Resepi Karipap Sardin Tanpa Shortening, Tanpa Perlu Rehatkan Doh!

Sunday, December 6, 2020

Resepi Karipap Sardin Tanpa Shortening, Tanpa Perlu Rehatkan Doh!






Dua bulan lepas saya membeli 1 kotak sardin jenama Heritage, masih lagi berbaki beberapa peket sardin.

Tu yang buat karipap sardin ni, buat lebih untuk frozenkan untuk dibuat minum petang.

Sebelum ini, saya pernah kongsikan beberapa resepi karipap sardin, antara ialah karipap pusing sardin dengan kentang dan karipap sardin biasa.

Setiap kali membuat kulit karipap, saya suka mengolah resepinya untuk mendapatkan doh kulit karipap yang mudah dicanai, tidak liat dan semestinya rangup.

Ada resepi yang menggunakan marjerin/mentega saja untuk membuat kulit karipap dan ada pula yang hanya menggunakan minyak masak semata-mata.

Pada pendapat saya, penggunaan mentega/marjerin semata-mata kalau rationya banyak akan menyebabkan kulit karipap rapuh dan terlalu buttery seperti kulit pai, manakala penggunaan minyak saja akan kurang rasanya.

Sebab itu saya suka gabungkan antara penggunaan marjerin/mentega (biasanya saya akan pakai Planta) dengan minyak masak untuk rasa karipap yang lebih sedap dan tidak terlalu muak.






Sebelum ini, biasanya kalau mengadun doh untuk membuat kulit karipap saya suka menggunakan air ais atau air sejuk sebab dah terbiasa kalau buat kulit pastri je mesti nak pakai air sejuk.

Kali ni saya buat cara lain sikit, saya pakai air suam untuk buat doh kulit karipap.

Ternyata, bila adun pakai air suam ni, dohnya lebih lembut dah tak mengecut bila dicanai walaupun dohnya tak direhatkan terlebih dahulu.

Kulit karipap ini juga teksturnya rangup terutamanya ketika ianya dinikmati ketika ianya masih panas.

Seperti karipap lain, kulit karipap sardin ni akan menjadi lembut setelah ianya ditinggalkan di suhu bilik selama beberapa jam.

Sebab itulah karipap ni kena makan fresh sebaik saja ianya digoreng, jangan biarkan sampai sejuk.  Hihi..



Untuk menonton step-by-step tutorial tentang cara membuat karipap sardin ini, anda boleh tonton menerusi pautan video di bawah ni:





Ini kali pertama saya buat karipap sardin tanpa kentang, sebelum ni memang saya suka letak kentang untuk inti sardinnya.

Itu yang excited nak cuba buat karipap sardin ni.

Sebab sebelum ni saya tak pernah stok sardin banyak-banyak di rumah, jadi disebabkan nak jimatkan penggunaan sardin dan juga untuk membuatkan inti karipap menjadi banyak, saya campurkan dengan kentang.

Disebabkan kulit karipap ini saya buat menggunakan air suam, jadi dohnya tak perlu direhatkan terlebih dahulu, boleh terus canai dan bentukkan karipap.

So, resepi karipap sardin ni sangat praktikal dan menjimatkan masa!


Jom semak resepi.  Selamat mencuba!








KARIPAP SARDIN RANGUP





Kategori: Kuih Melayu

Jumlah Hidangan: 28 keping

Masa Penyediaan: 25 minit

Masak Memasak: 25 minit





BAHAN-BAHAN




Inti Karipap:



1/4 cawan minyak masak (60 ml)

1 biji bawang besar (potong dadu)

1 inci halia (tumbuk halus/parut)

2 ulas bawang putih (tumbuk halus/parut)

5 sudu besar pes cili kering 

1/4 cawan air asam jawa (bancuh 1/2 sudu teh pes asam jawa dengan 1/4 cawan air)

1 peket/tin besar sardin

Serbuk lada hitam kasar secukupnya

Gula jika perlu

Garam secukup rasa




Kulit Karipap:



3 cawan tepung gandum  (375 gram)

1 sudu teh garam  (6 gram)

3 sudu besar mentega bergaram/marjerin  (42 gram)

3 sudu besar minyak masak  (45 ml)

Anggaran 2/3 cawan - 1 sudu besar air suam  (145 ml)





CARA MEMBUAT




Inti Karipap:





Panaskan minyak masa di dalam kuali.  Setelah panas, tumis bawang besar yang didadu bersama halia dan bawang putih tumbuk/parut sehingga bawang layu.  Kemudian, masukkan pes cili kering dan tumis sehingga pecah minyak.






Masukkan air asam jawa dan sardin bersama kuahnya sekali, kacau rata sambil hancur-hancurkan isi ikan sardin dengan menggunakan senduk atau spatula tahan panas.  Tak perlu terlalu hancur pun boleh.  Masukkan serbuk lada hitam kasar, gula (jika perlu) dan garam secukup rasa.  Kacau rata dan masak sehingga inti sardin pekat.





Alihkan inti sardin yang telah masak ke dalam mangkuk dan biarkan sejuk.




Kulit Karipap:




Di dalam mangkuk pengadun, campurkan tepung gandum bersama garam.  Kacau rata.  Kemudian, buatkan lubang di tengah adunan.





Panaskan mentega/marjerin bersama minyak masak sehingga menggelegak.





Tuang campuran minyak di dalam lubang di tengah adunan tepung tadi.  Kacau menggunakan spatula tahan panas/senduk kayu.  Apabila doh telahpun suam, ramas adunan sehingga menjadi seperti serbuk roti.





Tuang air suam sedikit demi sedikit sambil mengadun sehingga menjadi doh.  Doh tak perlu diuli supaya doh tak menjadi liat.






Setelah menjadi doh, ambil sedikit doh (anggaran 1 sudu besar) dan bulat-bulatkan.  Susun bebola doh di atas sebuah pinggan/dulang kemudian tutup bebola doh menggunakan tuala lembap untuk mengelakkan doh dari menjadi kering.




Mencanai & Membentuk Karipap:




Ambil satu bebola doh dan canai membentuk bujur setebal 0.3 cm.  Letak 1 sudu teh inti sardin di bahagian tengah doh tadi dan lipat dua.  Tekan bahagian hujung lipatan supaya inti tidak terkeluar.  Kelim bahagian tepinya untuk membuat corak.





Susun karipap di atas dulang yang beralaskan plastik/kertas pembakar/silicone mat.  Ulang langkah di atas sehingga selesai.


Karipap sedia untuk digoreng atau difrozenkan.



Menggoreng Karipap:




Panaskan minyak yang banyak di dalam kuali. Setelah minyak panas, masukkan karipap dan goreng dengan api sederhana sehingga karipap berwarna keperangan.  Balik-balikkan karipap sewaktu menggoreng supaya karipap masak dengan sempurna.


Setelah siap, angkat dan toskan di dalam penapis/kertas tisu dapur.


Karipap sardin sedia dihidang.



Memfrozenkan Karipap:


Karipap yang telah siap dibentuk boleh difrozenkan.  Cara pertama ialah masukkan dulang berisi karipap di dalam freezer selama 1 jam, atau sehingga karipap menjadi beku.  Setelah itu, keluarkan karipap dari freezer dan simpan di dalam ziploc bag/plastil/bekas dan masukkan semula ke dalam freezer sehingga sedia digunakan.


Cara kedua ialah lapik bekas yang akan digunakan untuk menyimpan karipap dengan plastik, kemudian susun karipap di atasnya.  Pastikan karipap dijarakkan sedikit antara satu sama lain untuk elak dari melekat.  Letak selapis plastik lagi di atasnya dan susun lagi karipap.  Ulang langkah ini sehingga selesai.  Setelah itu, masukkan bekas berisi karipap tadi ke dalam freezer sehingga karipap sedia untuk digoreng.



Cara Menggoreng Karipap Frozen:


\Karipap yang difrozenkan boleh terus digoreng dengan api sederhana.  Tak perlu defrostkan karipap terlebih dahulu.







0 comments :

Post a Comment