Roti Sosej Mayonis Lembut & Sedap
Sejak dua menjak ni rajin pulak nak menguli doh roti.
Lagipun tepung roti masih ada beberapa peket lagi di rumah, Mr Hubby pulak tak fancy dengan donat.
Lebih minat makan roti terutamanya roti-roti yang jenis berlauk yang tak manis, laju je kalau makan.
Sejak aktif berYoutube ni, saya memang jarang dah keluarkan mesin breadmaker dengan mesin pengadun setiap kali nak buat roti.
Malas nak cuci banyak perkakas, so uli pakai tangan je senang.
Masa mula-mula uli pakai tangan memang tak biasa, bila dah lama buat lebih suka pulak uli pakai tangan sekarang.
Dah agak lama tak makan roti sosej ni.
Dulu suka beli roti sosej kat King's Bakery tu.
Sekarang kalau nak beli pun rasa macam tak berbaloi je, sebab harga makin mahal.
Buat sendiri dapat banyak, puas makan.
Roti sosej ni kalau gulung dengan doh roti je pun sedap jugak.
Tapi disebabkan stok mayonis kami pun masih banyak, jadi lebih elok kalau paipkan je atas roti ni kan, nampak lebih menyelerakan gitu..Hihi..
Seperti biasa, setiap resepi yang saya publish kat blog ni akan disertakan dengan videonya sekali.
Kalau nak tengok visual instructions, boleh klik je kat video di link di bawah ni yea:
Untuk resepi bertulis, boleh rujuk resepinya di bawah ni.
ROTI SOSEJ MAYONIS
Kategori: Bun
Menghasilkan : 10 keping
BAHAN-BAHAN
2 1/4 cawan tepung roti/tepung gandum | 285 gram
2 sudu besar gula pasir | 25 gram
1/4 sudu teh garam
1 gram
2 sudu teh yis kering | 7 gram
Anggaran 2/3 cawan - 1 sudu besar susu segar/penuh krim suam | 145 ml
1 biji telur gred A /B
3 sudu besar mentega/ marjerin | 42 gram
Extra tepung gandum untuk menguli
Topping:
10 batang sosej saiz biasa Mayonis secukupnya Bijan putih secukupnya Kepingan parsley secukupnya Glis telur (1 biji kuning telur + 1 sudu besar susu segar/penuh krim)
CARA MEMBUAT:
Penyediaan Doh Roti:
- Campurkan tepung roti/tepung gandum dengan garam, yis dan gula pasir di dalam mangkuk pengadun. Kacau hingga rata menggunakan spatula/senduk kayu. Buatkan lubang di bahagian tengahnya.
- Masukkan susu suam (mulakan dengan menuang 2/3 cawan terlebih dahulu) dan sebiji telur. Kacau rata hingga membentuk doh. Tambah susu sedikit demi sedikit hingga kesemua tepung sebati. Doh sedikit melekit tapi tak terlalu lembik.
- Pindahkan doh ke atas papan pencanai yang diratakan sedikit tepung. Uli doh sehingga agak licin. Tak perlu uli terlalu lama pada tahap ni.
- Leperkan sedikit doh dan letak marjerin/mentega di bahagian tengahnya. Uli doh hingga marjerin/mentega tercampur rata dan doh menjadi elastik dan lembut.
- Masukkan doh ke dalam mangkuk bersih yang dilenser sedikit minyak. Ratakan permukaan doh dengan minyak, kemudian tutup mangkuk pengadun dengan cling wrap/tuala bersih dan rehatkan di tempat yang suam selama 1 hingga 2 jam sehingga doh naik dua kali ganda.
Mencanai & Membentuk Doh Roti:
- Selepas doh naik dua kali ganda, tumbuk-tumbuk doh untuk keluarkan angin dan pindahkan doh ke atas papan pencanai. Sebelum tu tabur papan pencanai dengan tepung dulu.
- Bulatkan dan leperkan sedikit doh menggunakan tangan, kemudian potong doh menjadi 10 bahagian. Kalau nak timbang, berat setiap bahagian kira-kira 55 gram. Bulat-bulatkan setiap bahagian.
- Ambil satu bola doh, canai leper membentuk bujur, dengan panjang kira-kira saiz sosej. Lipat bahagian tepi (membentuk seperti sampan), picit bahagian kedua hujungnya dan picit di bahagian hujung lipatan supaya lipatan tak terbuka dan tinggalkan ruang dibahagian tengah agak-agak muat nak letak sosej. Letak satu sosej di tengah dan tekan sedikit sosej ke dalam supaya melekat pada roti. Susun doh roti di atas dulang yang dilenser mentega/ dialas dengan kertas pembakar/silicone mat. (Saya suka pakai silicone mat kalau bakar roti 😉).
- Ulang langkah diatas untuk bebola roti seterusnya hingga selesai.
- Tinggalkan sedikit ruang antara doh roti untuk memberi ruang roti untuk mengembang.
- Tutup doh roti dengan plastik bersih/kain bersih dan rehatkan lagi selama 30 hingga 45 minit, sehingga doh roti mengembang.
Menghias & Membakar Roti:
- Setelah roti mengembang, sapu bahagian tepi roti dengan glis telur kemudian tabur dengan bijan putih.
- Picitkan mayonis secara zig-zag di atas sosej kemudian tabur dengan parsely flakes.
- Panaskan ketuhar selama 10 minit pada suhu 180℃ (356℉) dan bakar roti pada rak tengah, api atas bawah selama 15 hingga 25 minit sehingga roti bertukar warna coklat muda. Waktu membakar bergantung pada ketuhar masing-masing.
- Sejukkan roti di atas redai sebelum disimpan di dalam bekas kedap udara atau plastik.
0 comments :
Post a Comment