Resepi Kek Marble Keju Dengan Rasa Kopi Dan Coklat
Pertama kali cubaan membuat kek marble dengan tiga perasa ni sebenarnya - keju, coklat dan kopi.
Asalnya takde plan nak buat kek marble keju ni, tapi disebabkan Mr Hubby dan tersilap masukkan satu tiub krim keju ke dalam freezer, hmm..memang rosaklah tekstur krim keju tu kan?
Disebabkan tak nak membazir, saya gunakan krim keju yang tekstur dah rosak tu ke dalam kek marble ni.
Alhamdulillah, memang menjadi dan sangat sedap!
Kopi tu saya kisar sendiri biji kopi espresso yang saya beli di IKEA menggunakan pengisar kopi.
Tapi saya kisar agak kasar, tu yang tak berapa nak larut bila saya bancuh dengan air panas.
Takpelah, bintik-bintik kopi yang tak hancur tu jadi corak untuk kek marble keju ni.
Kek marble keju ni saya olah supaya tak terlalu manis disebabkan kami berdua allergy dengan makanan yang manis sangat ni terutama Mr Hubby yang tak boleh makan manis.
Kalau nak ikutkan hati, memang buat masa ni tak berapa ada mood nak membaking, tapi kena jugak membaking untuk hidupkan channel Youtube saya tu, tak nak lah sendu je kan?
Lagipun barang-barang baking pun masih banyak lagi di rumah.
Untuk membuat corak marble, saya lebih suka pattern ala kek zebra tu, yang nampak lapisan-lapisan dia.
Tapi kalau nak buat kek marble yang tompok-tompok coraknya pun boleh juga tak jadi masalah.
Ikut kreativiti masing-masing..
Macam biasa, untuk visual instructions boleh tonton di video yang saya pautkan linknya di bawah ni:
Bagi yang suka resepi bertulis, jom semak resepi kek marble keju yang marvelous ni.
KEK MARBLE KEJU
Kategori : Kek
Bahan Untuk Pes Coklat:
21 gram serbuk koko | 3 sudu besar
60 ml air panas | 4 sudu besar
Cara Membuat:
Campurkan kedua-dua bahan dan kaca rata.
Bahan Untuk Pes Kopi:
5 gram serbuk kopi | 1 sudu besar
15 ml air panas | 1 sudu besar
Cara Membuat:
Campurkan kedua-dua bahan dan kaca hingga sebati.
Bahan-bahan Untuk Kek:
125 gram mentega bergaram | 1/2 cawan - lembutkan
125 gram krim keju | 1/2 cawan - suhu bilik
200 gram gula kastor/gula pasir kisar halus | 1 cawan
4 biji telur Gred A - suhu bilik
1 sudu teh esen vanila
240 gram tepung gandum | 2 cawan
6 gram baking powder | 1 1/2 sudu teh
125 ml susu penuh krim/susu segar | 1/2 cawan
Cara Membuat:
- Di dalam mangkuk pengadun, satukan mentega dengan krim keju. Pukul dengan kelajuan rendah selama beberapa saat hingga sebati.
- Masukkan gula kastor atau gula pasir yang dikisar halus dan pukul adunan sehingga kembang dan pucat dengan kelajuan sederhana-tinggi.
- Bila adunan dah kembang, masukkan telur satu per satu dan pukul selama 20 hingga 30 saat untuk setiap biji telur.
- Masukkan satu sudu teh esen vanila dan pukul adunan hingga sebati.
- Ayakkan tepung gandum bersama baking powder (dan sedikit garam jika menggunakan mentega tanpa garam). Masukkan campuran tepung ke dalam adunan kek sedikit demi sedikit sambil adunan dipukul dengan kelajuan rendah. Kalau nak pakai spatula, gunakan kaedah kaup balik.
- Kemudian masukkan susu segar/susu penuh krim sedikit demi sedikit dan kaup balik hingga sebati.
- Bahagikan adunan kepada tiga bahagian - 1/2 bahagian biarkan kosong, 1/4 bahagian dicampur dengan pes coklat dan 1/4 bahagian lagi dicampur dengan pes kopi.
- Glis loyang 7"X7" dengan mentega dan alas dengan kertas lembakar supaya kek mudah dikeluarkan dari loyang selepas masak.
- Sudukan 2 sudu adunan yang kosong ke bahagian tengah loyang.
- Kemudian, letak 1 sudu adunan coklat di atas adunan yang kosong diikuti dengan 1 sudu adunan kopi di atas adunan coklat.
- Ulang langkah melapis sehingga adunan habis digunakan.
- Lorek bahagian atas kek dengan menggunakan lidi sate atau chopstick.
- Bakar pada suhu 160℃ dalam ketuhar yang telah dipanaskan selama 10 minit, menggunakan api atas bawah selama 60 hingga 80 minit, atau sehingga cake tester atau lidi sate bersih bila dicucuk ke bahagian tengah kek.
- Terbalikkan kek di atas redai dan biarkan kek sejuk. Kek dah boleh dipotong jika telah suam.
CARA MENYIMPAN KEK MARBLE KEJU
Untuk memastikan kek sentiasa lembap, balut kek dengan aluminium foil dan kek boleh disimpan di dalam peti sejuk supaya tahan lebih lama.
Kek boleh dikukus semula untuk tekstur yang lembut dan rasa yang lebih sedap. Kalau nak panaskan guna ketuhar atau microwave, balut kek dengan aluminium foil kemudian baru panaskan supaya kek tak kering.
0 comments :
Post a Comment