Coffee Slice Cake With Coffee Cream Cheese Frosting

Monday, September 21, 2020

Coffee Slice Cake With Coffee Cream Cheese Frosting



Projek kek potong lagi yang dah tertangguh selama beberapa minggu, baru ni baru dapat buat dan upload ke Youtube.

Kek kopi ni sangat gebu dan lembut, macam makan kek chiffon je sebab saya gunakan teknik yang sama seperti membuat kek chiffon, cuma kuantiti tepung saya kurangkan memandangkan adunan kek kopi ni saya bakar pakai dulang pembakar, sama seperti membuat swiss roll, jadi kek tak perlukan tepung yang banyak untuk support struktur kek.

Saya memang suka buat kek potong ni, lepas tu bahagian bawah kek ni saya lapikkan dengan cawan kertas, ala-ala kek potong kalau beli kat kedai bakeri tu.

Saya gunakan cream cheese frosting untuk membuat lapisan krim pada kek potong kopi saya ni, lain kali saya akan kongsikan pulak versi kek potong yang menggunakan buttercream atau swiss meringue buttercream okey.  Hihi..


Seperti biasa, untuk visual instructions, boleh tonton dalam video di bawah ni 👇👇👇




Untuk hiasan kek potong kopi ni, saya gunakan coklat urai dan coklat coin.

Selain coklat coin, anda boleh juga gunakan coklat yang berbentuk bulat, macam coklat yang dibungkus dengan corak bola yang colorful tu, nanti budak-budak mesti suka makan.

Kek potong ni lebih sedap jika dimakan ketika ianya sejuk, jadi pastikan ianya sentiasa disimpan di dalam peti sejuk.

Saya gunakan biji kopi yang dikisar, kemudian saya campurkan dengan air panas.

Anda boleh pakai serbuk kopi yang dah siap kisar tu, lebih mudah kalau pakai yang tu.

Kalau takde serbuk kopi atau biji kopi, boleh jugak kalau nak pakai esen kopi je, letak 1 ke 2 sudu teh esen kopi, kemudian, untuk air panas, gantikan dengan susu segar.

Jom semak resepi.





COFFEE SLICE CAKE WITH COFFEE CREAM CHEESE FROSTING



Kategori : Kek

Menghasilkan : 12 potong kek




KEK KOPI



Bahan-bahan:


1 sudu besar biji kopi/serbuk kopi  | 6 gram

2 sudu besar air panas  | 30 ml

1 sudu besar susu pekat manis  | 20 gram

5 biji kuning telur dari telur Gred A - suhu bilik

1/4 sudu teh garam  | 1 gram

1/4 cawan gula kastor/gula pasir halus  | 50 gram

1 sudu teh esen vanila

1 sudu teh perasa kopi mocha/ esen kopi

3 sudu besar susu segar/susu penuh krim  | 45 ml

1/4 cawan minyak jagung  | 60 ml


Meringue:


Putih telur dari 5 biji telur Gred A - suhu bilik

1 sudu teh krim of tartar  | 4 gram

1/3 cawan gula kastor/gula pasir halus  | 70 gram



Cara Membuat:


Kisar biji kopi menggunakan coffee grinder.  Kalau pakai kopi segera abaikan langkah ini.

Campurkan kopi kisar/ kopi segera dengan  2 sudu besar air panas.  Kacau rata kemudian tapis (untuk kopi kisar).  Campurkan 1 sudu besar susu pekat manis.  Biarkan sejuk.

Masukkan kuning telur yang telah diasingkan dari putihnya ke dalam mangkuk pengadun.  Tambah garam dan gula kastor dan whisk sehingga gula larut.

Masukkan esen vanila dan perasa kopi mocha dan whisk lagi hingga rata.

Masukkan air kopi tadi, minyak jagung dan susu segar, whisk hingga rata.

Ayakkan tepung gandum bersama tepung jagung dan baking powder ke dalam adunan dan whisk lagi hingga sebati.  Ketepikan dahulu sementara kita sediakan meringue.


Masukkan putih telur ke dalam mangkuk pengadun yang bersih dari cecair dan minyak.

Masukkan cream or tartar dan putar menggunakan hand whisk dengan kelajuan sederhana sehingga putih telur berbuih halus, lebih kurang 1 minit.

Masukkan gula kastor secara berperingkat (saya letak dengan tiga peringkat), dan putar selama lebih kurang 1 minit setiap kali selepas masukkan gula kastor untuk memastikan gula larut.

Setelah memasukkan gula kastor untuk peringkat yang terakhir, putar meringue sehingga bertanduk (medium peak) dan meringue tidak akan jatuh bila telangkupkan mangkuk pengadun.


Masukkan 1/3 meringue ke dalam adunan kuning telur dan kaup balik dengan perlahan menggunakan whisk atau spatula hingga sekata.  Kemudian, masukkan lagi meringue secara berperingkat supaya mudah untuk dicampur ke dalam adunan kuning telur.  Jangan terlebih adun untu mengelak buih-buih meringue tadi pecah menyebabkan kek tak cukup naik bila dibakar.


Lapik loyang pembakar segi empat tepat (saya pakai ukuran 36 cm (panjang) X 25.5 cm (lebar) x 2.5cm (tinggi) dengan kertas pembakar.  Lebihkan bahagian tepinya supaya mudah untuk keluarkan kek setelah ianya masak.

Tuang adunan ke dalam loyang yang telah disediakan.  Hentak loyang beberapa kali untuk memecahkan gelembung udara yang besar di dalam adunan kek.


Bakar pada suhu 170℃ selama 20 hingga 25 minit, menggunakan api atas bawah pada rak tengah.  Untuk menentukan sama ada kek dah masak, cucuk bahagian tengah kek dengan cake tester/lidi pencucuk, kalau ianya bersih bila dikeluarkan bermakna kek telah masak.  Cara lain ialah menekan bahagian tengah kek dengan jari, jika kek menganjal semula bermakna ianya telahpun masak.

Pindahkan kek ke atas redai dan regangkan kertas pembakar di bahagian tepi kek.  Sejukkan kek di atas redai.  Kek tak perlu diterbalikkan.


Sementara itu, kita siapkan frostingnya.




COFFEE CREAM CHEESE FROSTING



Bahan-bahan:


1 cawan krim putar (dingin)  | 225 gram

1 cawan krim keju  | 150 gram

2 sudu besar gula aising  | 14 gram

2 sudu teh perasa kopi mocha



Cara Membuat:


Di dalam mangkuk pengadun, pukul krim putar sehingga kental.

Di dalam mangkuk lain, campurkan krim keju bersama gula aising dan perasa kopi mocha dan pukul sehingga berkrim.

Satukan campuran krim keju dengan krim putar dan kaup balik sehingga sebati.

Simpan di dalam peti sejuk sehingga sedia digunakan.




CARA MENGHIAS KEK POTONG KOPI



Bahan Hiasan:


Coklat urai secukupnya

Coklat coin secukupnya



Cara- cara:


Potong kek kepada dua bahagian setelah kek sejuk dengan menggunakan pisau bergerigi. Ambil satu bahagian dan letak di atas papan kek.

Sapukan sebahagian frosting di bahagian atas lapisan pertama kek.

Letak bahagian kek yang satu lagi dengan bahagian bawah kek berada di atas.  Sapu lagi frosting secukupnya.  Tinggalkan sedikit frosting untuk membuat hiasan di atas kek.

Simpan kek di dalam peti sejuk selama 1 hingga 2 jam jika frostingnya terlalu lembik.

Potong bahagian tepi kek dengan menggunakan pisau bergerigi supaya kemas.

Tabur coklat urai secukupnya di bahagian atas kek.

Potong kek kepada 12 bahagian.  Lap bersih pisau setiap kali selepas memotong supaya kemas.

Masukkan baki frosting ke dalam beg piping dengan nozel bintang atau French star.

Paipkan frosting di atas setiap kek potong.

Hiaskan dengan coklat coin.

Kalau suka boleh letak setiap kek potong di atas paper cup.

Sedia dihidang!






#NOTA#


Cara Penyimpanan:


Letakkan baki kek potong ke dalam bekas bertutup dan sentiasa disimpan di dalam peti sejuk.  Kek ini boleh bertahan selama lebih kurang 1 minggu.




0 comments :

Post a Comment