hirisan daun bawang dan daun sup.
Gaul rata dan padamkan api.
Tapis inti karipap untuk membuang lebihan minyak atau cecair supaya inti karipap tak basah sewaktu membentuk karipap nanti.
Ketepikan dan biarkan sejuk sementara kita sediakan kulit karipap.
KULIT KARIPAP
Bahan-bahan:
2 1/2 cawan tepung gandum | 315 gram
2 sudu besar tepung beras | 15 gram
1/2 sudu teh garam | 3 gram
3 sudu besar marjerin/mentega | 45 gram
2 sudu besar shortening | 24 gram
2 sudu besar minyak masak/sayuran | 30 ml
Anggaran 2/3 cawan air ais/air sejuk dari peti ais | 160 ml
Cara Membuat:
Di dalam mangkuk pengadun atau dulang, campurkan tepung gandum, tepung beras dan garam. Gaul rata. Kemudian, kuak adunan tepung ketepi untuk membuat lubang di bahagian tengahnya.
Campurkan marjerin/mentega, shortening dan minyak masak/sayuran ke dalam sauce pan atau pun kuali kecil dan panaskan hingga betul-betul panas dan menggelegak.
Tuang campuran minyak di bahagian tengah adunan tepung dan gaul serta-merta menggunakan spatula atau senduk kayu hingga adunan bercampur rata.
Setelah adunan suam, ramas menggunakan tangan hingga adunan menyerupai serbuk roti.
Tuang air ais sedikit demi sedikit dan adun sehingga membentuk doh. Doh tak perlu diuli, cukup sekadar diadun supaya doh tidak menjadi liat.
Tutup doh karipap dengan plastic wrap atau tuala lembap dan rehatkan sebentar, lebih kurang 20 ke 30 minit supaya doh mudah dicanai.
MENCANAI & MEMBENTUK KARIPAP
Uli sekejap untuk melembutkan doh karipap yang dah direhatkan.
Pindahkan doh ke atas papan pencanai, jangan lupa tabur sedikit tepung di atas papan pencanai supaya doh tak melekat.
Bentukkan doh memanjang dan bahagikan doh menjadi 24 bahagian. Kalau nak timbang pun boleh supaya setiap doh saiznya sama besar. Bulat-bulatkan doh dan susun di dalam mangkuk pengadun tadi.
Tutup bebola doh dengan kain lembap supaya tak kering.
Ambil satu bebola doh dan canai nipis membentuk bujur atau bulat setebal 0.3 cm.
Sudukan inti karipap di bahagian tengah secukupnya, dan letak sepotong atau sebiji telur puyuh.telur rebus.
Lipat menjadi dua dan tekan rapat supaya inti tak terkeluar.
Kelim di bahagian tepi karipap supaya kemas.
Susun karipap di atas dulang yang telah dialas dengan plastik dan ditabur sedikit tepung supaya tak melekat.
Ulang sehingga selesai.
MENGGORENG KARIPAP
Panaskan minyak yang banyak di dalam kuali.
Setelah minyak panas (jangan sampai terlalu panas), kecilkan api dan masukkan karipap dan goreng dengan api sederhana hingga karipap keperangan.
Toskan karipap di atas penapis atau pinggan yang beralas tisu dapur untuk menyerap lebihan minyak pada karipap.
Karipap yang masih panas teksturnya rangup dan ianya akan lembut setelah sejuk.
CARA FROZENKAN KARIPAP
Cara 1:
Goreng sekejap karipap, tak perlu goreng hingga perang. Angkat dan biarkan sejuk. Kemudian susun di dalam plastik atau bekas kedap udara dan masukkan ke dalam freezer.
Cara 2:
Masukkan dulang yang berisi karipap yang telah siap dibentuk ke dalam freezer sehingga karipap betul-betul beku, kira-kira 1 hingga 2 jam.
Keluarkan, kemudian simpan karipap di dalam bekas kedap udara ataupun plastik.
Simpan semula karipap di dalam freezer
Cara 2:
Lapik plastik di dalam bekas kedap udara, susun karipap dan jarak-jarakkan supaya karipap tak melekat antara satu sama lain.
Lapik lagi dengan plastik di atasnya dan susun lagi karipap. Ulang hingga memenuhi bekas.
Masukkan bekas di dalam freezer.
CARA MENGGORENG KARIPAP FROZEN
Karipap yang difrozenkan boleh terus digoreng dengan api sederhana. Tak perlu defrostkan dahulu.
0 comments :
Post a Comment