Resepi Korean Garlic Cheese Bread Yang Popular Cuma Sekali Proofing
Sebenarnya dah agak lama saya teringin nak buat garlic bread ala Korea ni tapi setiap kali tergendala.
Lepas tu bila time ada mood nak buat, cream cheese pula takde stok di rumah.
Sudahnya, lepas berbulan-bulan baru dapat buat.
Hihi..saya memang selalu je ketinggalan, jarang ikut trend.
Takpelah, janji dapat merasa kesedapan garlic cheese bread ni.
Garlic cheese bread versi Korea ni memang sangat buttery, creamy dan garlicky tau.
Bahagian cream cheese filling yang dipaip pada belahan roti ni rasanya agak manis.
Saya pakai susu pekat manis untuk membuat inti cream cheese ni.
Tapi kalau nak pakai gula pasir biasa atau madu pun boleh juga.
Pada pendapat saya, disebabkan rasa inti cream cheese ni agak manis, jadi kalau inti ni anda paip terlalu banyak rasanya akan sedikit muak.
Jadi, saya cadangkan bagi yang suka inti cream cheese yang lebih savory boleh letak sedikit garam dan serbuk lada hitam, instead of letak gula pasir, susu pekat manis atau madu.
Terpulang pada citarasa masing-masing.
Garlic butter untuk roti ni pun agak unik sebab ianya mengadungi telur, madu dan kalau suka boleh letak sedikit mayonis.
Memang superr rich Korean garlic cheese bread ni!
Untuk tonton video tutorial cara membuat Korean garlic cheese bread from scratch ni, anda boleh tonton melalui pautan video di bawah ni:
Jujurnya, saya lebih suka rasa roti homemade berbanding roti yang dibeli di kedai, walau macam mana pun rasa air tangan tu penting bagi saya especially bila kita nak bagi orang tersayang makan, betul tak? Hihi..
Rotinya saya cuma buat satu kali proofing je untuk jimatkan masa.
Tapi walaupun cuma proofing satu kali je, roti ni tetap gebu dan lembut.
Tapi kalau agak-agak tak berapa rajin nak bermain dengan doh, anda boleh beli je roti yang dijual di kedai.
Yang penting inti cream cheese dengan garlic butternya sedap.
Jom semak resepi.
KOREAN GARLIC CHEESE BREAD
Kategori: Bun
Menghasilkan : 10 biji
Masa Penyediaan: 1 jam 25 minit
Masa Membakar: 30 minit
BAHAN-BAHAN:
Doh Roti:
1 biji telur gred A/B
Anggaran 3/4 cawan & 2 sudu besar susu segar/susu penuh krim/air (suam) | 207 ml
2 & 1/2 cawan tepung roti | 315 gram
1 sudu besar gula pasir | 12.5 gram
1/2 sudu teh garam | 3 gram
1 & 1/ sudu teh yis kering segera | 4.5 gram
2 sudu besar marjerin/mentega | 28 gram
Inti Cream Cheese:
1 cawan cream cheese | 230 gram (suhu bilik)
2 sudu besar gula pasir/susu pekat manis/madu
Campuran Garlic Butter:
1 biji telur
1/4 cawan susu segar/susu penuh krim/krim putar | 60 ml
3/4 cawan mentega/marjerin | 170 gram
2 sudu besar mayonis | 28 gram
1/4 sudu teh garam | 1 gram
2 sudu besar parsley flakes | 3 gram
3 ulas bawang putih (tumbuk halus/parut)
1 sudu besar madu/gula pasir
CARA MEMBUAT:
Roti:
Secara Manual (Tanpa Pengadun)
Di dalam mangkuk pengadun, pecahkan sebiji telur dan masukkan susu/air suam. (Untuk permulaan, mulakan dengan masukkan 3/4 cawan susu/air suam dahulu. Selepas masukkan tepung, jika adunan masih berderai, baru tambah lagi susu/air suam). Kacau rata menggunakan whisk ataupun spatula.
Masukkan tepung roti diikuti dengan gula pasir, garam dan yis kerin segera. Gaul rata menggunakan spatula hingga kesemua bahan tercampur rata. Tambah lagi susu/air suam jika adunan masih berderai.
Pindahkan doh ke atas papan pencanai/ permukaan kerja yang telah ditabur tepung dan uli sekejap, dalam 1 minit. Kemudian, leperkan doh menggunakan tangan dan letak 2 sudu besar mentega/marjerin di tengah doh.
Uli lagi 10 hingga 15 minit sehingga doh elastik dan licin (windowpane stage). Bentukkan doh menjadi bulat.
Jika Menggunakan Bread Maker atau mesin Pengadun
Masukkan tepung roti, yis kering, gula pasir dan garam ke dalam bread maker bowl atau mangkuk pengadun. Kacau sebentar menggunakan whisk atau spatula.
Masukkan telur dan susu/air suam dan pilih menu "Dough" untuk bread maker dan biarkan mesin menguli hingga terbentuk doh. (Doh tak perlu licin pada tahap ini). berhentikan bread maker dan masukkan mentega, kemudian biarkan bread maker menguli doh hingga selesai.
Untuk mesin pengadun, masukkan telur dan susu/air suam, gunakan pemukul jenis hook dan putar sehingga adunan menjadi doh. Tingkatkan kelajuan secara berperingkat. Apabila doh telah terbentuk, berhentikan mesin dan tambah mentega/marjerin dan uli doh menggunakan kelajuan sederhana sehingga doh elastik.
Bahagikan doh kepada 10 bahagian dengan berat setiap bahagian dalam 75 gram.
Bulat-bulatkan setiap bahagian menjadi bentuk bulat dan susun di atas dulang pembakar yang telah dilenser dengan mentega atau dialas dengan kertas pembakar/silicone mat. Jarakkan antara doh roti supaya tak melekat setelah roti mengembang.
Leperkan sedikit doh roti dengan menggunakan tangan supaya roti leper sedikit, tapi jangan terlalu leper pulak.
Tutup doh roti dengan plastik atau tuala bersih dan rehatkan selama 1 jam atau 1 jam 30 minit (bergantung kepada cuaca dan iklim tempat anda tinggal), sehingga doh roti naik dua kali ganda. (Sementara proofing ni bolehlah sediakan inti cream cheese dan garlic butter).
Setelah doh roti naik dua kali ganda, panaskan ketuhar pada suhu 200℃ selama 10 minit, Spray sedikit air di atas roti atau boleh juga glis dengan sapuan telur kalau suka. (Saya spray dengan air saja).
Bakar roti selama 15 hingga 20 minit (bergantung pada ketuhar masing-masing) pada rak tengah, dengan menggunakan api atas bawah sehingga bahagian atas roti keperangan.
Biarkan roti sejuk di atas redai sebelum dipotong.
Bila roti telah sejuk, potong roti kepada 6 atau 8 bahagian menggunakan pisau bergerigi. Tapi jangan potong sampai habis, biarkan bahagian bawah roti bercantum (intact).
Inti Cream Cheese:
Satukan cream cheese bersama gula pasir/madu/susu pekat manis dan kacau menggunakan spatula.
Masukkan inti ke dalam beg piping plastik. Inti cream cheese boleh disimpan dalam peti sejuk dahulu sementara menunggu roti siap.
Campuran Garlic Butter:
Cairkan mentega/marjerin dan biarkan mentega/marjerin suam/sejuk sebentar.
Satukan kesemua bahan di dalam sebuah mangkuk dan whisk hingga sebati. ketepikan sebelum sedia digunakan.
CARA SEDIAKAN KOREAN GARLIC CHEESE BREAD:
Paip inti cream cheese di antara belahan roti, kemudian celupkan roti ke dalam campuran garlic butter.
Susun roti ke atas dulang pembakar yang telah dialas dengan kertas pembakar. Pastikan jarakkan roti antara satu sama lain.
Buat langkah di atas hingga selesai.
Bakar roti lagi sekali pada suhu 190℃ selama 10 hingga 15 minit, sehingga bahagian atas roti kelihatan agak garing dan berkilat. Gunakan api atas bawah dan bakar roti pada rak tengah.
*NOTA*
Tepung roti boleh juga kalau nak gantikan dengan tepung gandum. Tapi untuk hasil yang terbaik, saya galakkan anda pakai tepung roti.
Roti Korean garlic cheese bread ni sangat sedap jika dinikmati sementara ianya masih panas sebab bahagian luarnya rangup sementara bahagian dalamnya lembut dan berkrim.
Tips penyimpanan:
Simpan roti di dalam bekas kedap udara dan bila nak makan, panaskan sekejap di dalam microwave atau jika nak pakai ketuhar, tutup bahagian atas roti dengan aluminium foil dan bakar pada suhu 180℃ selama 5 hingga 8 minit, sehingga roti terasa panas bila disentuh.
0 comments :
Post a Comment