Resepi Kek Oren Yang Gebu Selembut Kapas

Saturday, January 2, 2021

Resepi Kek Oren Yang Gebu Selembut Kapas






Semalam kita sudah melangkah ke tahun yang seterusnya, iaitu tahun 2021.

Semoga tahun ini akan lebih baik bagi kita dari tahun 2020 yang penuh mencabar, bagi saya tahun 2020 telah banyak mengajar saya untuk lebih bermuhasabah diri dan mengambil iktibar dari kesilapan kita yang lalu untuk memperbaiki diri.

Yang penting, sentiasa berfikiran positif dan anggaplah segala masalah dan kesulitan yang menimpa, pasti akan ada sesuatu yang boleh kita jadikan pengajaran.

InsyaAllah, jika ada kesempatan, saya akan update semula blog kesihatan saya yang dah setahun saya tak pernah update.

Cuma topik artikel saya mungkin berlainan niche kerana sekarang ni minat pembacaan saya lebih ke arah bidang psikologi.






Baiklah, berbalik semula kepada resepi yang akan saya tuliskan di sini iaitu kek oren yang gebu dan lembut.

Asalnya saya nak buat kek mentega oren, tapi entah kenapa tak jadi pula kek orennya, padahal kek mentega tu cara membuatnya kan lebih mudah kalau nak dibandingkan dengan kek span atau ke chiffon yang perlu tepat sukatannya dan betul tekniknya supaya kek menjadi.

Tapi takpelah, disebabkan eksperimen membuat kek mentega oren saya kali ni gagal, hasilnya, saya dapat kongsikan versi kek oren yang lain dengan menggunakan teknik ala-ala kek chiffon.




Untuk menonton video tutorial cara membuat kek oren yang gebu ini, boleh tonton menerusi pautan videonya di bawah ini:





Selain daripada menggunakan minyak jagung seperti yang kita selalu gunakan untuk membuat kek chiffon, untuk kek oren ini saya menggunakan mentega yang saya cairkan terlebih dahulu menggunakan api yang kecil.  

Setelah itu, saya campurkan dengan parutan kulit oren, kacau sebentar kemudian padamkan api.

Ketika mentega cair masih panas, saya ayakkan bahan kering ke dalam mentega cair dan kacau sehingga adunan menjadi ketulan, 

Seterusnya, barulah kuning telur dimasukkan satu per satu dan whisk sehingga sebati.


Seperti yang saya beritahu tadi, kek oren ini menggunakan kaedah ala-ala kek chiffon.

Jadi, kita perlu sediakan meringue dari putih telur yang dipukul bersama gula sehingga putih telur bertanduk (stiff peak).

Saya tidak menggunakan cream of tartar, sebaliknya saya gunakan sedikit tepung jagung yang saya gaul sebati bersama gula kastor.

Sebenarnya, ini kali pertama saya campurkan tepung jagung ke dalam meringue saya kerana saya saja nak cuba.

Saya pernah terbaca bahawa tepung jagung boleh menyerap lebihan cecair yang ada pada meringue, menjadikan meringue berkilat dan cantik.

Tapi mungkin tips ini lebih kepada pavlova, saya pun belum pernah lagi cuba membuat pavlova.


Walau apapun, kek oren ini memang marvelous dan sedap!

Rasanya tak terlalu buttery dan lebih ringan.


Jom semak resepi.







KEK OREN





Kategori : Kek

Masa Penyediaan : 10 minit

Masa Membakar kek : 40 minit






Bahan-bahan:





1/4 cawan mentega bergaram  | 57 gram (kalau nak pakai mentega tanpa garam pun boleh)

Parutan kulit dari 2 biji oren (ambil kulit luarnya sahaja, yang putih jangan diambil sebab pahit)

1 cawan tepung kek  | 125 gram (kalau nak pakai tepung gandum pun boleh)

1 sudu teh baking powder  | 4 gram

1/4 sudu teh garam  | 1 gram

1/3 cawan - 1 sudu besar jus oren  | 65 ml

5 biji kuning telur Gred B (suhu bilik)


Putih telur dari 5 biji telur Gred B (suhu bilik)

2 sudu besar tepung jagung  | 14 gram

1/2 cawan gula kastor/gula pasir halus  | 100 gram







Cara Membuat:





Di dalam periuk kecil/sauce pan, cairkan mentega menggunakan suhu rendah/api kecil.  


Setelah mentega cair, masukkan parutan kulit oren dan kacau sebentar.  Padamkan api dan alihkan saucepan/periuk ke atas meja kerja.


Ayakkan tepung kek/tepung gandum bersama garam dan baking powder ke dalam saucepan/periuk berisi mentega cair tadi sementara ianya masih lagi hangat.  Gunakan whisk dan kacau sehingga rata dan tiada tepung yang tidak tercampur.  Adunan memang sedikit berketul buat masa ini.


Masukkan jus oren dan whisk lagi sehingga sebati.


Kemudian, masukkan kuning telur, sebiji demi sebiji dan whisk hingga sebati.


Untuk meringue, gaul rata tepung jagung bersama gula kastor/gula pasir halus.


Pukul putih telur sehingga berbuih dengan kelajuan sederhana dan masukkan campuran gula dengan 3 peringkat.


Pukul meringue sehingga bertanduk (stiff peak).


Masukkan 1/3 meringue ke dalam saucepan/periuk berisi adunan tepung tadi dan kaup balik menggunakan whisk/spatula hingga sebati sahaja.  Asalkan warna adunan dah sekata sudah cukup kerana kita nak elak buih-buih dari meringue tadi pecah.  Buih-buih dari meringue ini akan membantu kek untuk mengembang sewaktu kek sedang dibakar.


Tuang adunan tepung ke dalam mangkuk pengadun berisi meringue dan kaup balik dengan perlahan sehingga tercampur rata.


Tuang adunan kek ke dalam loyang segiempat sama bersaiz 7" x 7" . Seeloknya, jika ada, gunakan loyang yang bahagian bawahnya boleh dibuka (loose bottom pan) supaya mudah untuk mengeluarkan kek.  Jangan gunakan loyang non-stick sebab nanti kita akan terbalikkan loyang kek untuk sejukkan kek (teknik sama seperti kek chiffon).  Loyang tidak perlu diglis ya.


Hentak loyang beberapa kali untuk memecahkan buih besar yang ada dalam adunan kek.


Bakar kek pada suhu 170℃ selama 35 hingga 40 minit, atau sehingga lidi pencucuk/cake tester bersih ketika ducucuk di bahagian tengah kek.  Kek juga akan menganjal bila ditekan menunujukkan kek telahpun masak.  Jangan lupa untuk panaskan ketuhar selama 10 minit sebelum membakar kek, dan bakar kek pada rak kedua dari bawah dan gunakan api atas bawah.


Setelah kek masak,  hentak loyang kek ke atas meja sekali untuk menghentikan kek dari mengecut.  Kemudian, telangkupkan loyang kek dengan cara meletakkan dua gelas/cawan untuk seimbangkan loyang.  Kek perlu disejukkan dalam keadaan telangkup untuk mengelakkan kek menjadi mendap ke bawah.


Setelah kek sejuk, gunakan offset spatula/pisau kecil untuk meregangkan bahagian tepi kek dari loyang dan goncang loyang beberapa kali untuk melonggarkan kek dari bahagian bawah loyang (jika pakai loose bottom pan lebih mudah, tak perlu goncang loyang).


Potong kek mengikut saiz yang disukai.  Sedia dihidang!











0 comments :

Post a Comment