Resepi Roti Sosej Ala Pizza Lembut

Sunday, October 25, 2020

Resepi Roti Sosej Ala Pizza Lembut





Shooting hari semalam selepas seminggu tak upload video.

Inilah hasilnya, roti sosej favorite kami lagi.. Hihi..

Tak sangka pulak saya video roti sosej yang saya post bulan lepas ramai jugak viewers, tu yang semangat je nak buat video roti sosej lagi.

Takpe, coming soon akan ada beberapa video roti sosej lagi yang akan saya kongsikan.


Roti sosej untuk resepi kali ni saya olah ala-ala pizza, kebetulan stok tepung suji banyak lagi kat rumah, nak buat talam suji asyik postpone plan je sebab saya jarang buat kuih talam ni.

Kalau nak buat kuih talam ni nak kena trial and error dulu sebab jarang buat, takut tak berapa nak menjadi.

Tepung suji tu saya gunakan untuk salut doh roti yang telah saya canai leper sebelum second proofing untuk dapatkan effect ala-ala pizza crust Domino.  Hihi..

Yang ni optional je, kalau tak nak pakai tepung suji pun boleh jugak, sebab rasanya tak de beza sangat cuma tekstur je yang lain sikit.


Saya gunakan tiga jenis sapuan untuk roti sosej ala pizza ni - sos cili, tomato puri dalam tin jenama Kimball dan semestinya mayonis!  

Memang mewah dengan topping yang berlimpah ruah, ditambah dengan parutan keju Mozzarella yang soo cheesy tu!

This is definitely a must try recipe bagi sesiapa yang suka makan roti sosej.

Even mak saya yang tekak orang tua pun berapa keping mak dah habiskan dalam diam.. Hihi..

Mr Hubby lagi la, pantang nampak roti, memang peminat roti tegar, lebih-lebih lagi roti yang baru dibakar, pendek kata memang sekejap je la boleh habis makan 😁😁😂


Roti sosej ni ni kalau nak buat untuk jual pun sesuai sangat, anak-anak pasti suka makan ni.

Lebih jimat kalau buat sendiri di rumah, lagipun sekarang ni masih lagi dalam CMCO kan, so inilah masa yang terbaik untuk belajar buat roti.

Takde mesin penguli?

Tak jadi masalah sebab saya pun uli pakai tangan je, nak exercise tangan sikit.

Tapi kalau dah buat banyak tu, janganlah uli pakai tangan, pakailah mesin penguli supaya tak tergeliat urat tangan tu nanti.


Untuk visual instructionnya, boleh tonton menerusi video di bawah ni yea:




Untuk resepi bertulisnya, boleh semak di bawah ni.

Selamat mencuba!






ROTI SOSEJ ALA PIZZA



Kategori: Bun

Menghasilkan : 12 keping



BAHAN-BAHAN:



1 biji telur (saya pakai Gred A) 

Anggaran 3/4 cawan & 3 sudu besar susu segar (suam)  | 222 ml

3 cawan tepung roti/ tepung gandum  | 375 gram

2 sudu teh yis kering segera  | 6 gram

1/2 sudu teh garam  | 3 gram

3 sudu besar gula pasir  | 38 gram

3 sudu besar mentega/marjerin  | 42 gram

Tepung suji secukupnya untuk menyalut doh roti (optional)



Topping:


12 batang sosej 

Mayonis secukupnya

Tomato puri/ sos pasta secukupnya

Sos cili secukupnya

Parutan keju Mozzarella secukupnya





CARA MEMBUAT:




Bagi Yang Menggunakan Tangan:



Di dalam mangkuk pengadun, masukkan sebiji telur dan susu segar yang suam (panaskan sebentar tapi jangan sampai berasap/mendidih atau campurkan susu segar bersama sedikit air panas).  Kacau rata menggunakan spatula atau whisk. Saya suka pakai spatula sebab nak kurangkan penggunaan utensil.

Masukkan tepung roti/gandum, yis, gula pasir dan garam.  Gaul hingga adunan menyatu dan bergumpal.

Gunakan tangan untuk membentuk doh.

Pindahkan doh ke atas papan pencanai atau meja kerja yang telah ditabur sedikit tepung supaya tak melekat dan uli lebih kurang 1 minit.

Leperkan doh menggunakan tangan, letak 3 sudu besar mentega atau marjerin di bahagian tengah doh.

Uli hingga mentega atau marjerin sebati.

Teruskan menguli lebih kurang selama 10 ke 15 minit sehingga doh menjadi elastik dan mencapai tahap windowpane.




Bagi Yang Menggunakan Mesin Pengadun atau Bread Maker:



Satukan susu segar yang suam dengan telur.  Kacau ringan.

Masukkan tepung roti atau gandum, yis, gula pasir dan garam di dalam mangkuk pengadun atau breadmaker bowl.

Gunakan hook untuk mengadun roti.  Putar selama beberapa saat dengan kelajuan rendah untuk satukan bahan kering.  Kemudian, masukkan campuran susu segar dan putar hingga adunan menjadi doh.  Tingkatkan kelajuan mesin secara berperingkat.

Untuk breadmaker, setelah masukkan bahan kering ke dalam breadmaker bowl, gunakan spatula untuk sebatikan bahan kering.  Kemudian, masukkan campuran susu segar dan pilih menu "dough" dan biarkan mesin menguli hingga doh terbentuk.

Apabila doh sudah terbentuk (doh tak perlu licin dan elastik pada tahap ni), berhentikan mesin dan masukkan mentega atau marjerin.  Biarkan mesin menguli sehingga doh elastik.



Bulatkan doh dan masukkan doh ke dalam mangkuk pengadun yang bersih dan telah dioles minyak masak.

Ratakan minyak ke seluruh bahagian doh, kemudian tutup mangkuk doh dengan kain lembap atau cling wrap dan rehatkan doh selama 1  hingga 1 jam 30 minit di tempat yang suam sehingga doh naik dua kali ganda.




Sediakan Bahan Untuk Topping:



Sementara tu, siapkan air rebusan untuk merebus sosej.

Apabila air telah mendidih, masukkan sosej dan rebus sebentar saja.

Keluarkan sosej dan biarkan ianya sejuk dahulu sebelum dipotong.

Potong sosej secara menyerong dan ketepikan sehingga sedia digunakan.

Masukkan sos cili dan mayonis ke dalam beg piping plastik supaya mudah untuk dipaip atas roti nanti.




Bentukkan Doh:



Selepas doh naik dua kali ganda, tumbuk-tumbuk doh untuk keluarkan angin dan uli sekejap.

Bahagikan doh kepada 12 bahagian dengan berat setiap bahagian ialah lebih kurang 60 gram.

Bulat-bulatkan setiap bahagian doh, kemudian tutup dengan tuala bersih dan rehatkan selama 10 ke 15 minit supaya doh mudah untuk dicanai.

Canai leper doh menjadi setebal 1/4 inci.  Jika doh terlalu elastik, anda mungkin perlu canai doh sebanyak dua kali. Kali pertama, anda canai tebal sikit kemudian rehatkan sekejap untuk relax kan gluten supaya mudah dibentuk.  Kali kedua baru canai leper.

Selepas bebola doh dicanai leper, tekan kedua belah doh pada tepung suji kemudian susun di atas dulang pembakar yang telah dialas dengan kertas pembakar atau silicone mat.  Ulang sehingga selesai.

Tutup doh roti dengan plastik atau tuala bersih dan rehatkan lagi selama 30 hingga 45 minit di tempat yang suam hingga doh kembang.




Menghias & Membakar Roti:



Setelah doh mengembang, sudukan sedikit tomato puri/sos pasta ke atas setiap doh roti dan ratakan.  Hati-hati jangan tekan terlalu kuat supaya doh roti tak jadi leper semula.

Susun sosej di atasnya dan tabur dengan parutan keju Mozzarella secukupnya.

Paipkan sos cili dan mayonis di atas doh roti.


Bakar roti pada suhu 200℃ selama 15 ke 20 minit (bergantung pada ketuhar masing-masing) sehingga bahagian atas roti berwarna coklat muda.  Gunakan api atas bawah dan bakar pada rak tengah.  Sebelum itu, panaskan ketuhar dahulu selama 10 minit.

Roti sedia dihidang dan sangat sedap dimakan sewaktu ianya masih panas.

Simpan baki roti di dalam plastik atau masukkan di dalam bekas kedap udara.






*NOTA*


  1. Bagi yang tak makan telur, telur boleh di skip dan tambahkan lagi susu segar suam untuk gantikan telur.
  2. Kalau nak pakai telur yang lebih kecil pun boleh, anda perlu tambah lagi kuantiti untuk susu segar suam.
  3. Susu segar boleh diganti dengan air suam atau susu penuh krim.






0 comments :

Post a Comment