Resepi Pizza Tuna Berlapis Bentuk Bintang | Star Shaped Tuna Pizza

Wednesday, November 25, 2020

Resepi Pizza Tuna Berlapis Bentuk Bintang | Star Shaped Tuna Pizza








Kali ni olahan resepi berasaskan tuna lagi untuk menghabiskan 1 tin besar tuna in sunflower oil yang Mr Hubby beli.

Kalau beli 1 tin besar ni dapatlah jimat sikit harganya, tapi tu la masalahnya pulak jenuh ler nak menghabiskannya, betul tak?

Lebih-lebih lagi kalau keluarga yang kecil, tu yang sibuk membuat pizza la, sandwich la dan juga pizza yang berasaskan tuna ni.


Olahan pizza tuna kali ni saya buat style lain sikit, tak seperti cara membuat pizza seperti biasa yang kita ketahui - leperkan doh pizza, kemudian letak topping dan sos kegemaran dan akhir sekali tabur ler dengan keju Mozzarella banyak-banyak.

Pizza versi ni istimewa sikit sebab pertama - ianya saya buat supaya menjadi bentuk seperti bintang, Omputeh kata star-shaped.

Kedua, untuk intinya, lapisan pertama saya sapukan dengan tomato puri, kemudian tabur dengan sedikit herba campuran dan keju Mozzarella.

Letak lapisan doh yang kedua dan ratakan dengan inti tuna mayonis yang saya campurkan dengan cili merah yang dicincang kasar dan jejari ketam.  

Lepas tabur dengan keju Mozzarella atas inti tuna tadi, saya letak lapisan doh yang ketiga untuk tutup inti tersebut.

Selepas tu, buat dua belas potongan di sekeliling pizza tadi menggunakan pemotong pizza kemudian pintal dan cantumkan setiap dua potongan menjadi satu bahagian.

Hmm..nampak macam leceh je kan nak buat pizza tuna versi ni, tapi, memang worth it tau sebab pizza ni is supeerrr delicious!

Gebu dan lembut je walaupun pizza ni dah sejuk.






Untuk tutorial step-by-step cara penyediaan pizza tuna berbentuk bintang yang mudah ni, anda boleh tonton video tutorialnya di bawah ini:






Jom masuk dapur untuk buat sendiri pizza tuna yang unik dan sedap ni, confirm lepas ni Incik Hubby dan anak-anak makin sayang!  Hihi..









PIZZA TUNA BERLAPIS BENTUK BINTANG




Kategori: Roti & Pizza

Menghasilkan:  2 keping roti pizza

Masa Penyediaan: 1 jam 50 minit

Masa Membakar: 25 minit





BAHAN-BAHAN




Doh Pizza:




Anggaran 1 & 1/4 cawan air suam  | 295 ml

1/4 cawan & 2 sudu besar minyak jagung/sayuran  | 90 ml

2 sudu teh yis kering segera  | 6 gram

1 sudu besar gula pasir  | 12.5 gram

2 & 1/4 cawan tepung roti  | 282 gram

2 & 1/4 cawan tepung gandum  | 282 gram

2 sudu teh garam  | 12 gram





Inti Tuna:




1 tin kecil tuna dalam air/minyak  | 160 gram

3 batang jejari ketam

Anggaran 5 sudu besar mayonis

1 tangkai cili merah 





Bahan Lain:




Tomato puri/sos pasta secukupnya

Herba campuran

Keju Mozzarella

Glis (1 biji kuning telur + 1 sudu teh minyak)






CARA MEMBUAT





Doh Pizza:



Cara Menguli Kaedah Manual:



Di dalam mangkuk pengadun, masukkan air suam, minyak jagung/sayuran, yis kering segera dan gula pasir.  Kacau rata menggunakan spatula atau senduk kayu.


Masukkan tepung gandum, tepung roti dan garam dan kacau sehingga menjadi doh kasar.  Tambah lagi air suam sedikit demi sedikit jika doh masih berderai.


Pindahkan doh tadi ke atas papan pencanai/meja kerja yang telah ditabur tepung dan uli sehingga doh elastik.  Saya suka gunakan kaedah regang dan lipat atau "stretch and fold" supaya doh lebih cepat elastik.  Tempoh menguli lebih kurang 15 hingga 20 minit.


Setelah doh elastik (untuk uji sama ada doh telah elastik, setelah doh dibulatkan, tekan doh menggunakan jari.  Jika doh menganjal semula bermakna ianya sudah elastik), bulatkan doh dan masukkan doh ke dalam mangkuk bersih yang telah dioles minyak.  Titiskan sedikit minyak di atas doh dan ratakan ke seluruh permukaan doh. Tutup mangkuk doh dengan cling wrap/kain lembap, dan rehatkan doh di tempat yang suam selama 1 jam, sehingga doh kembang dua kali ganda.




Untuk Menguli Menggunakan Stand Mixer:






Di dalam mangkuk stand mixer, masukkan air suam, minyak jagung/sayuran, yis kering segera dan gula pasir.  Gunakan pemutar jenis hook untuk mengadun.  Adun menggunakan kelajuan rendah untuk beberapa saat.






Masukkan tepung gandum, tepung roti dan garam.  Adun dengan kelajuan rendah sehingga kesemua tepung sebati, kemudian tinggikan kelajuan dan adun menggunakan kelajuan sederhana-tinggi selama 8 hingga 10 minit, sehingga doh elastik.





Oles sedikit minyak pada tapak tangan, kemudian keluarkan doh dan bulatkan.  Masukkan doh ke dalam mangkuk yang telah dioles dengan minyak.  Titiskan sedikit minyak di atas doh dan ratakan ke seluruh permukaan doh.  Tutup mangkuk dengan cling wrap/tuala lembap dan rehatkan doh di tempat suam selama 1 jam, sehingga doh mengembang dua kali ganda.




Sediakan Inti Tuna








Sementara menunggu doh proofing, kita sediakan inti tuna dahulu.


Keluarkan tuna dalam air/minyak daripada tin dan tapis.


Hiris nipis jejari ketam secara menyerong dan cincang kasar cili merah.  Masukkan ke dalam mangkuk.


Masukkan tuna yang telah ditapis airnya dan masukkan mayonis secukupnya.  Gaul rata.




Membentuk Pizza






Setelah doh mengembang dua kali ganda, tumbuk-tumbuk dan uli doh sekejap untuk keluarkan angin dalam doh.  Bahagikan doh menjadi 6 bahagian dan bulat-bulatkan setiap bahagian doh.  Tutup bebola doh dengan kain bersih sementara dicanai supaya permukaan doh tak kering.





Ambil satu bebola doh dan canai nipis membentuk bulatan, anggaran saiz sebuah pinggan makan.  Pastikan papan pencanai dan kayu pencanai ditabur tepung secukupnya sebelum mencanai untuk mengelak doh dari melekat sewaktu mencanai doh.







Letak sebuah pinggan makan di atas doh yang telah dicanai. kemudian trim lebihan doh menggunakan pemotong pizza.  Ketepikan dulu lebihan doh.  Alihkan doh yang telah ditrim ke atas dulang pembakar yang telah dialas dengan kertas pembakar dengan cara menggulung doh pada kayu pencanai.





Ratakan beberapa sudu tomato puri/sos pasta di atas lapisan doh yang pertama tadi.  Tinggalkan dalam 1 inci ruang di bahagian tepi doh supaya bila doh dipintal nanti tiada inti yang terkeluar.






Tabur sedikit herba campuran di atasnya diikuti dengan parutan keju Mozzarella secukupnya.


Canai sebiji lagi bebola doh dan trim lebihan doh menggunakan cara yang sama seperti membuat lapisan pertama tadi.








Angkat doh yang telah ditrim menggunakan kayu pencanai dan tindihkan di atas lapisan doh yang pertama.  Ratakan inti tuna di atas lapisan kedua diikuti dengan parutan keju Mozzarella.





Canai lagi satu bebola doh untuk membuat lapisan yang ketiga dan tindihkan di atas lapisan tuna tadi. Kemaskan doh supaya bahagian tepinya sama rata.





Dengan menggunakan pemotong pizza, buat 12 potongan sama saiz di sekeliliang doh pizza dan tinggakan bahagian tengahnya bercantum.  Jika rajin, boleh letakkan sebuah gelas di bahagian tengah doh pizza kemudian baru buat potongan di bahagian tepinya.






Ambil dua potongan dan pintal ke arah bertentangan antara satu sama lain.  Picit untuk cantumkan kedua-dua bahagian tersebut menajdi seperti kelopak bunga.


Ulang langkah yang sama untuk 10 potongan yang seterusnya.  





Ulang langkah yang sama untuk doh pizza yang kedua.  Setelah selesai, tutup doh pizza dengan plastik/kain bersih dan rehatkan selama 30 minit sebelum dibakar.




Membakar Doh Pizza



Selepas 30 minit, panaskan ketuhar pada suhu 210℃ selama 10 minit.





Glis permukaan doh pizza dengan glis telur.





Bakar selama 20 hingga 25 minit, menggunakan api atas bawah, sehingga permukaan pizza kecoklatan.  Bakar pizza pada rak tengah.


Pizza sedia dihidang sementara masih panas.








Baki doh tadi anda boleh canai leper membentuk bulatan, kemudian hiaskan dengan baki topping yang ada.





*NOTA*



Untuk bahagian doh pizza, jika anda nak guna tepung gandum keseluruhannya, ataupun nak guna tepung roti keseluruhannya pun boleh.  Saya suka gabungkan antara dua jenis tepung ni untuk membuat doh pizza supaya tekstur rotinya tak terlalu ringan atau terlalu berat.


Pizza yang telah sejuk boleh disimpan di dalam plastik atau bekas dan tahan untuk beberapa hari jika disimpan di dalam peti sejuk.  


Untuk memanaskan pizza, anda boleh bakar pada suhu 180℃ selama 10 minit, atau sehingga panas semula.



0 comments :

Post a Comment