Pie Epal Ala McD (Apple Turnovers) Dengan Pastri Homemade Yang Mudah
Pie jenis ni kalau orang Puteh popular dengan nama Apple Turnover.
Apple turnovers ni saya buat dengan menggunakan pastri homemade yang mudah dan sedap, macam pai epal McD tu, cuma rasanya lain sikit sebab pastri yang digunakan tak sama.
Biasanya untuk membuat pie ni, kita gunakan puff pastry untuk mendapatkan tekstur yang berlapis-lapis dan ringan.
Tapi kali ni, resepi pai epal atau apple turnovers ni menggunakan pastri home made yang sangat mudah disediakan, tak payah pakai food processor pun dah boleh buat pastrinya.
Asalnya saya nak cuba buat apple turnovers ala-ala McD yang famous tu, tapi malas pulak nak membuat puff pastri, lain kali je lah saya kongsikan resepi apple turnovers dengan menggunakan puff pastri yea. Hihi..
Nak beli puff pastri ready made rasa tak best pulak, lebih suka buat pastri sendiri di rumah.
Langkah membuat apple turnovers ni ada empat:
Sediakan pastrinya.
Pastrinya disediakan dengan mengadun tepung bersama gula aising dan mentega sejuk. Air sejuk dimasukkan akhir sekali, sekadar untuk melembapkan doh.
Untuk proses mengadun, mentega yang sejuk boleh dipotong nipis atau diparut, dan gunakan pastri blender atau garfu untuk mengadun. Doh tak perlu diuli dan jangan risau kalau tekstur doh tak cantik dan halus.
Doh pastri tak boleh terlebih uli untuk mengelakkan jaringan gluten terbentuk yang menjadikan pastri liat.
Doh yang siap diadun dibungkus dan dimasukkan dalam peti sejuk selama 30 minit hingga 45 minit, sehingga doh tak terlalu lembik ketika dicanai.
Tips untuk doh yang lebih sedap - gunakan pure butter dan tambah sedikit garam di dalam adunan kalau pakai unsalted butter.
Doh pastri boleh bertahan selama beberapa hari di dalam peti sejuk.
Sediakan Inti Epal.
Untuk membuat inti epal, sebaiknya gunakan epal dari jenis yang tak mudah hancur bila dimasak supaya inti epal tak terlalu lembik selepas dibakar di dalam ketuhar.
Saya biasanya suka pakai epal Fuji sebab rasanya sedap, cukup manis dan crunchy.
Antara jenis epal yang sesuai untuk membuat apple turnovers ni ialah dari jenis Honeycrisp dan Granny Smith, yang warna hijau tu.
Inti epal dimasak sebentar bersama gula perang atau gula pasir, sedikit garam, serbuk kayu manis, sedikit air bancuhan tepung jagung dan mentega sehingga inti agak likat.
Inti epal ni boleh dibuat terlebih dahulu dan simpan di dalam peti sejuk untuk beberapa hari sehingga sedia untuk digunakan.
Membentuk Apple Turnovers
Apple turnovers ni boleh dibentuk sama ada menjadi bentuk memanjang, macam apple pie McD tu atau dibuat bentuk seperti karipap.
Boleh jugak kalau nak bentukkan apple turnovers ni menjadi bentuk seperti samosa.
Ikut citarasa masing-masing.
Doh yang sejuk dan agak pejal (firm) dicanai leper setebal 1/4 atau 1/8 inci di atas papan pencanai yang ditabur tepung supaya doh tak melekat pada papan pencanai.
Doh yang telah siap dicanai dan dipotong membentuk segiempat panjang, bulat atau segi empat sama kemudian diisi dengan inti epal yang telah sejuk, lipat dua kemudian tekan bahagian tepinya dengan garfu untuk membuat corak.
Susun doh pie yang dah diap di atas dulang pembakar yang dialas dengan kertas pembakar atau silicone mat.
Saya lebih suka frozenkan doh pie yang dah siap dibentuk ni sehingga beku sebelum dibakar supaya pie tak menjagi soggy, atau terlalu lembik sewaktu dibakar nanti, terutamanya kalau pakai pure butter.
Membakar Apple Turnovers
Sebelum mula bakar apple turnovers ni, setelah ianya beku di dalam freezer, keluarkan dan buat 3 ke 4 kelar di bahagian atasnya, kemudian glis dengan sapuan kuning telur dan boleh tabur gula pasir kalau suka.
Untuk membakar apple turnovers ni ada dua cara:
Cara 1:
Bakar pada suhu tinggi 220℃ untuk 10 hingga 15 minit pertama, kemudian turunkan suhu ketuhar kepada 170℃ untuk 10 hingga 15 minit terakhir.
Tujuan kita gunakan suhu tinggi pada awal waktu membakar ialah untuk menggaringkan bahagian luar apple turnovers ni dan juga untuk memerangkan warna kulit di bahagian luarnya.
Apple turnovers ni kemudiannya dibakar pada suhu yang lebih rendah untuk beberapa minit seterusnya untuk memasakkan bahagian dalam kulit pastrinya.
Cara 2:
Kalau agak-agak tak berapa rajin nak adjust suhu ketuhar waktu membakar apple turnovers ni, boleh je kalau nak bakar pada suhu 180℃ selama 20 ke 25 minit, sehingga bahagian luar apple turnovers ni keperangan.
Untuk menonton video, sila klik video di bawah ni :
Resepi apple turnovers ni menghasilkan pastri yang rapuh dan rangup sewaktu ianya masih panas, dan pastrinya akan menjadi lembut selepas disimpan di dalam peti sejuk.
Jadi, apple turnovers ni memang paling sedap kalau dinikmati fresh from oven, lepas bakar je dah boleh dihidang terus, kalau buat banyak, simpan je doh pie yang dah siap bentuk ni dalam freezer, tak perlu bakar kesemua sekali supaya kita dapat enjoy makan apple turnovers yang segar tanpa perlu dipanaskan semula.
APPLE TURNOVERS DENGAN PASTRI HOMEMADE MUDAH
Kategori : Pastri dan Pai
Kuantiti : 10 keping
BAHAN-BAHAN:
Pastri:
200 gram mentega (bergaram/tanpa garam) SEJUK | 3/4 cawan & 2 sudu besar
315 gram tepung gandum | 2 & 1/2 cawan
45 gram gula aising/ gula pasir yang dikisar halus | 1/4 cawan
Anggaran 3 hingga 5 sudu besar air sejuk dari peti ais/air ais | 45 ml - 75 ml
Sedikit garam (kalau pakai mentega tanpa garam)
Inti Epal:
2 ke 3 biji epal (saya pakai epal Fuji)
1/4 sudu teh garam
3 sudu besar gula perang/gula pasir | 45 gram
1 sudu besar tepung jagung | 7 gram
1/4 cawan air | 60 ml
Serbuk kayu manis secukupnya
1 sudu besar mentega | 15 gram
1 sudu besar jus lemon/jus oren (optional)
Hiasan:
1 biji kuning telur
Gula pasir secukupnya
CARA MEMBUAT:
Pastri:
- Potong mentega sejuk nipis-nipis menggunakan pisau yang tajam. Kalau nak parut mentega ni pun boleh. Tujuan dipotong nipis ialah supaya mudah untuk mengadun mentega bersama tepung nanti. Ketepikan.
- Di dalam mangkuk pengadun, masukkan tepung gandum, gula aising dan garam (kalau perlu). Whisk hingga sebati.
- Masukkan mentega yang telah dipotong nipis-nipis tadi dan adun menggunakan pastri blender atau garfu. Elakkan menggaul pakai tangan supaya mentega tak cepat cair. Adun hingga adunan menjadi bergumpal.
- Pindahkan adunan ke atas papan pencanai/meja kerja yang telah ditabur sedikit tepung dan tambahkan air sejuk 1 sedikti demi sedikit, untuk melembapkan adunan doh dan berhenti tambah air jika doh dah tak berderai.
- Satukan doh dengan perlahan (doh tak perlu diuli untuk mengelakkan pembentukan gluten yang akan menjadikan pastri liat) dan bentukkan menjadi segiempat sama.
- Balut doh pastri menggunakan cling wrap dan rehatkan di dalam peti sejuk selama 30 hingga 45 minit, atau sehingga doh pastri cukup pejal dan tak lembik untuk dicanai.
- Siapkan inti epal sementara doh direhatkan.
Inti Epal:
- Basuh bersih epal dan kupas kulitnya.
- Belah epal kepda 4 bahagian dan buang bahagian tengahnya. Potong epal menjadi bahagian kecil. Jangan potong terlalu kecil atau terlalu besar.
- Masukkan epal yang telah dipotong kecil ke dalam periuk/pan.
- Bancuh 1/4 cawan air bersama 1 sudu besar tepung jagung. Masukkan air bancuhan tepung jagung ke dalam periuk/pan berisi epal tadi.
- Masukkan gula, garam dan serbuk kayu manis.
- Gaul rata dan masak dengan api sederhaan sehingga menggelegak
- Bila telah menggelegak, masukkan mentega dan jus lemon/jus oren, kacau sebentar sehingga inti epal pekat.
- Biarkan inti sejuk sebelum digunakan.
Cara Membentuk Apple Turnovers:
- Keluarkan doh dari peti sejuk dan canai setebal 1/4 inci. Untuk elak doh pastri dari melekat pada papan pencanai atau meja kerja, taburkan sedikit tepung. Letak sekeping kertas pembakar di atas doh untuk memudahkan kerja mencanai.
- Terap doh dengan acuan bulat untuk membuat pie berbentuk seperti karipap, manakala potong doh membentuk segiempat panjang untuk membuat pie berbentuk panjang ala pie McD dan potong doh membentuk segiempat sama untuk membuat pie berbentuk ala samosa.
- Ketepikan lebihan doh, balut dengan cling wrap dan simpan dalam peti sejuk sehingga sedia untuk dicanai.
- Gunakan cake scrapper untuk angkat kepingan doh dan balikkan di atas papan pencanai yang ditabur tepung untuk elak dari melekat. Saya lebih suka untuk balikkan doh yang telah dipotong atau diterap supaya doh tak melekat pada papan pencanai sementara kita nak isi dengan inti epal.
- Leperkan sedikit lagi doh pie yang telah dipotong/diterap tadi menjadi lebih nipis, lebih kurang 1/8 inci, kemudian sudukan inti epal di tengah doh.
- Lipat doh kepada dua dan tekan perlahan di bahagian tepi doh supaya melekat.
- Tekan bahagian tepi doh dengan garfu untuk kemaskan bahagian tepi pie.
- Gunakan cake scrapper untuk angkat doh pie yang telah siap dibentuk dan pindahkan ke atas dulang pembakar yang telah dialas dengan kertas pembakar/silicone mat.
- Ulang langkah 5 hingga 8 untuk doh yang seterusnya.
- Baki doh yang disimpan dalam peti sejuk tadi boleh dicanai dan dibentuk mengikut bentuk yang disukai.
- Masukkan doh pie yang telah siap tadi ke dalam freezer selama 20 ke 30 minit, sehingga doh pie beku dan keras.
- Keluarkan doh pie yang telah keras dan beku tadi, dan kelar bahagian atas doh pie menggunakan pisau.
- Gliskan doh pie dengan sapuan kuning telur dan tabur sedikit gula pasir di atasnya.
Membakar Apple Turnovers:
- Sewaktu doh pie dikeluarkan dari freezer, terus panaskan ketuhar pada suhu 220℃ selama 10 minit.
- Bakar apple turnovers pada suhu 220℃ untuk 1o hingga 15 minit pertama, menggunakan api atas bawah pada rak tengah, sehingga bahagian luarnya keperangan, kemudian, bakar pada suhu 170℃ untuk 10 hingga 15 minit terakhir.
- Apple turnovers yang telah dibakar boleh dihidang terus sementara ianya masih panas
Cara Menyimpan Apple Turnovers:
Masukkan apple turnovers yang telah sejuk ke dalam bekas kedap udara dan simpan di dalam peti sejuk.
Cara Memanaskan Apple Turnovers:
Bakar semula apple turnovers yang telah disimpan di dalam peti sejuk pada suhu 160℃ selama 10 hingga 15 minit, atau sehingga ianya panas bila disentuh.
Kalau nak panaskan guna microwave pun boleh. Caranya ialah panaskan apple turnovers di dalam mirowave selama 2 hingga 3 minit, atau sehingga ianya terasa hangat bila disentuh.
0 comments :
Post a Comment