Mini Yogurt Cheese Tart
Sejak kebelakangan ni selalu pulak saya membaking dengan menggunakan Yogurt.
Yogurt bukan saja sihat untuk dimakan (itupun kene cari yang low sugar atau low fat, paling bagus ialah Greek Yogurt), Yogurt jugak sangat sesuai kalau ditambah ke dalam kek, pai dan juga tart, macam resepi cheese tart yang akan saya kongsikan ni.
Ramai yang tau kesedapan baked cheese tart seperti Hokkaido cheese tart tu kan?
Dalam resepi baked cheese tart yang saya pernah kongsikan sebelum ni, (rujuk sini : Baked Cheese Tart )asas untuk membuat cheese tart versi ala Hokkaido cheese tart ni menggunakan beberapa jenis keju yang dicampur bersama dan dimasak sehingga menjadi seperti kastad.
Antara keju yang digunakan ialah krim keju (cream cheese), keju Mascarpone dan keju Parmesan.
Keju Mascarpone dan keju Parmesan harganya agak mahal di pasaran, jadi memang tak hairan kalau baked cheese tart ni sebiji pun harganya mahal.
Kalau nak beli banyak, boleh berpeluh jugak tu nak membayar kosnya kan? Hihi..
Tapi, baked cheese tart yang menggunakan Yogurt ni kosnya lebih murah dan rasanya pun tak kurang sedapnya, sama je macam versi yang pakai keju Mascarpone tu.
Cara membuatnya lebih kurang sama je, kesemua bahan untuk fillingnya dicampur bersama kemudian dimasak menggunakan api yang sederhana hingga agak pekat seperti kastad.
Saya gunakan krim putar untuk rasa yang lebih lemak dan sedap untuk resepi baked cheese tart ni, tapi kalau anda nak gantikan dengan susu segar pun boleh jugak.
Untuk visual instructionsnya saya dah upload di channel Youtube saya dan linknya ada di bawah ni:
Saya buat saiz mini, macam saiz cheese tart blueberi yang famous tu sebab Mr Hubby kata lebih senang nak makan sebab bite size, sekali sumbat je. Hihi..
Sebenarnya, masa saya buat recording untuk video cheese tart ni, walaupun fillingnya masih sejuk waktu saya paipkan pada kulit tart, tapi bila part nak glis dengan kuning telur kat atasnya tu masih juga agak susah sebab filling cepat lembut bila terdedah pada suhu bilik.
Beberapa kali jugak saya buat eksperimen macam mana nak buat supaya filling cheese tart tu tak berkedut bila keluar dari oven.
Kita gunakan suhu yang tinggi untuk mendapatkan kesan terbakar di atas cheese tart tu untuk beberapa minit terakhir sewaktu kita bakar cheese tart ni.
Jadi, bila kita keluarkan cheese tart dari oven serta-merta selepas ianya masak automatik fillingnya akan mengecut disebabkan perubahan suhu yang mendadak.
Hasilnya baked cheese tart kita akan mendatar dan meleper bila dah sejuk.
Sebab tu kalau anda tengok dalam video, baked cheese tart saya sedikit berkedut di bahagian fillingnya tu. 😅😅
Tapi, saya ada simpan 1 batch cheese tart mini yang saya dah paipkan fillingnya dalam freezer sebelum saya bakar dan saya tak tunjuk di dalam video.
Untuk batch cheese tart yang saya frozenkan ni, lebih mudah untuk mengglis kuning telur disebabkan fillingnya yang dah beku. Jadi glis pun lebih kemas.
Kemudian, saya bakar guna suhu 190℃ selama 15 minit, menggunakan api atas bawah di rak tengah, sehingga ada kesan terbakar pada bahagian atasnya, kemudian saya off kan oven dan saya biarkan cheese tart saya di dalam oven sehingga suam baru saya keluarkan.
Hasilnya, cheese tart saya tak mengecut pun dan cantik je.
Hmm...kenapa lah baru jumpa teknik ni selepas habis shooting kan? Hihi..
Next time, saya akan simpan cheese tart yang saya dah paip fillingnya dalam freezer sampai fillingnya beku baru saya akan glis dengan kuning telur dan bakar dan hanya gunakan steady temperature je untuk bakar cheese tart ni.
Untuk resepi kali ni, saya akan kongsikan cara membuat cheese tart ni seperti mana yang kongsikan dalam video yea.
MINI YOGURT CHEESE TART
Kategori : Tart
Menghasilkan : Anggaran 50 biji mini tart
TART FILLING (KASTAD KEJU)
Bahan-bahan:
1 & 3/4 cawan krim keju | 210 gram
3 sudu besar mentega bergaram | 42 gram
1/3 cawan gula pasir | 70 gram
1 biji telur Gred A
2/3 cawan Yogurt | 160 gram
1/4 cawan krim putar | 60 gram
3 sudu besar tepung jagung | 21 gram
1 sudu besar jus lemon
1 sudu teh esen vanila
Cara Membuat:
Masukkan krim keju dengan mentega ke dalam mangkuk tahan panas dan cairkan menggunakan kaedah double boil.
Setelah cair (ianya akan menjadi berkrim), angkat dan padamkan api. Tambahkan gula pasir dan whisk sampai gula larut.
Kemudian, masukkan 1 biji telur dan whisk hingga sebati.
Masukkan yogurt dan krim putar dan whisk lagi hingga sebati.
Akhir sekali, masukkan jus lemon dan esen vanila dan whisk hingga sebati.
Masak semula adunan filling dengan kaedah double-boil sehingga filling pekat dan melekat pada whisk.
Angkat dan tapis filling supaya halus. Tutup filling dengan cling wrap. Pastikan cling wrap menyentuh permukaan filling supaya bahagian atasnya tak membentuk kerak. Simpan di dalam peti sejuk sementara kita sediakan kulit tart.
KULIT TART
Bahan-bahan:
1/2 cawan & 2 sudu besar mentega bergaram | 140 gram
1/4 cawan gula aising/gula pasir dikisar halus | 45 gram
1 biji kuning telur
1 sudu besar serbuk badam | 7 gram
1 & 3/4 cawan tepung gandum | 220 gram1/2 sudu besar susu segar/susu penuh krim/krim putar | 7 ml
Cara Membuat:
Susun acuan tart di dalam dulang pembakar dan panaskan sebentar di dalam ketuhar selama 5 minit (sehingga acuan tart terasa panas bila disentuh) supaya kulit tart tak melekat pada acuan setelah dibakar nanti.
Di dalam mangkuk pengadun, whisk mentega bersama gula aising hingga sebati.
Masukkan kuning telur dan serbuk badam kemudian whisk lagi hingga sebati.
Akhir sekali, ayakkan tepung gandum ke dalam adunan dan masukkan susu. Kaup balik menggunakan spatula hingga menjadi doh.
Ambil sedikit doh dan tekan ke dalam acuan tart yang telah dipanaskan. Pastikan acuan tart dah sejuk sewaktu digunakan.
Kalau ada tart presser boleh gunakan supaya bentuk tart lebih kemas.
Kemudian, cucuk bahagian bawah tart menggunakan lidi pencucuk atau garfu supaya tart tak menggelembung sewaktu dibakar.
Bakar kulti tart pada suhu 170℃ selama 20 hingga 25 minit, menggunakan rak tengah, api atas dan bawah sehingga warna kulit tart menjadi coklat muda. Sebelum itu, panaskan ketuhar selama 10 minit terlebih dahulu.
Setelah kulti tart masak, biarkan tart sejuk sebentar sebelum dikeluarkan dari acuan.
MEMAIP FILLING KEJU KE DALAM KULIT TART, MENGHIAS & MEMBAKAR TART
Bahan- bahan:
Kulit tart
Filling Keju
2 biji kuning telur untuk sapuan
Cara Membuat:
Keluarkan kulit tart dari acuan dan susun di atas dulang pembakar yang dialas dengan kertas pembakar.
Keluarkan filling keju dari peti sejuk dan masukkan ke dalam beg piping. Kalau takde beg piping boleh pakai plastik yag dipotong bahagian tepinya. Potong bahagian bawah beg piping.
Paipkan filling keju ke dalam kulit tart. Pastikan sewaktu memaip, pegang beg piping dengan kedudukan menegak, selari dengan kedudukan kulit tart dan paipkan filling sehingga penuh, seperti memaip filling untuk membuat cheese tart montok tu.
Setelah itu, sapukan bahagian atas filling keju dengan kuning telur. Kalau nak lebih mudah masukkan tart ke dalam freezer sehingga fillingnya beku.
Bakar tart pada suhu 150℃ untuk 15 minit yang pertama pada rak tengah dengan menggunakan api atas bawah, kemudian bakar pada rak paling atas pada suhu 220℃ pada 2 hingga 5 minit terakhir, api atas sahaja dengan fan mode sehingga bahagian atas tart sedikit perang. Pastikan anda sentiasa pantau pada minit-minit terakhir supaya tart tidak hangus.
Setelah masak, padamkan ketuhar dan biarkan tart sejuk sebentar di dalam ketuhar.
Setelah itu, keluarkan dan sedia dihidang.
*NOTA*
Tekstur yogurt cheese tart ni sewaktu panas kulitnya rapuh dan fillingnya berkrim dan kulit tart ini akan menjadi lembut setelah ianya sejuk/disimpan di dalam peti sejuk.
Saya cadangkan supaya tart yang disimpan di dalam peti sejuk dipanaskan sebentar menggunakan microwave atau ketuhar sehingga tart terasa panas apabila disentuh supaya lebih sedap sebelum dinikmati.
0 comments :
Post a Comment