Resepi Florentine Butter Cookies Yang Crunchy Berkaramel!
Sebelum ni saya pernah buat florentine butter cookies ni untuk dijual untuk CNY awal tahun ni pada regular customers.
Tapi untuk versi yang sebelum ni saya buat bentuk segiempat (ikut saiz loyang), lepas tu potong jadi bentuk segi empat kecil-kecil.
Mungkin silap caranya dan saya pulak potong pakai pisau biasa (bukan yang bergerigi), tu yang bentuk florentine butter cookies tu tak berapa nak kemas.
Stress betul tengok!
Sekali tu je saya buat biskut florentine butter cookies ni lepas tu give up sebab dah mati akal tak tau cara macam mana nak buat biskut tu kemas.
Tapi sejak minggu lepas ni saya tiba-tiba datang mood nak cuba balik buat florentine butter cookies ni.
Kali ni saya buat cara lain dengan resepi yang saya olah lagi sekali supaya tiada lebihan karamel yang akan membuatkan lapisan florentine ni jadi liat instead of crunchy.
Kebetulan bulan lepas saya ada membeli mini muffin pan yang jenis silicone tu yang excited nak cuba sebab kalau pakai silicone pan lebih mudah nak keluarkan cookies.
Selepas dua kali trial and error guna resepi yang baru saya olah supaya mudah sukatannya dalam cawan dan gram, barulah saya yakin nak kongsikan resepinya di sini.
Florentine butter cookies yang saya buat menggunakan mini muffin pan ni sangat kemas dan cantik bentuknya, dan sudah tentu ianya sangat sesuai dijadikan gifts, nak buat hantaran kawin pun cantik sangat!
Sekarang ni chocolate chips cookies untuk dibuat hantaran dah sangat biasa, masa saya kawin dulu pun saya bake chocolate chips cookies untuk dibuat hantaran sebab masa tu busy kerja, jadi takde masa nak bereksperimen sana sini untuk belajar buat cookies.
Hanya buat cookies yang saya dah biasa buat je.
Kalau masa tu saya pandai buat biskut florentine butter cookies ni sudah tentu saya akan buat untuk hantaran kawin saya. Hihi...
Okey, macam biasa bagi yang suka enjoy tengok video untuk dapatkan visual instructions, boleh tonton video di bawah ni:
Apa yang membuatkan biskut ni istimewa dan lain dari yang lain ialah lapisan florentinenya diperbuat sendiri, tanpa menggunakan tepung premix seperti Florenta, yang biasa kita gunakan kalau nak buat biskut florentine yang penuh dengan kekacang tu kan?
Lain kali buat sendiri je karamel untuk biskut florentine ni, tak susah mana pun.
Adunan untuk menyediakan doh biskutnya saya buat tanpa menggunakan telur.
Jadi, biskut ni amat sesuai bagi sesiapa yang tak makan telur.
Saya hanya menggunakan badam cincang yang saya campur dengan sedikit badam hiris yang saya potong kecil untuk menambah tekstur pada lapisan florentine ni.
Jom kita semak resepi.
FLORENTINE BUTTER COOKIES
Kategori: Biskut Raya, Biskut Berterap
Menghasilkan : Anggaran 57 keping biskut
BAHAN-BAHAN
Untuk Lapisan Biskut:
1/2 cawan mentega bergaram/ marjerin | 113 gram (lembutkan)
4 sudu besar gula aising/gula pasir yang dikisar halus | 28 gram
1 sudu besar badam serbuk | 6 gram
1/4 cawan tepung jagung | 30 gram
1 cawan & 1 sudu besar tepung gandum | 135 gram
* NOTA : Tambah secubit garam jika menggunakan mentega tanpa garam.
Untuk Lapisan Florentine:
3/4 cawan badam cincang | 100 gram
1/4 cawan kepingan badam | 30 gram (potong kecil)
3 sudu besar mentega bergaram | 42 gram
3 sudu besar gula pasir | 38 gram
3 sudu besar krim putar tenusu | 45 gram
2 & 1/2 sudu besar madu | 32 gram
* NOTA : Tambah secubit garam jika menggunakan mentega tanpa garam.
CARA MEMBUAT
Untuk Lapisan Biskut:
Sebelum mengadun doh biskut, bakar badam cincang bersama hirisan badam yang telah dipotong kecil pada suhu 180℃ selama 5 minit. Ketepikan dahulu.
Di dalam mangkuk pengadun, whisk mentega bersama gula aising (dan garam jika pakai) sehingga adunan pucat.
Masukkan badam serbuk dan whisk hingga sebati.
Ayakkan tepung jagung bersama tepung gandum ke dalam adunan dan gaul menggunakan spatula/tangan sehingga menjadi doh yang tidak terlalu lembik dan tidak melekat di tangan. Tambah lagi sedikit tepung jika doh masih agak lembik.
Siapkan mini muffin pan. Glis dengan sedikit mentega setiap lubang mini muffin jika menggunakan mini muffin pan yang bukan dari jenis silicone.
Canai doh menjadi setebal 0.5 cm. Alas bahagian bawah dan lapik bahagian atas doh dengan kertas pembakar untuk memudahkan kerja mencanai doh.
Dengan menggunakan penerap bulat berdiameter 3 cm, terap doh biskut dan masukkan doh yang telha diterap ke dalam lubang mini muffin pan. Celup penerap pada tepung supaya doh biskut tidak melekat pada acuan.
Bakar biskut pada suhu 180℃ pada rak tengah, api atas bawah selama 12 ke 15 minit, sehingga bahagian atas biskut warna coklat muda. Sesuaikan waktu membakar bergantung pada jenis ketuhar masing-masing.
Setelah biskut siap dibakar, biarkan saja biskut di dalam acuan sementara kita sediakan lapisan florentinenya.
Untuk Lapisan Florentine:
Masukkan mentega, gula pasir, krim putar dan madu ke dalam saucepan dan masak dengan menggunakan api sederhana.
Sentiasa kacau untuk elak karamel dari hangus.
Masak sehingga karamel menggelegak dan likat. Karamel yang telah likat akan berkurang kuantitinya.
Apabila karamel telah likat, kecilkan api dan masukkan campuran badam. Kacau dengan cepat dan padamkan api.
Sudukan lebih kurang 1/2 sudu teh florentine ke atas setiap biskut. Tak perlu ratakan sangat sebab nanti bila dibakar florentine akan jadi rata.
Jika florentine telah mejadi keras, panaskan sekejap hingga florentine lembut semula.
Setelah siap, bakar lagi sekali menggunakan api atas bawah pada suhu 200℃ selama 10 hingga 12 minit, sehingga lapisan florentine berwarna perang kemerahan (reddish brown). Bakar pada rak kedua dari atas.
Setelah biskut masak, keluarkan dari ketuhar dan biarkan biskut suam di dalam acuan sebelum dikeluarkan.
Gunakan lidi pencucuk/hujung pisau untuk keluarkan biskut.
Sejukkan biskut di atas redai sebelum disimpan di dalam bekas kedap udara.
0 comments :
Post a Comment