Roti Cheddar Cheese Yang Lembut

Friday, January 1, 2021

Roti Cheddar Cheese Yang Lembut






Kelam-kabut susunan blog post saya, disebabkan mood yang tak berapa nak ada sejak dua menjak ni.

Hari ini dah masuk tahun 2021, semoga saya diberi kesempatan untuk berkongsi lebih banyak lagi resepi di blog dan YouTube saya tahun ini.


Sekarang ni saya rasa nak membaca je banyak, tak berapa rajin nak buat shooting.

Lebih-lebih lagi sejak dua menjak ni cuaca kan mendung je, nak shooting pun lighting tak berapa cantik.

Saya lebih suka pakai natural light, tapi kalau dah gelap sangat terpaksa juga pakai lampu studio tu.

Kengkadang impress dengan blogger yang boleh disiplin update blog hampir setiap hari.

Itu lah masalahnya kalau terlalu idealist ni, macam-macam benda nak kejar dalam satu masa.

Last-last stuck tak tau nak buat yang mana dulu, walaupun dah ada list-to-do, tapi kebanyakan masa tak dapat ikut pun disebabkan ade je last minute plan.  Hihi..

Diam tak diam dah nak dekat CNY dah, so sekarang ni tengah sibuk plan nak buat sample cookies untuk customers.

Setiap tahun mesti akan ada cookies lain sebab saya tak suka jual cookies yang sama je setiap tahun, kecuali tart nenas, yang ni wajib ada sebab customers saya paling banyak order tart nenas.

Sementara nak decide nak buat cookies ape ni, saya ambil peluang ni untuk update resepi-resepi yang dah banyak tertinggal.







Meroti lagi kali ni, untuk menghabiskan stok kepingan keju cheddar yang dah berminggu-minggu terdiam dalam peti sejuk.

Ingatkan nak buat sandwich, alih-alih malas pulak.

Lagipun, barang-barang untuk aksesori sandwich pun takde.

Akhirnya, terhasillah satu lagi resepi roti yang ringkas dan mudah ni.


Cara untuk menyediakan doh roti ni saya gunakan kaedah biasa, iaitu menggunakan tepung roti, yis kering segera, sedikit gula pasir, garam, susu, telur dan mentega atau marjerin.

Kalau tak suka pakai telur dalam roti boleh abaikan je kemudian tambah lagi sedikit kuantiti susu segar atau susu penuh krim yang digunakan.

Kalau nak pakai susu sejat pun boleh, tapi saya lebih suka susu segar atau susu penuh krim yang di dalam kotak tu sebab rasanya lebih sedap.

Susu sejat ni kalau buat dessert cocktail ke, buat buttermilk chicken ke, buat puding atau bubuh dalam cekodok bawang memang sedap, tapi kalau roti saya pilih susu segar atau susu penuh krim.


Cheddar cheese bun ni lebih cantik dan nampak lapisan kejunya jika anda gunakan cheddar cheese slice yang berwarna oren tu, tapi disebabkan saya tiada stok cheddar cheese oren, saya pakai je cheddar cheese slice yang biasa yang berwarna putih.

Rasanya light dengan rasa masam manis dari mayonis yang di "drizzle" di atas bun, memang sedap, sesuai bagi peminat keju!




Untuk step-by-step tutorial cara membuat cheddar cheese bun boleh tonton menerusi pautan video di bawah ini:






Sewaktu dibakar, keju akan terkeluar sedikit daripada bun, tapi takpe, sebab lepas bakar kita boleh tolak cheddar cheese yang terkeluar tu supaya rapat dengan roti menggunakan spatula.

Kalau suka, boleh tabur parsley flakes pada atas bun ataupun bijan putih.


Untuk resepi lengkapnya, jom semak resepi cheddar cheese buns di bawah ini.








Roti Cheddar Cheese



Kategori : Bun

Jumlah Hidangan : 8 keping

Masa Penyediaan : 2 jam

Masa Membakar : 12 minit






BAHAN-BAHAN:




Untuk Roti:




1 biji telur Gred B

1/2 cawan + 2  1/2 sudu besar susu segar (suam)  | 170 ml (boleh ganti dengan susu penuh krim/susu sejat/air suam biasa)

1  1/2 sudu teh yis kering segera  | 4.5 gram

2 sudu besar gula pasir  | 25 gram

2  1/4 cawan tepung roti  | 282 gram (boleh ganti dengan tepung gandum)

1/2 sudu teh garam  | 3 gram

3 sudu besar mentega  | 42 gram (boleh ganti dengan marjerin)




Bahan Lain:



8 keping keju cheddar

Mayonis secukupnya

Parsley Flakes secukupnya

Glis : 1 biji kuning telur + 1 sudu besar susu segar/sejat/penuh krim






CARA MEMBUAT





Untuk Doh Roti:



Di dalam mangkuk pengadun, masukkan sebiji telur, susu suam, yis kering segera dan gula pasir.  Kacau rata menggunakan spatula atau whisk.

Masukkan tepung roti/gandum dan garam.  Gaul rata sehingga doh kasar terbentuk.

Untuk lebih mudah mengadun mentega/marjerin ke dalam doh boleh rehatkan sebentar doh kasar tadi selama 10 minit. Jika kesuntukan masa, terus saja masukkan marjerin/mentega dan adun sehingga marjerin/mentega bercampur rata dengan doh.

Pindahkan doh ke atas meja kerja/papan pencanai yang telah ditabur dengan tepung, uli doh selama lebih kurang 10 hingga 15 minit, sehingga doh menjadi elastik dan licin.  Untuk mengetahui sama ada doh telah elastik, ambil sedikit doh dan regangkan. Doh yang telah elastik tidak akan mudah koyak (windowpane).  Cara lain ialah dengan menekan doh menggunakan jari.  Jika doh menganjal semula dan tiada kesan lekukan kelihatan, bermakna doh anda telah elastik.

Setelah doh elastik, bulatkan doh dan masukkan ke dalam mangkuk pengadun bersih yang telah dioles dengan sedikit minyak masak.  Ratakan minyak masak pada seluruh permukaan doh.

Tutup mangkuk dengan cling wrap atau tuala lembap dan rehatkan doh selama 1 jam di tempat suam sehingga doh naik dua kali ganda.




Mencanai & Membentuk Roti Keju Cheddar:



Setelah doh naik dua kali ganda, tumbuk-tumbuk doh untuk mengeluarkan angin.  Bulatkan doh dan bahagikan doh kepada 8 bahagian.

Bulat-bulatkan doh menjadi bebola doh.

Ambil satu doh dan canai leper menjadi bentuk segi empat panjang (agak-agak muat nak letak keju cheddar di atasnya).

Letak 1 keping keju cheddar di atas doh yang telah dicanai dan gulung.  Picitkan hujung gulungan doh supaya doh tercantum rapat.  Kemaskan bahagian tepi doh roti.  Picit bahagian tepi doh supaya doh tercantum rapat.

Susun doh roti di atas dulang pembakar yang dialas kertas pembakar atau silicone mat.  Jarakkan doh roti antara satu sama lain untuk memberi ruang roti untuk mengembang.

Ulang langkah di atas untuk 7 bebola doh seterusnya.

Tutup doh roti dengan kain bersih/plastik dan rehatkan selama 30 hingga 45 minit, sehingga doh roti kembang dua kali ganda.




Membakar Roti Keju Cheddar:



Panaskan ketuhar pada suhu 200℃.

Glis permukaan doh roti dengan glis telur.

Picitkan mayonis membentuk "zig-zag" di atas roti dan tabur dengan parsley flakes.

Bakar selama 10 hingga 12 minit, sehingga roti kecoklatan pada rak tengah dan menggunakan api atas bawah.

Setelah roti masak, ambil spatula tahan panas dan tolak keju cheddar yang meleleh keluar dari roti sewaktu dibakar supaya tercantum rapat pada roti.

Roti keju cheddar sedia diidang!