Resepi Crepe Mangga Yang Gebu

Thursday, August 13, 2020

Resepi Crepe Mangga Yang Gebu


 


Siapa yang tak kenal dengan pencuci mulut yang satu ni kan?

Tapi dalam banyak-banyak crepe, crepe durianlah yang paling popular.

Crepe durian ni popular kat Malaysia.

Crepe ni dimasak nipis kemudian diletakkan dengan krim putar dan buah-buahan pilihan.

Lepas tu lipat jadi bentuk ala-ala bantal.

Kalau crepe versi orang Putih pulak biasanya crepe mereka digulung je instead of dilipat macam crepe yang kita familiar.

Beberapa tahun lepas saya pernah cuba buat crepe durian ni, tapi crepenya tak menjadi padahal dah pakai banyak jenis tepung, siap ada tepung beras dan tepung ubi lagi.

Tapi tetap tak menjadi.

Lepas tu putus asa dah tak mau buat crepe lagi.


Beberapa hari sebelum saya buat crepe mangga ni, kami beli sebiji mangga yang saiz besar tu (tak pasti nama dia apa).

Cadangannya saya nak buat tart mangga, tapi tart mould yang saya ada ni pulak bukan jenis yang boleh bukak bahagian bawahnya tu, tu yang leceh sikit.

Alih-alih terus terfikir nak buat crepe mangga ni je memandangkan stok krim putar pun masih banyak.

Crepe mangga ni kalau nak lebih sedap gunakan mangga yang telah masak ranum supaya bila crepe ni digigit terasa lembut je dan disebabkan mangga telah pun manis, gula aising hanya perlu letak sedikit je dalam krim putar tu supaya tak terlalu manis.

Mangga yang saya gunakan ni sebenarnya belum berapa ranum, tapi takpelah, sekadar nak makan sendiri.



Crepe mangga ni kalau nak buat ikut saiz crepe durian yang biasa kita beli tu, sila gunakan kuali anti-lekat yang lebih kecil saiznya.

Untuk resepi ni, saya pakai kuali yang bersaiz agak besar, dengan diameter 8.5 inci sebab ini je kuali anti-lekat yang bawahnya stainless steel yang saya ada untuk saya masak menggunakan induction cooker.

Crepe ni memang sangat sedap kalau dimakan sejuk-sejuk.

Potongan pun akan lebih kemas selepas crepe disejukkan sebab krim putar akan lebih kental dan padat kalau sejuk.


Macam biasa, untuk menonton video tentang cara-cara membuat crepe mangga ni boleh tengok video yang saya pautkan di bawah ni:



CREPE MANGGA


Kategori Resepi: Dessert

Menghasilkan : Anggaran 9 keping crepe



Bahan-bahan Untuk Crepe:


1/3 cawan tepung gandum  | 43 gram

2 sudu besar tepung jagung  | 20 gram

2 sudu besar tepung kastad  | 20 gram

3 sudu besar gula aising/gula pasir yang dikisar halus  | 21 gram

Sedikit garam

1 1/4 cawan susu segar/susu penuh krim/susu sejat  | 310 ml

1 biji telur Gred A/B

1 sudu besar minyak jagung/sayuran  | 15 ml

1 sudu teh esen vanila

1/4 sudu teh pewarna kuning


Cara Membuat:


  1. Ayak bersama tepung gandum, tepung jagung, tepung kastad, gula aising dan garam ke dalam mangkuk pengadun.
  2. Di dalam bekas lain, satukan susu segar/susu sejat/susu penuh krim dengan telur, minyak jagung/sayuran, esen vanila dan pewarna kuning.  Whisk hingga sebati.
  3. Tuang separuh dari bahan cecair ke dalam mangkuk berisi campuran tepung dan whisk hingga sebati.  Kemudian, masukkan baki bahan cecair dan whisk lagi hingga tepung larut.
  4. Tapis adunan crepe supaya halus.
  5. Panaskan kuali anti lekat dengan api sederhana.  Oleskan kuali dengan sedikit minyak.
  6. Tuang sedikit adunan menggunakan senduk dan ratakan dengan cepat.  Tuang baki adunan semula ke dalam mangkuk yang berisi adunan supaya crepe tak terlalu tebal.
  7. Masak dengan api sederhana kecil hingga crepe menggelembung dan bahagian tepi crepe mudah dilonggarkan menggunakan spatula tahan panas.  Crepe tak perlu dibalikkan.
  8. Bila crepe telah masak, angkat kuali dan terbalikkan ke atas pinggan untuk mengeluarkan crepe.  Pinggan perlulah lebih besar supaya crepe yang dibalikkan dari kuali tak terjatuh di bahagian luar pinggan.
  9. Crepe boleh ditindih kerana ianya takkan melekat setelah masak.
  10. Ulang langkah di atas hingga adunan crepe habis.
  11. Sediakan krim putar dan mangga sementara menunggu crepe sejuk terlebih dahulu.

Bahan-bahan Untuk Krim Putar:


1 1/3 cawan krim putar (dingin)  | 320 gram
1 sudu teh esen vanila
1 sudu besar gula aising  | 7 gram

Cara Membuat:


  1. Pukul krim putar menggunakan mixer sehingga berkrim.  Kalau pakai balloon whisk, letakkan air ais di bawah mangkuk berisi krim putar supaya cepat berkrim.
  2. Masukkan gula aising dan esen vanila, kemudian putar lagi sehingga krim kental.

Inti Crepe:


Krim putar yang telah dipukul hingga kental
Isi mangga (potong bentuk segiempat agak-agak saiz crepe)


Cara Melipat Crepe Mangga:


  1. Ambil sekeping crepe dan letak di atas pinggan/papan pemotong.  Pastikan bahagian atas crepe yang licin berada di bawah supaya bila kita lipat crepe ni nanti, bahagian atasnya berada di luar.
  2. Sudukan krim putar secukupnya di bahagian tengah crepe. Letak sepotong isi mangga di atas krim.
  3. Lipat crepe dengan berhati-hati di semua sisi hingga menjadi bentuk seperti bantal dan kemaskan.
  4. Susun crepe dengan bahagian lipatannya di bawah di atas pinggan atau boleh juga letakkan crepe di atas paper cup dan simpan dalam bekas yang bertutup.  
  5. Dinginkan crepe beberapa jam sebelum dipotong atau dimakan.



0 comments :

Post a Comment